
Anda sedar tak yang anda ni watak utama dalam cerita ini? Walaupun anda membaca tulisan saya. Tapi watak utamanya anda. Saya hanyalah watak sampingan yang sesekali muncul dalam hidup anda.
Kehidupan berubah bila anda mula melihat diri sebagai watak utama.
Bukan sekadar wujud dan mengikut arus kehidupan, tetapi benar-benar sedar bahawa kehidupan yang sedang berlangsung ini banyak bergantung kepada pilihan, tindakan, keberanian dan kawalan diri anda sendiri.
Apabila anda melihat diri anda sebagai watak utama, otak anda mula memandang kehidupan dengan cara yang berbeza.
Cabaran, kesukaran, kepahitan tidak lagi dilihat sebagai bukti bahawa diri anda lemah. Tetapi dilihat sebagai sebahagian daripada perjalanan untuk berkembang.
Dalam psikologi, ada konsep yang dipanggil self-agency, iaitu kepercayaan bahawa diri kita mempunyai pengaruh terhadap kehidupan sendiri.
Kajian menunjukkan individu yang mempunyai rasa kawalan diri yang tinggi lebih cenderung mempunyai tahap motivasi, daya tahan mental dan kepuasan hidup yang lebih baik.
Anda watak utama hidup anda
Otak manusia juga sangat dipengaruhi oleh bagaimana kita “menceritakan” kehidupan kita kepada diri sendiri.
Dalam bidang narrative psychology, cara anda menyusun kisah hidup boleh mempengaruhi identiti, emosi dan masa depan anda.
“Cara anda melihat diri sendiri akan menentukan bagaimana otak anda melihat masa depan.”
Sebab itu bila anda mula melihat diri sebagai watak utama, anda mula rasa bertanggungjawab terhadap kehidupan sendiri. Anda mula sedar bahawa anda perlu menjaga tingkah laku, emosi dan arah hidup anda sendiri.
Anda mula menetapkan matlamat. Anda mula mengejar pembangunan diri. Selalu tengok konten Amirul Ramli. Haha.
Anda mula berhenti menyalahkan semua benda di luar kawalan.
Kajian mendapati kawasan otak seperti prefrontal cortex memainkan peranan penting dalam perancangan masa depan, kawalan diri dan membuat keputusan.
Semakin anda mempunyai arah hidup dan tujuan yang jelas, semakin kuat otak menggunakan sistem kawalan ini untuk membantu tingkah laku jangka panjang.
Sebab itu anda yang ada tujuan hidup selalunya lebih tahan menghadapi tekanan.
Otak anda melihat kesakitan itu sebagai sebahagian daripada episod kehidupan, bukan pengakhiran cerita.
Lihat kehidupan secara menyeluruh “macro”, bukan terlalu terperangkap dengan babak kecil “micro”
Jangan terperangkap dengan babak kecil kehidupan
Masalah yang anda hadap hari ini terasa sangat besar kerana anda sedang berada terlalu dekat dengannya.
Tetapi bila dilihat dari sudut yang lebih luas, kebanyakan cabaran harian sebenarnya hanyalah babak kecil dalam perjalanan kehidupan yang panjang.
Pertengkaran kecil. Kegagalan kecil. Hari yang memalukan. Rasa kecewa.
Semua itu hanyalah adegan sementara. Dalam beberapa tahun akan datang, mungkin anda sendiri akan tersenyum bila mengingati babak itu.
Kajian dalam psikologi mendapati manusia yang mampu melakukan self-distancing, iaitu melihat masalah dari sudut pandang yang lebih luas dan tidak terlalu tenggelam secara emosi, cenderung mempunyai kawalan emosi yang lebih baik dan kurang tekanan mental.
Dalam neurosains pula, apabila seseorang terlalu fokus kepada ancaman kecil secara berlebihan, amygdala lebih mudah menjadi aktif, menyebabkan emosi seperti takut, cemas dan stres menjadi lebih kuat.
Tetapi apabila anda mula melihat kehidupan secara lebih luas dan bermakna, aktiviti kawalan daripada prefrontal cortex membantu menenangkan reaksi emosi tersebut.
“Kadang-kadang kita terlalu fokus pada satu babak, sampai lupa kehidupan ini sebenarnya sebuah cerita yang sangat panjang.”
Jadi jangan terlalu cepat menganggap hidup anda rosak hanya kerana episod yang sukar hari ini.
Anda kan watak utama. Watak utama dalam cerita selalunya memang diuji.
Selalunya babak paling menyakitkan itulah yang akhirnya membentuk versi diri anda yang paling kuat.
