
Pernah tak anda rasa macam tiba-tiba terdengar bunyi kuat, nampak sesuatu yang pelik, atau seseorang tiba-tiba sebut nama anda di tempat ramai orang? Lalu anda terkejut! Dalam sekelip mata, perhatian anda terus berubah.
Ramai orang fikir otak hanya bertindak balas selepas sesuatu berlaku.
Tetapi kajian terbaru menunjukkan perkara yang lebih menarik. Otak sebenarnya sudah mula bersedia sebelum kejutan itu berlaku.
Pusat kepada proses ini ialah hippocampus, bahagian otak yang selama ini terkenal sebagai pusat pembentukan memori jangka panjang.
“Otak yang bijak efisien mengingat masa lalu dan sentiasa membuat ramalan tentang apa yang mungkin berlaku seterusnya.“
Hippocampus tidak hanya menyimpan memori
Setiap saat, otak kita cuba meramal apa yang akan berlaku selepas ini. Jika anda memandu setiap hari melalui jalan yang sama, otak sudah menjangka selekoh, lampu isyarat dan simpang yang bakal muncul.
Tetapi bagaimana pula apabila keadaan menjadi tidak menentu?
Dalam kajian yang diterbitkan dalam Nature Neuroscience, penyelidik mengkaji 17 pesakit epilepsi yang mempunyai elektrod di dalam otak sebagai sebahagian daripada rawatan mereka. Peserta hanya melakukan tugasan yang sangat mudah. Mereka melihat bentuk berwarna di skrin dan menekan butang yang sepadan.
Yang menarik bukanlah tugasan itu, tetapi apa yang berlaku dalam hippocampus.
Apabila urutan gambar menjadi semakin sukar diramal, hippocampus mula menghasilkan letusan aktiviti elektrik yang sangat pantas dikenali sebagai hippocampal ripples.
Lebih mengejutkan, aktiviti ini berlaku sebelum rangsangan yang tidak dijangka muncul, bukannya selepas.

Otak bersedia sebelum perkara penting berlaku
Kajian ini menunjukkan hippocampus bukan sekadar menyimpan pengalaman lama. Ia sentiasa mengira tahap ketidakpastian persekitaran.
Saya cerita ni mungkin anda tak percaya, tapi kalau ada belon meletup, atau mercun meletus berdekatan saya, biasanya saya tak terkejut. Steady saja. Mungkin sebab saya dah train ‘kejutan’ yang bakal berlaku tiba-tiba.
Secara semula jadinya apabila otak mengesan bahawa sesuatu yang bakal muncul mungkin sukar diramal, hippocampus mula “memberi amaran awal” kepada bahagian otak lain.
Akibatnya, kawasan visual menjadi lebih pantas dan lebih kuat memproses maklumat sebaik sahaja rangsangan itu muncul.
Bayangkan seperti seorang pengawal keselamatan. Apabila keadaan kelihatan tenang, semua orang bekerja seperti biasa. Tetapi apabila ada petanda sesuatu mungkin berlaku, pengawal akan memberi arahan supaya semua orang lebih berjaga-jaga.
Hippocampus melakukan perkara yang hampir sama kepada otak kita.
“Otak tidak menunggu kejutan berlaku. Ia meningkatkan tahap kesiapsiagaan lebih awal apabila situasi menjadi sukar diramal.“

Kenapa penemuan ini penting?
Penemuan ini membantu kita memahami bahawa pembelajaran bukan hanya bergantung kepada maklumat yang kita terima.
Ia juga bergantung kepada sejauh mana otak sudah bersedia menerima maklumat tersebut.
Ini mungkin menjelaskan kenapa kita lebih mudah belajar apabila berada dalam keadaan ingin tahu, berwaspada atau menjangkakan sesuatu yang penting akan berlaku. (Sebab tu healthy level of anxiousness bagus)
Sebaliknya, gangguan pada sistem ini mungkin menyumbang kepada beberapa penyakit seperti Alzheimer, Parkinson dan skizofrenia, yang sering dikaitkan dengan masalah memori serta kesukaran menjangka apa yang bakal berlaku.
Pada masa hadapan, memahami bagaimana hippocampus menyediakan otak untuk belajar mungkin membuka ruang kepada rawatan baharu bagi meningkatkan fungsi kognitif.
Bagi kehidupan seharian pula, mesejnya cukup jelas.
Jangan anggap otak hanya bertindak balas terhadap dunia. Setiap hari, ia sebenarnya sedang membina ramalan, mengukur ketidakpastian, dan menentukan bila sesuatu maklumat benar-benar berbaloi untuk diberi perhatian.
Rujukan:
Darya Frank et al, Human hippocampal ripples tune cortical responses based on predicted uncertainty, Nature Neuroscience (2026).






