
Pernah tak anda buat sesuatu, kemudian beberapa minit selepas itu baru terfikir,
“Kenapa aku buat macam tu tadi? Kenapa aku boleh terfikir macam tu?”
Atau anda jumpa seseorang buat kali pertama. Tak tahu kenapa, tapi anda rasa macam tak sedap hati dengan dia.
Dia tak buat apa-apa pun.
Atau anda kena buat keputusan. Atas kertas pilihan A nampak lebih baik, tetapi entah kenapa hati anda kuat memilih B.
Mungkin fenomena ni sebenarnya berkait dengan minda bawah sedar anda. Kita selalu anggap bahawa kita mengawal kehidupan melalui fikiran sedar 100%.
Kita fikir → kita buat keputusan → kemudian kita bertindak.
Tetapi otak tidak semestinya bekerja dalam susunan yang semudah itu.
Banyak proses berlaku di belakang tabir bila melibatkan memori, emosi, tindak balas tubuh, pembelajaran terdahulu dan prediction, sebelum ia mula muncul dalam kesedaran kita.
“Apa yang anda sedar hanyalah sebahagian daripada apa yang sedang dilakukan oleh otak anda.”
Otak anda bekerja walaupun anda tak sedar
Dulu mungkin anda pernah dengar mitos bahawa manusia hanya menggunakan 10% daripada otak.
Itu tidak tepat langsung. Sebaliknya, banyak proses neural berlaku tanpa memerlukan kesedaran kita.
Contoh paling mudah ialah fungsi badan. Anda tak perlu bangun pagi dan fikir,
“Okay, sekarang aku kena kawal suhu badan.”
Anda juga tak perlu secara sedar mengarahkan badan mengawal degupan jantung, rasa lapar atau dahaga.
Banyak perkara berlaku secara automatik.
Prinsip yang sama boleh dilihat pada sebahagian proses kognitif.
Kita mempunyai memori yang boleh dipanggil semula secara sedar, tetapi kita juga mempunyai bentuk pembelajaran dan memori yang boleh mempengaruhi tingkah laku secara automatik (tanpa sedar).
Contohnya, dalam eksperimen berkaitan pemprosesan subliminal, rangsangan seperti wajah beremosi boleh dipersembahkan terlalu pantas untuk dilaporkan secara sedar, tetapi otak masih boleh menunjukkan respons terhadap rangsangan tersebut.
Maknanya, tak sedar bukan bermaksud otak tak proses.
Otak boleh menerima, menilai dan memberi respons terhadap maklumat walaupun anda tidak mempunyai pengalaman sedar yang jelas mengenainya.
“Tak ingat bukan bermaksud tiada kesan. Tak sedar bukan bermaksud otak tidak memproses.”
Sebab itu kita tak sentiasa tahu kenapa kita buat sesuatu
Idea bahawa sebahagian tingkah laku manusia berlaku di luar kesedaran bukanlah sesuatu yang baru.
Lebih 100 tahun lalu, ada ahli psikologi sudah bercakap tentang unconscious mind.
Sudah tentu, banyak idea tidak boleh disamakan terus dengan neuroscience moden. Tetapi satu idea besarnya masih relevan iaitu apa yang berlaku dalam minda tidak semuanya tersedia kepada kesedaran.
Kemudian ada juga yang mempopularkan cara lain untuk memahami perkara ini melalui konsep System 1 dan System 2.
System 1 ialah pemprosesan yang pantas, automatik dan memerlukan sedikit usaha.
System 2 pula lebih perlahan dan memerlukan perhatian serta usaha mental.
Bayangkan anda sedang memandu melalui jalan yang anda lalui setiap hari.
Kadang-kadang anda sampai ke destinasi dan baru tersedar,
“Eh, dah sampai?”
Bukan bermaksud otak anda tidur sepanjang perjalanan.
Sebaliknya, banyak proses sudah menjadi begitu automatik sehingga anda tidak perlu memberikan perhatian sedar kepada setiap tindakan.
Tetapi cuba tiba-tiba ada kereta keluar dari simpang.
Terus perhatian anda berubah.
Fokus meningkat.
Kesedaran terhadap keadaan sekeliling menjadi lebih kuat.
Sebab sekarang ada sesuatu yang tidak dijangka.
Ini membawa kita kepada satu lagi idea penting tentang bagaimana otak berfungsi.

Otak sentiasa cuba meramalkan apa akan berlaku seterusnya
Salah satu kerangka yang banyak dibincangkan dalam neuroscience ialah Free Energy Principle, yang dikaitkan dalam pemikirannya mengenai kesedaran.
Secara ringkas, otak boleh difahami sebagai sistem yang sentiasa cuba membina model tentang dunia dan menjangka apa yang akan berlaku seterusnya.
Kenapa?
Sebab prediction menjimatkan sumber.
Kalau setiap perkara yang berlaku sepanjang hari perlu dianalisis dari kosong, kehidupan akan menjadi sangat meletihkan.
Jadi otak menggunakan pengalaman terdahulu untuk membentuk jangkaan.
Anda masuk pejabat. Anda dah tahu kemungkinan apa yang berlaku. Anda nampak kerusi. Tak perlu analisis 10 minit untuk menentukan bagaimana hendak duduk.
Anda dengar bunyi telefon. Otak sudah mempunyai model tentang apa maksud bunyi tersebut.
Tetapi bila sesuatu berlaku di luar jangkaan, prediction error meningkat.
Sekarang otak perlu memberikan lebih perhatian kepada maklumat baru dan mengemas kini modelnya.
Sebab itu perkara yang pelik, baharu, mungkin ancaman atau tidak pasti, ini akan sangat mudah menangkap perhatian kita.
“Otak tak menunggu dunia berlaku kemudian baru bertindak. Ia sentiasa cuba menjangka apa yang akan berlaku seterusnya.”
Dan di sinilah kita boleh memahami sesuatu yang sangat penting tentang diri sendiri.
Kadang-kadang anda fikir anda membuat keputusan berdasarkan apa yang sedang berlaku sekarang.
Tetapi respons anda mungkin turut dipengaruhi oleh apa yang otak pernah belajar sebelum ini.
Pengalaman lama membentuk expectation. Expectation mempengaruhi prediction. Prediction pula mempengaruhi bagaimana anda mentafsir apa yang berlaku sekarang.
Sebab itu dua orang boleh melalui situasi yang sama tetapi memberikan respons yang sangat berbeza.
Seorang nampak peluang. Seorang lagi nampak ancaman.
Tak semestinya kerana salah seorang lebih bijak cuma mereka membawa internal model yang berbeza.
Jadi kalau anda pernah tertanya,
“Kenapa aku macam ni?”
Jangan hanya lihat apa yang sedang anda fikir secara sedar.
Kadang-kadang kita perlu melihat lebih dalam kepada apa yang otak sudah belajar selama bertahun-tahun.
Kerana anda mungkin sedar tentang keputusan yang anda buat hari ini.
Tetapi anda tidak semestinya sedar tentang semua proses yang membawa anda kepada keputusan tersebut.






