Otak anda tak suka berubah. Ini biologi di sebalik zon selesa

|

Mengapa anda takut berubah walaupun mahukannya? Jawapannya mungkin cara otak mengurus ketidakpastian dan jaminan keselamatan.

Anda ada impian yang besar? Anda ada plan satu hari nanti nak tukar kerjaya. Nak mula bisnes. Nak ada kehidupan yang anda boleh bergerak bebas. Nak ubah kehidupan!

Saya bukan jenis galakkan orang berhenti kerja sebenarnya. Cuma posting ni pasal kenapa otak tak suka anda lakukan perubahan.

Bila anda terfikir ubah kehidupan, soalan-soalan ini akan mula muncul.

“Macam mana kalau aku gagal?”

“Macam mana kalau aku tak cukup bagus?”

“Macam mana kalau aku buat keputusan yang salah?”

Akhirnya masa berlalu. Hari menjadi minggu. Minggu menjadi bulan. Bulan menjadi tahun.

Dan anda masih berada di tempat yang sama.

Biasanya orang anggap sebab diri tak cukup motivasi untuk berubah ataupun sebab kurang keyakinan diri.

Tetapi hakikatnya, ada sesuatu yang lebih mendalam sedang berlaku.

“Otak anda tidak direka untuk mengejar impian. Otak anda direka untuk memastikan anda terus rasa selesa.”

Sepanjang sejarah kehidupan manusia, perkara yang tidak pasti sering membawa risiko.

Hutan yang tidak pernah diterokai. Kumpulan manusia yang tidak dikenali. Tempat baru yang tidak pasti. Cabaran yang tidak tahu tahap intensiti.

Disebabkan itu, otak manusia berkembang dengan satu keutamaan utama:

Keselamatan.

Dan keselamatan selalunya datang daripada sesuatu yang boleh diramal. Perkara yang jelas dan anda boleh predict.

Otak suka apa yang boleh diramal

Otak sentiasa cuba meramal apa yang akan berlaku seterusnya.

Bila anda bangun pagi, pergi kerja menggunakan jalan yang sama, duduk di tempat yang sama dan melakukan rutin yang sama, otak menjadi sangat cekap.

Ia jadi habitual, rutin yang berulang. Masuk kepada automatik mode. Otak suka sebab ia menggunakan kurang tenaga.

Kurang tekanan. Kurang keperluan untuk berjaga-jaga. Tak perlu prediction and computational processing yang tinggi.

Ia rasa selamat.

Masalahnya, pembangunan diri dan perubahan kehidupan jarang berlaku dalam perkara yang boleh dijangka.

Hampir semua perubahan besar dalam hidup datang bersama ketidakpastian. Lagi tinggi ketidakpastian, lagi besar perubahan yang akan berlaku.

Memulakan bisnes. Bertukar kerjaya. Menjalinkan hubungan baru. Belajar kemahiran baru.

Tiada siapa tahu keputusan akhirnya.

Dan itulah yang membuatkan otak mula berbunyi seperti sistem amaran. Macam alarm sensor kereta yang bising bila ada benda bahaya mendekat.

Ketidakpastian boleh mengaktifkan sistem stres

Kajian neurosains menunjukkan bahawa ketidakpastian itu sendiri boleh mengaktifkan rangkaian otak yang berkait dengan stres.

Tapi masalahnya ancaman sebenar tidak semestinya wujud pun.

Cukup sekadar kemungkinan bahawa sesuatu yang tidak diketahui mungkin berlaku.

Sistem saraf anda akan mula menjadi lebih berhati-hati.

Sebab itu anda boleh menginginkan sesuatu dengan sangat kuat, tetapi pada masa yang sama berasa takut.

Anda boleh rasa cemas sebelum peluang yang anda tunggu-tunggu selama ini muncul.

Dan sebab itu ramai orang tersalah tafsir rasa tidak selesa sebagai tanda untuk berhenti.

Padahal tidak semestinya begitu.

“Kadang-kadang rasa tak selesa tak bermaksud anda berada di jalan yang salah. Cuma anda dah meninggalkan zon yang biasa.”

Ramai orang juga salah faham tentang zon selesa. Mereka fikir zon selesa ialah tempat yang menyeronokkan.

Kadang-kadang tak pun.

Ramai orang terperangkap dalam pekerjaan yang mereka tidak suka. Hubungan yang tidak membahagiakan. Rutin yang membosankan.

Tetapi mereka tetap berada di situ.

Kenapa?

Kerana zon selesa maksudnya kebiasaan dan ada tahu dah baik buruk apa akan berlaku. Anda tak perlu jangka atau ramal.

Otak lebih rela memilih masalah yang sudah dikenali berbanding kemungkinan yang belum diketahui.

Walaupun masalah yang sudah dikenali itu sebenarnya lebih menyakitkan.

Sekurang-kurangnya otak tahu apa yang akan berlaku.

Jadi jika anda sedang berasa takut untuk melangkah ke fasa kehidupan yang baru, jangan terus menganggap itu tanda anda tidak mampu.

Mungkin otak anda sedang melakukan apa yang telah dilakukannya sejak anda kecil dahulu.

Iaitu cuba melindungi anda.

Tetapi kadang-kadang tu lah, untuk berkembang, anda perlu mengajar otak bahawa sesuatu yang tidak pasti tidak semestinya berbahaya.

Cari keseronokan mencuba dan di situlah perubahan sebenar bermula.

Similar Posts

  • Gembira disebalik hidup yang membosankan

    Kehidupan yang baik mungkin tidak bergantung kepada kegembiraan. Apa yang lebih penting ialah pembinaan karakter dan pembentukan identiti.

  • Susah sebenarnya jadi orang dewasa ni

    Ramai orang menjadi tua, tetapi tidak semua orang benar-benar menjadi dewasa. Kematangan sebenar dengan keupayaan mengawal diri, menerima ketidakselesaan dan melayan kelemahan manusia dengan sabar.

  • Ini tabiat untuk anda jadi super produktif

    Ada tabiat psikologi yang boleh menjadikan produktiviti terasa lebih mudah tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada motivasi atau kekuatan semangat.

  • Kenapa ada orang jenis mudah jadi pemenang

    Kejayaan bukan sekadar bakat atau nasib. Ia bermula dengan pilihan, disiplin, dan keberanian untuk mencapai potensi terbaik diri.