Kesunyian buat manusia sakit, tapi doktor tak mampu buat apa-apa

|

Kesunyian boleh meningkatkan risiko penyakit dan kematian awal, tetapi sistem kesihatan tidak mampu membina semula hubungan sosial manusia.

Kesunyian ni bukan maksudnya hidup seorang diri. Saya pun pernah berada pada zaman duduk rumah sewa seorang. Rasa sunyi ni bermula bila rasa sedih sebab tiada orang menemani.

Apabila anda hidup terlalu lama tanpa hubungan sosial yang bermakna, tubuh anda boleh mula menerima keadaan itu sebagai satu bentuk ancaman.

Sistem stres menjadi lebih aktif. Tidur boleh terganggu. Keradangan dalam tubuh meningkat. Kesihatan jantung, fungsi kognitif dan sistem imun juga boleh terjejas.

Sebab itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kesunyian mula dibincangkan sebagai isu kesihatan awam.

Ada kajian yang membandingkan kesan kekurangan hubungan sosial diibaratkan dengan risiko kesihatan akibat merokok sehingga 15 batang rokok sehari.

Tapi mungkin tak seteruk itu, cuma nak kata rasa sunyi ni memang menyebabkan gangguan kepada kesihatan mental dan tubuh badan.

Analisis lain pula mendapati kesunyian, pengasingan sosial dan hidup bersendirian dikaitkan dengan peningkatan sekitar 30 peratus risiko kematian pramatang.

Namun, apabila kesunyian mula dianggap sebagai masalah kesihatan, satu persoalan penting muncul:

Adakah semua masalah yang memberi kesan kepada kesihatan boleh diselesaikan oleh sistem perubatan?

Kesunyian boleh menyebabkan seseorang jatuh sakit, bila sakit doktor bantu rawat tetapi itu tidak bermaksud doktor mampu menghilangkan derita kesunyian yang ditanggung.

Apabila kesunyian menjadi diagnosis

Satu kajian dari University of Michigan meneliti bagaimana kesunyian dan pengasingan sosial mula berubah daripada masalah masyarakat kepada masalah kesihatan.

Apabila penyelidik menemui hubungan antara kesunyian dengan penyakit, kematian awal dan peningkatan kos rawatan, isu ini mula mendapat perhatian yang lebih besar.

Doktor boleh bertanya sama ada pesakit tinggal bersendirian, mempunyai rakan untuk berbual atau terlibat dalam aktiviti masyarakat.

Pesakit yang dikenal pasti mengalami kesunyian juga boleh dirujuk kepada kaunselor, kumpulan sokongan atau program komuniti.

Apabila sesuatu masalah berkait dengan kesihatan, kita terus menganggap bahawa penyelesaiannya juga perlu datang daripada sistem kesihatan.

Doktor hanya mampu melihat kesan akhirnya.

Mereka melihat tekanan darah meningkat, tidur terganggu, kemurungan, keresahan atau kemerosotan fungsi tubuh.

Tetapi doktor tidak boleh mencipta kawan untuk pesakit. Doktor tidak boleh menghidupkan semula aktiviti sosial pesakit yang telah padam.

Otak manusia tidak dibina untuk hidup terasing

Dari sudut psikologi dan neurosains, kesunyian bukan hanya berlaku apabila kita tidak mempunyai orang di sekeliling.

Seseorang boleh berada dalam pejabat yang penuh manusia, mempunyai ribuan pengikut di media sosial dan masih berasa sangat sunyi.

Kesunyian berlaku apabila otak mengesan jurang antara hubungan sosial yang anda perlukan dengan hubungan yang anda miliki.

Manusia berkembang dalam kumpulan.

Pada zaman dahulu, terpisah daripada kelompok boleh membawa ancaman kepada keselamatan dan kelangsungan hidup.

Sebab itu otak boleh mentafsir pengasingan sosial sebagai bahaya.

Apabila keadaan ini berpanjangan, sistem ancaman dalam otak menjadi lebih sensitif.

Individu yang kesunyian boleh menjadi lebih berhati-hati terhadap ekspresi wajah, nada suara dan penolakan sosial.

Mereka mungkin mula mentafsir reaksi neutral orang lain sebagai negatif.

Masalahnya, keadaan ini boleh membentuk satu kitaran. Semakin seseorang berasa terancam secara sosial, semakin dia menjauhkan diri.

Semakin dia menjauhkan diri, semakin kuat pula rasa kesunyian itu.

“Kesunyian adalah keadaan bila otak tak lagi merasakan hubungan yang selamat dan bermakna

Sebab itu “pil kesunyian” yang diambil mungkin boleh mengurangkan sebahagian respons stres atau simptom emosi.

Namun, ubat tidak mampu memberikan seseorang rasa dimiliki, dihargai dan diperlukan.

Ubat juga tidak boleh menggantikan perbualan, persahabatan, sentuhan manusia atau rasa menjadi sebahagian daripada sesuatu komuniti.

Kita perlu melihat lebih jauh daripada hospital

Penyelesaian sebenar kepada kesunyian perlu bermula lebih awal, sebelum seseorang sampai ke klinik atau hospital.

Kita perlu melihat bagaimana kehidupan moden sedang dibentuk.

Waktu kerja yang semakin panjang. Keluar gelap, balik gelap. Tak ada masa bersosial. Kawasan perumahan dibina tanpa ruang komuniti yang hidup.

Ahli keluarga tinggal semakin berjauhan. Ramai orang berpindah untuk bekerja dan kehilangan rangkaian sosial lama.

Interaksi digital meningkat, tetapi perbualan bersemuka semakin berkurang.

Bagi warga emas, kehilangan pasangan, masalah pergerakan dan ketiadaan aktiviti harian boleh menyebabkan kehidupan mereka semakin sempit.

Bagi golongan muda pula, mereka mungkin sentiasa berhubung secara digital tetapi tidak mempunyai hubungan yang cukup dalam untuk membuatkan mereka rasa difahami.

Jadi, intervensi terhadap kesunyian bukan sekadar meminta seseorang “keluar berkawan”.

Kita perlu membina persekitaran yang memudahkan hubungan berlaku.

Tempat kerja perlu memberikan ruang untuk kehidupan di luar pekerjaan. Atau di tempat kerja itu sendiri perlu mesra aktiviti sosial.

Kawasan kejiranan memerlukan aktiviti yang menyatukan penduduk.

Warga emas memerlukan struktur kehidupan, pengangkutan dan peluang untuk terus menyumbang.

Sekolah pula perlu mengajar kemahiran sosial dan hubungan, bukan sekadar pencapaian akademik.

Sistem kesihatan masih mempunyai peranan. Namun, rawatan klinikal hanya satu bahagian kecil daripada penyelesaian.

“Kita tak boleh merawat masalah sosial hanya selepas ia berubah jadi penyakit. Biasa waktu ni dah terlambat”

Kesunyian akhirnya mengajar kita bahawa kesihatan manusia tidak hanya dibentuk oleh ubat, pemakanan atau senaman.

Kesihatan juga dibentuk oleh hubungan, peluang untuk berbual dan perasaan bahawa kewujudan kita disedari oleh orang lain.

Similar Posts