Umur sama, tapi badan anda mungkin lebih tua dari kawan

Penuaan bukan sekadar tentang umur, tetapi interaksi kompleks antara genetik, persekitaran dan perubahan biologi sepanjang kehidupan

Kita selalu anggap umur sebagai satu nombor yang menerangkan sesuatu. Sebut umur, kita dah boleh bayangkan macam mana rupa, keadaan fizikal seseorang tu.

Kalau anda berumur 40 tahun, maka badan anda sepatutnya lebih kurang sama tahap “tua” dengan orang lain yang juga berumur 40 tahun.

Tetapi rupanya biologi manusia tidak semudah itu.

Satu kajian besar yang diketuai penyelidik King’s College London menunjukkan bahawa dua individu sihat dengan umur yang sama boleh melalui perjalanan penuaan yang sangat berbeza pada tahap molekul.

Maksudnya, umur pada kad pengenalan mungkin sama. Tetapi apa yang sedang berlaku pada sel, gen, sistem imun dan metabolisme anda boleh jauh berbeza.

“Umur kronologi mungkin sama, tapi umur biologi anda belum tentu bergerak pada kelajuan yang sama.”

Penuaan bukan satu laluan yang sama untuk semua orang

Dalam kajian ini, penyelidik mengikuti 335 individu daripada kohort TwinsUK selama kira-kira lapan tahun.

Mereka mengambil satu sampel darah dan mengukur perubahan yang berlaku berulang kali sepanjang tempoh kajian termasuk tahap RNA dalam darah, aktiviti sekitar 16,000 gen dan ratusan metabolit.

Sesetengah individu menunjukkan perubahan molekul yang sangat berbeza, malah ada yang bergerak dalam arah bertentangan walaupun mereka berada dalam lingkungan umur yang sama.

Contohnya, penyelidik melihat perbezaan pada gen CXCL9, yang dikaitkan dengan proses penuaan jantung.

Mereka juga menemui bahawa tahap TP53, iaitu gen penting yang membantu mengawal pertumbuhan sel dan bertindak sebagai tumor suppressor, menurun pada sesetengah individu apabila mereka semakin berusia.

Perubahan seperti ini mungkin mempunyai implikasi terhadap risiko penyakit termasuk kanser.

Tetapi yang penting, perubahan tersebut tidak berlaku dengan cara yang sama kepada semua orang.

Inilah sebabnya semakin ramai saintis membezakan antara chronological age dan biological age.

Chronological age ialah berapa tahun anda hidup.

Biological age pula sejauh mana tubuh anda sebenarnya sudah mengalami proses penuaan?

“Dua orang boleh lahir pada tahun yang sama, tapi sel mereka tak semestinya ‘berumur’ sama.”

Genetik penting, tetapi persekitaran turut meninggalkan kesan

Satu lagi perkara penting daripada kajian ini ialah proses penuaan bukan ditentukan oleh genetik semata-mata.

Gen dan persekitaran sentiasa berinteraksi sepanjang kehidupan.

Pendedahan kepada faktor persekitaran boleh meninggalkan kesan yang akhirnya dapat dilihat pada profil molekul seseorang.

Sebagai contoh, penyelidik menemui hubungan antara perubahan paras PFAS dalam darah dengan perubahan profil molekul dari semasa ke semasa.

PFAS ialah kumpulan bahan kimia yang sering digelar “forever chemicals” kerana ia sangat sukar terurai dan boleh kekal lama dalam alam sekitar serta tubuh manusia.

Ini memberi gambaran bahawa perkara yang berlaku di luar badan kita sebenarnya boleh meninggalkan “cap” pada tahap molekul.

Secara asasnya, penuaan molekul berlaku apabila kerosakan sel terkumpul bersama perubahan pada DNA, protein, lipid dan pelbagai sistem biologi lain.

Lama-kelamaan, keupayaan tisu untuk berfungsi dengan optimum mula menurun.

Sebab itu usia yang meningkat biasanya dikaitkan dengan risiko lebih tinggi terhadap penyakit kardiometabolik, neurodegeneratif dan kanser.

Tetapi sekali lagi, kadar perubahan ini tidak sama bagi setiap orang.

Masa depan kesihatan individu mungkin lebih personal

Kajian ini juga menunjukkan bahawa sistem imun kita tidak menua secara seragam.

Perubahan pada innate immune system, iaitu pertahanan awal badan, tidak semestinya sama dengan perubahan pada adaptive immune system, iaitu sistem imun yang membina memori selepas terdedah kepada ancaman tertentu.

Ini menjadikan proses penuaan jauh lebih kompleks daripada sekadar mengatakan:

“Bila umur meningkat, semua fungsi badan akan menurun.”

Tidak semestinya.

Sesetengah sistem mungkin berubah lebih awal. Yang lain mungkin kekal stabil lebih lama.

Dan di sinilah konsep precision medicine menjadi sangat menarik.

Bayangkan satu hari nanti doktor bukan sekadar melihat umur anda, berat badan, tekanan darah dan sejarah keluarga.

Sebaliknya, mereka juga boleh melihat trajectory molekul tubuh anda.

Daripada situ, perubahan kecil yang menunjukkan peningkatan risiko penyakit mungkin dapat dikesan lebih awal sebelum simptom sebenar muncul.

Intervensi juga boleh menjadi lebih spesifik kepada individu.

Genetik memang memainkan peranan.

Tetapi persekitaran, pendedahan sepanjang kehidupan dan pelbagai faktor biologi turut membentuk bagaimana tubuh kita berubah.

Jadi bila melihat orang lain yang sebaya dengan kita nampak lebih muda, lebih aktif atau lebih sihat, perbandingan itu sebenarnya tidak begitu tepat.

Kita boleh juga aktif secara fizikal, hidup dalam persekitaran stres yang sihat, itu semua menyumbang pada tahap kesihatan optimum.

Apa pun perjalanan biologi setiap orang memang berbeza. Umur hanyalah nombor yang menunjukkan berapa lama kita sudah hidup.

Tetapi cerita sebenar penuaan berlaku jauh lebih dalam pada tahap sel, gen, metabolisme dan sistem tubuh yang berubah setiap hari.

Similar Posts