
Kenapa semakin anda cuba mencari jawapan untuk permasalah hidup yang berlaku, semakin penat hidup ini terasa.
Kita semua mahukan kehidupan yang mudah dan lancar.
Kita mahu percaya setiap ujian kehidupan berlaku ada sebab. Setiap pengorbanan akan dibalas. Setiap usaha akhirnya akan dihargai. Seolah-olah hidup ini mempunyai skrip yang kemas dan adil.
Tetapi realitinya, kehidupan kadang kala tidak straight begitu.
Kadang-kadang orang yang paling baik diuji paling berat. Orang yang bekerja keras pula diuji dengan kegagalan. Ada hubungan yang dibina bertahun-tahun, akhirnya berakhir begitu saja.
Di sinilah wujud satu jurang yang jarang dibincangkan. Jurang antara apa yang kita harapkan daripada kehidupan dengan apa yang kehidupan berikan.
Anda tidak perlu menutup jurang itu
Kesilapan terbesar manusia ialah menyangka semua persoalan mesti ada jawapan.
Mereka mengejar jawatan, kekayaan, agama, falsafah atau pencapaian tertentu dengan harapan akhirnya semuanya akan terasa sempurna.
Hakikatnya, perasaan itu mungkin tidak pernah datang.
Jurang antara harapan dan realiti tidaklah masalah yang perlu diselesaikan. Ia hanyalah sebahagian daripada kehidupan.
Sama seperti graviti. Sama seperti hujan.
Anda tidak boleh menghapuskannya. Yang boleh dilakukan hanyalah belajar hidup bersamanya.
“Kebebasan sebenar bermula apabila anda berhenti memastikan kehidupan ada penjelasan untuk setiap perkara yang berlaku”.
Fikirkan ibu bapa yang mengorbankan bertahun-tahun membesarkan anak, tetapi akhirnya hubungan mereka menjadi renggang. Atau pekerja yang memberikan seluruh komitmen kepada syarikat sebelum syarikat itu gulung tikar.
Mereka mungkin tidak pernah mendapat penutup cerita yang sempurna.
Namun itulah norma untuk sebuah kehidupan.
Berhenti bertanya “Apa maksudnya semua ini?”
Apabila diuji, ramai akan bertanya soalan yang sama iaitu apa maksudnya.
Soalan itu kedengaran logik, tetapi sebenarnya ia mengandungi satu andaian yang berbahaya.
Seolah-olah kehidupan perlu membuktikan nilainya terlebih dahulu sebelum anda selesa meneruskannya.
Sedangkan hakikatnya tidak.
Peniaga kecil tetap membuka kedai setiap pagi walaupun jualan semalam mengecewakan. Ibu tunggal tetap bangun sebelum subuh menyediakan bekal anak-anak tanpa sesiapa memberi pujian. Pelajar tetap mengulang kaji walaupun belum pasti kecemerlangan peperiksaan itu akan menentukan kerjaya impiannya.
Mereka tidak mempunyai jaminan. Mereka hanya memilih untuk terus lakukan.
“Keberanian sebenar datang apabila anda tetap melangkah walaupun anda tidak pasti hasilnya”.
Yang diperlukan bukan kepastian mutlak tetapi yang diperlukan hanyalah sedikit dorongan untuk melangkah ke hari berikutnya.

Makna kehidupan dibina, bukan ditemui
Bayangkan anda menolak batu besar mendaki bukit setiap hari.
Sampai di atas, batu itu bergolek jatuh semula.
Esok anda menolaknya lagi.
Tiada hadiah. Tiada garisan penamat. Tiada sesiapa yang memberitahu semua itu berbaloi.
Begitulah juga kehidupan.
Ada hari anda bekerja keras tetapi hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Ada hari anda menjadi ibu bapa yang terbaik, namun anak tetap melakukan kesilapan. Termarah anak, menyakitkan hati pasangan tanpa sengaja.
Ada hari kita memberi sepenuh hati kepada orang lain, tetapi akhirnya tetap dikecewakan.
Namun itu tidak bermaksud perjalanan tersebut sia-sia.
Makna kehidupan dibina melalui pilihan sedar yang anda buat setiap hari.
Anda tidak perlu memahami seluruh kehidupan untuk terus melangkah. Cukup sekadar memilih untuk hadir, melakukan yang terbaik, dan mengulanginya sekali lagi esok.
Bukit itu mungkin tidak akan hilang. Cabaran mungkin tidak akan pernah benar-benar selesai.
Tetapi apabila anda berhenti menunggu kehidupan memberikan jawapan kepada semua persoalan, anda akan sedar sesuatu.
Kebebasan sebenar datang apabila anda memilih untuk teruskan perjalanan kehidupan, walaupun tidak semua perkara dapat dijelaskan.






