
Anda suka fikir yang kejayaan itu bergantung pada bakat? Anda selalu cakap dekat kawan, “kau boleh lah, dah memang power~”
“Kalau dia atlet hebat, mesti sebab genetik. Kalau dia usahawan berjaya, mesti sebab bernasib baik. (Tak pun mak ayah dah memang kaya ni). Kalau dia cemerlang dalam pelajaran, mesti sebab pandai sejak kecil. Oh yang ni Follower tiktok banyak, mesti dia dah biasa bercakap depan kamera ni.“
Ya, semua faktor itu memainkan peranan. Tetapi ada satu perkara yang lebih penting.
Pilihan
Pilihan untuk melakukan perkara yang perlu dilakukan walaupun badan rasa tidak seronok. Pilihan untuk terus bergerak walaupun penat. Pilihan untuk kekal fokus ketika orang lain memilih jalan yang lebih mudah dan berputus asa.
“Pemenang bukan sekadar mahu menang. Mereka memilih untuk hidup seperti mana seorang pemenang lakukan setiap hari.”
Ramai orang kata mereka mahu berjaya. Tetapi bila ditanya lebih lanjut, mereka sendiri tidak dapat menjelaskan kejayaan yang dimaksudkan.
Mahu kaya? Berapa banyak? Mahu sihat? Sejauh mana? Mahu bahagia? Apa definisinya?
Otak anda bekerja lebih baik apabila sasaran itu jelas. Bahagian prefrontal cortex yang bertanggungjawab merancang dan membuat keputusan memerlukan arah yang spesifik.
Sebab itu langkah pertama untuk mencapai sesuatu ialah mengetahui dengan tepat apa yang anda mahu.
Selepas itu, tanya dua soalan yang lebih penting.
Sejauh mana anda mahukannya? Dan berapa banyak kesusahan yang anda sanggup hadapi untuk mendapatkannya?
Ramai orang suka impian yang besar. Tetapi tidak ramai yang suka pengorbanan yang perlu dibayar.
Hakikatnya, kejayaan sentiasa datang bersama kos.
Ada masa yang perlu dikorbankan, hiburan yang perlu ditinggalkan, keselesaan yang perlu dilepaskan. (Hmm saya yang cerita apa BPDP? ke BHPP tu tak berpeluang tengok pun lagi)
Mahu atau tidak, itulah harga yang perlu dibayar.
“Semakin besar impian anda, semakin mahal harga yang perlu dibayar.”
Mentaliti pejuang atau mangsa?
Apabila berdepan kegagalan, manusia biasanya memilih satu daripada dua jalan.
Jalan pertama ialah mentaliti mangsa. Mula menyalahkan keadaan, ekonomi, pelbagai masalah keluarga. Menyalahkan nasib.
Jalan kedua ialah mentaliti pejuang.
Dia tidak menafikan masalah itu wujud. Tetapi soalan yang bermain dalam fikirannya berbeza. Bukan “Kenapa ini berlaku kepada aku?”
Sebaliknya:
“Macam mana aku nak atasi benda ini?”
Perbezaan kecil pada cara berfikir ini menghasilkan tindakan yang sangat berbeza.
Satu orang berhenti. Seorang lagi mencari jalan.
Gasing yang anda dapat tidak menentukan keputusan permainan
Bayangkan kehidupan seperti permainan gasing. (Saya takut anda tak tahu apa itu gasing. Macam bayblade tu lah. ) Anda tidak boleh memilih gasing yang diberikan.
Genetik. Keluarga. Tempat lahir. Keadaan ekonomi. Pengalaman hidup.
Semuanya sudah ditentukan sebelum anda sedar tentang kewujudannya. Tetapi kemenangan tidak ditentukan oleh gasing yang anda pegang.
Ia ditentukan oleh bagaimana anda memutarkan gasing tersebut. Ada orang mendapat gasing yang baik tetapi kemahiran balingan sia-sia.
Ada orang mendapat gasing yang biasa-biasa tetapi berjaya mencipta putaran kehidupan luar biasa.
Yang membezakan mereka ialah cara berfikir dan kesungguhan meningkatkan kualiti diri yang dibuat setiap hari.
Kegagalan bukan identiti anda
Ramai orang gagal sekali lalu mula melabel diri sendiri.
“Aku memang tak pandai.”
“Aku memang tak layak.”
“Aku memang tak berbakat.”
Masalahnya, mereka melihat kegagalan sebagai identiti. Sedangkan bagi individu berprestasi tinggi, kegagalan hanyalah data.
Maklumat. Maklum balas. Petunjuk tentang apa yang perlu diperbaiki. Apa yang jangan diulangi. Jika sesuatu strategi tidak menjadi, mereka ubah strategi.
Jadi versi terbaik diri sendiri
Pada akhirnya, kejayaan tentang melihat sejauh mana potensi diri anda boleh pergi. Berapa kali anda berjaya memecah rekod sendiri.
Realiti yang pahit. Bukan semua orang akan menjadi juara dunia dan bukan semua menjadi jutawan.
Tetapi setiap orang mempunyai tanggungjawab untuk mengeluarkan potensi terbaik yang ada dalam dirinya.
Penyesalan yang paling berat ialah apabila anda sedar anda sebenarnya mampu pergi lebih jauh, tetapi tidak pernah mencuba dengan bersungguh-sungguh.
“Kepuasan sebenar datang bila annda tahu anda dah bagi yang terbaik daripada apa yang anda mampu.”






