
Kita orang Malaysia memang suka minuman panas. Arwah nenek saya, orang Jawa Melaka. Pagi-pagi kalau tak pekena kopi panas memang tak boleh buat kerja.
Teh tarik panas. Kopi O panas. Nescafe panas. Ada orang kalau minuman dah suam sedikit terus rasa tak sedap.
Mesti kena berasap time minum tu.
Tetapi mungkin selepas anda baca artikel ini akan kena belajar tunggu sekejap sebelum minum.
Satu kajian besar melibatkan 977,282 orang dewasa di United Kingdom mendapati mereka yang memilih minuman pada suhu “very hot” mempunyai sekitar 3 kali ganda risiko mendapat oesophageal squamous cell carcinoma atau SCC berbanding mereka yang memilih minuman suam.
SCC ialah sejenis kanser yang bermula pada sel-sel rata yang melapisi bahagian dalam esofagus, saluran yang membawa makanan daripada mulut menuju ke perut.
Tak kisah minuman apa. Suhu minuman itu sendiri mungkin yag memainkan meningkatkan risiko di sini.
Apa yang berlaku bila anda selalu minum terlalu panas?
Bayangkan esofagus kita sebagai satu saluran yang permukaannya dilapisi sel.
Setiap kali kita telan makanan atau minuman, benda itu akan melalui permukaan tersebut.
Kalau sekali-sekala terkena minuman panas, badan kita biasanya mempunyai keupayaan untuk melakukan pembaikan.
Tetapi kalau setiap hari kita minum teh atau kopi yang terlalu panas, beberapa kali sehari, lapisan ini mungkin berulang kali terdedah kepada kecederaan haba.
International Agency for Research on Cancer (IARC) sebelum ini sudah mengklasifikasikan minuman melebihi 65°C sebagai “probably carcinogenic to humans”, khususnya berdasarkan kaitannya dengan kanser esofagus.
Ia lebih kepada semakin tinggi suhu dan semakin kerap tisu terdedah kepadanya, semakin besar potensi kerosakan haba berulang.
Sel yang cedera perlu diganti. Sel baru perlu dihasilkan. Proses pembaikan tisu berlaku berulang kali.
Secara biologinya, keadaan kecederaan kronik dan regenerasi sel yang berulang boleh mewujudkan persekitaran yang lebih mudah untuk perubahan sel berlaku dalam tempoh yang panjang.
Tubuh boleh repair kerosakan. Tetapi kalau kita ulang kerosakan yang sama setiap hari selama bertahun-tahun, ceritanya lain sikit lah.
Hampir sejuta orang dikaji. Apa yang mereka jumpa?
Kajian yang diterbitkan dalam International Journal of Cancer pada September 2026 ini menggabungkan data daripada dua kohort besar di UK.
Peserta ditanya bagaimana mereka biasanya mengambil minuman panas:
warm, hot atau very hot.
Penyelidik kemudian melihat pengambilan teh dan kopi mereka serta mengikuti rekod kesihatan peserta selama lebih sedekad.
Sepanjang tempoh kajian, 2,348 kes kanser esofagus direkodkan.
Daripada jumlah itu, 1,045 ialah SCC dan 1,303 ialah adenocarcinoma.
Mereka yang memilih minuman “very hot” berbanding “warm” mempunyai sekitar 3.17 kali risiko SCC.
Tetapi peningkatan yang sama tidak ditemui untuk satu lagi jenis utama kanser esofagus iaitu adenocarcinoma.
Frekuensi juga nampaknya memainkan peranan.
Selepas mengambil kira suhu minuman, mereka yang mengambil 6 atau lebih minuman panas sehari mempunyai sekitar 71% peningkatan risiko SCC berbanding mereka yang minum kurang daripada enam cawan sehari.
Jadi sekali lagi, ia memberikan petunjuk bahawa isu utamanya mungkin Haba itu sendiri mungkin menjadi sebahagian daripada masalah.

Tak perlu berhenti minum kopi. Bagi dia sejuk sedikit. Simple!
Kajian ini tidak bermaksud anda perlu takut dengan kopi.
Ia juga tidak menunjukkan bahawa sekali minum air terlalu panas akan menyebabkan kanser.
Kajian ini ialah kajian pemerhatian. Ia menunjukkan association, bukannya membuktikan bahawa minuman panas secara langsung menjadi satu-satunya penyebab kanser seseorang.
Kanser esofagus sendiri dipengaruhi pelbagai faktor termasuk merokok, pengambilan alkohol, keadaan kesihatan dan faktor gaya hidup lain.
Malah penyelidik dalam kajian ini mengambil kira beberapa faktor seperti merokok, alkohol dan berat badan ketika melakukan analisis mereka.
Tetapi apabila hampir sejuta orang dikaji dan corak risiko meningkat apabila suhu minuman semakin tinggi, ia sesuatu yang munasabah untuk kita ambil perhatian.
Dan intervensinya sangat mudah. Bila kopi dah ada kat atas meja tu. Nampak berasap lagi. Relax lah.
Bagi ia sejuk sekejap.
Kalau teguk pertama pun kita terpaksa tiup berkali-kali, lidah rasa seperti terbakar atau kita terpaksa telan cepat sebab terlalu panas, mungkin itu signal mudah bahawa kita tak perlu tergesa-gesa.
Rujukan
Papier, K., et al. (2026). Hot Drinks and Oesophageal Cancer: Prospective Analyses in Around 1 Million UK Adults. International Journal of Cancer. DOI: 10.1002/ijc.70654.


