
Lithium ni biasanya kita tengok label dengan bateri. Ataupun untuk individu yang dapatkan rawatan ia ubat untuk gangguan bipolar.
Lithium sebenarnya turut wujud secara semula jadi dalam persekitaran kita. Dalam air minuman, tanah dan beberapa jenis makanan seperti kentang, kubis dan bijirin penuh.
Satu kajian yang diterbitkan dalam Nature mencadangkan bahawa lithium mungkin mempunyai peranan yang agak penting untuk menjaga kesihatan otak.
Malah, penyelidik menemui kaitan antara tahap lithium dalam otak dengan penyakit Alzheimer.
Lithium dalam otak kita
Kajian yang diketuai Dr Bruce Yankner, profesor genetik dan neurologi di Harvard Medical School, mengambil masa sekitar 10 tahun untuk melihat hubungan antara logam dalam otak dengan penyakit Alzheimer.
Penyelidik mengukur 27 jenis logam daripada sampel otak manusia selepas kematian.
Ada yang mempunyai fungsi kognitif normal, ada yang mengalami mild cognitive impairment (MCI), dan ada yang menghidap Alzheimer.
Antara kawasan yang diperiksa ialah prefrontal cortex, ini bahagian depan otak yang penting untuk fungsi eksekutif seperti membuat keputusan, merancang dan mengawal tingkah laku.
Daripada 27 logam yang diperiksa, lithium yang menarik perhatian mereka.
Tahap lithium didapati lebih rendah dalam prefrontal cortex individu yang mengalami gangguan kognitif atau Alzheimer.
Daripada 27 logam yang dikaji, lithium menunjukkan hubungan yang paling ketara dengan perubahan kognitif dalam sampel otak tu
Persoalannya, kenapa lithium berkurang dekat individu yang demensia seperti nyanyuk, alzheimer?
Salah satu penjelasan yang ditemui penyelidik ialah amyloid beta.
Protein ini boleh berkumpul dan membentuk plak dalam otak yang menjadi salah satu ciri utama penyakit Alzheimer.
Kajian tersebut menunjukkan amyloid boleh mengikat lithium. Bayangkan lithium yang sepatutnya tersedia untuk digunakan oleh sel otak, sebaliknya “terperangkap” bersama deposit amyloid.
Akibatnya, jumlah lithium yang tersedia untuk fungsi normal otak mungkin semakin berkurang.
Bila lithium dikurangkan, otak lebih cepat terjejas
Penyelidik kemudian menguji mekanisme ini dalam makmal untuk melihat perubahan otak menyerupai Alzheimer.
Apabila lithium dikurangkan pada otak kajian, perubahan berkaitan Alzheimer berlaku dengan lebih cepat.
Bukan sekadar amyloid.
Pengurangan lithium turut dikaitkan dengan peningkatan perubahan tau protein, keradangan otak dan kemerosotan fungsi kognitif.
Ini memberi satu kemungkinan menarik.
Lithium mungkin bukan sekadar mineral yang kebetulan berada dalam otak. Pada tahap semula jadi yang sangat kecil, ia mungkin mempunyai fungsi biologi tertentu yang membantu otak mengekalkan kestabilannya.
Kadang-kadang otak tak memerlukan sesuatu dalam jumlah yang banyak. tapi yang sikit pun kalau ada perubahan pada keseimbangan kimia boleh bagi kesan besar pada fungsi sel.
Penyelidik turut menguji lithium orotate.
Mineral lithium dalam bentuk ini kurang terperangkap oleh amyloid berbanding lithium carbonate. Pemberiannya pada dos rendah juga dikaitkan dengan pengurangan perubahan menyerupai Alzheimer dan pemulihan fungsi memori. Tapi dah tentulah ini semua hanya kajian, dan tak boleh pun sesuka hati tambah mineral lithium dalam badan.

Apa yang anda boleh buat sekarang untuk jaga otak?
Kajian lithium ini membuka satu jalan penyelidikan yang sangat menarik.
Mungkin suatu hari nanti kita akan memahami dengan lebih jelas bagaimana lithium semula jadi dalam otak mempengaruhi proses penuaan dan Alzheimer.
Tetapi buat masa sekarang, pendekatan yang mempunyai asas lebih kukuh masih perkara yang kita selalu dengar.
Jaga pemakanan.
Dr Yankner sendiri mencadangkan corak pemakanan yang hampir dengan Mediterranean diet sebagai antara pendekatan terbaik untuk mengekalkan status nutrisi yang menyokong kesihatan kognitif.
Banyakkan makanan berasaskan tumbuhan, sayuran berdaun hijau, kekacang macam biji gajus, bijirin penuh, minyak zaitun dan ikan. Kurangkan makanan ultra-proses.
Satu lagi pendekatan ialah MIND diet, gabungan prinsip Mediterranean diet dan DASH diet yang direka dengan kesihatan otak sebagai fokus.
Sayuran hijau, kekacang, minyak zaitun dan makanan berasaskan tumbuhan membekalkan nutrien seperti vitamin E, vitamin K, folat, carotenoid dan polyphenol yang mempunyai kaitan dengan kesihatan otak.
Kekurangan nutrien tertentu juga perlu diberi perhatian, terutamanya apabila umur meningkat.
Vitamin D dan vitamin B12 contohnya penting untuk fungsi tubuh dan sistem saraf. Bagi individu yang benar-benar mengalami kekurangan B12, membetulkan kekurangan tersebut boleh memberi manfaat kepada fungsi neurologi dan kognitif.
Nak jaga otak tak perlu cari satu supplement ajaib. Lebih penting ialah memastikan otak dapat persekitaran, pemakanan dan gaya hidup yang menyokong untuk berpuluh-puluh tahun.
Kajian ini mengingatkan kita bahawa otak bukan hanya bergantung kepada dopamine, serotonin atau neurotransmitter yang selalu kita dengar. Berfikir positif.
Dalam otak ada ribuan proses biologi yang berlaku serentak. Kadang-kadang satu mineral kecil yang tak cukup atau terlebih pun boleh bagi kesan pada keupayaan mental individu.





