
Anda tengah cari siapa diri anda sebenar ke? Dah jumpa ke belum? Ramai orang menghabiskan bertahun-tahun cuba mencari diri sendiri.
Mereka bertanya:
“Siapa aku sebenarnya?”
“Apa identiti sesuai untuk aku?”
“Apa potensi sebenar yang aku boleh capai?”
Tetapi mungkin ada soalan yang lebih berguna.
Bagaimana jika anda berhenti mencari siapa diri anda sekarang, dan mula membina siapa yang anda mahu atau teringin untuk jadi? Walaupun anda pada awal tidak yakin jika itu watak sebenar anda.
Tetapi jika watak itu membantu beliau menjadi lebih kreatif, lebih berani dan lebih berjaya, adakah ia sekadar lakonan?
“Mungkin cara paling cepat untuk anda menjadi seseorang ialah dengan mula bertindak macam orang itu.”
Kehidupan adalah pentas identiti
Kehidupan sosial ni kalau anda perhatikan menyerupai sebuah pentas.
Di tempat kerja, kita memainkan satu peranan. Di rumah, kita memainkan peranan yang lain. Bersama rakan-rakan, mungkin muncul versi diri yang berbeza pula.
Hakikatnya, kita semua mempunyai pelbagai identiti dan versi bergantung kepada keadaan.
Jadi memang kita selalu pakai topeng pun. Cuma persoalannya ialah topeng yang mana kita pilih untuk pakai setiap hari dengan kerap.
Jika setiap hari anda mengulangi kepada diri sendiri bahawa anda seorang yang malas, tidak berdisiplin atau tidak pandai berkomunikasi, otak akan cuba mengekalkan identiti tersebut.
Kalau macam itu cuba ubah sedikit watak anda.
Daripada dialog:
“Aku ni memang tak boleh fokus ke?”
Tukar kepada:
“Kalau aku seorang yang fokus, berdisiplin, apa yang aku akan buat sekarang?”
Perubahan kecil pada identiti sering menghasilkan perubahan besar pada tingkah laku seterusnya kehidupan anda.
Otak percaya apa yang anda ulangi
Dalam psikologi terdapat satu kajian yang dikenali sebagai Batman Effect.
Kanak-kanak yang diminta membayangkan diri mereka sebagai watak seperti Batman atau watak hero lain didapati lebih lama bertahan apabila melakukan tugasan yang sukar.
Mereka tidak lagi melihat cabaran daripada perspektif diri mereka yang biasa. Sebaliknya mereka melihatnya melalui identiti baru yang lebih kuat.
Prinsip yang sama boleh digunakan dalam kehidupan seharian.
Jika anda mahu menjadi seorang penulis, mula bertindak seperti penulis. Kalau anda mahu menjadi seorang usahawan, mula berfikir seperti usahawan. Mungkin anda mahu menjadi seorang yang berdisiplin, jadi mula buat keputusan seperti orang yang berdisiplin.
Daripada sudut neurosains, setiap kali anda mengulangi corak pemikiran dan tingkah laku yang sama, rangkaian neuron yang berkaitan akan menjadi semakin kuat.
Otak sentiasa belajar daripada apa yang anda lakukan berulang kali.
Ia tidak terlalu peduli sama ada anda memanggilnya identiti, persona atau watak.
Otak melihat tindakan anda. Kemudian otak akan jalankan.
“Anda tak jadi diri anda setakat dengan impikan. Anda jadi diri anda melalui apa yang anda ulangi.”
Jadi mungkin anda tidak perlu menunggu sehingga tahu siapa diri anda sebenar. Anda hanya perlu mula bertindak seperti individu yang anda mahu jadi.
Sedikit demi sedikit, apa yang bermula sebagai satu watak boleh bertukar menjadi sebahagian daripada diri anda yang sebenar.






