Ada ADHD atau sebab anda scroll phone banyak sangat?

Adakah anda benar-benar mempunyai ADHD, atau otak anda sudah terlalu biasa dengan rangsangan dasyat daripada teknologi?

Pernah tak anda rasa macam susah sangat nak fokus? Nak buat kerja, tapi tangan asyik capai telefon. Nak baca buku, tapi rasa bosan selepas dua muka surat.

Kemudian nak cari mood ambil phone buka Tiktok. Anda nampak orang sharing, dia cakap

“Kalau anda susah fokus, suka tangguh kerja, mudah hilang perhatian, mungkin anda ada ADHD.”

Lalu anda mula tertanya-tanya.

“Eh, aku ada ADHD ke?”

“Tak semua masalah fokus adalah ADHD. Kadang-kadang masalahnya pada rangsangan persekitaran yang terlalu banyak.”

ADHD sebenar bermula sejak kecil

ADHD bukan sekadar sukar memberi perhatian. ADHD ialah gangguan neuroperkembangan yang biasanya bermula sejak zaman kanak-kanak lagi. Jaringan sel otak itu berbeza dengan orang lain.

Individu dengan ADHD lazimnya menunjukkan corak kesukaran fokus, impulsif atau hiperaktif sebelum usia 12 tahun.

Dalam psikologi, diagnosis ADHD bukan dibuat hanya kerana seseorang mudah hilang fokus.

Ia juga perlu menyebabkan gangguan yang nyata dalam kehidupan macam di sekolah, tempat kerja atau hubungan sosial.

Sebab itu seseorang yang baru mengalami masalah fokus pada usia 25 atau 30 tahun tidak semestinya mempunyai ADHD.

Ada kemungkinan sesuatu yang lain sedang berlaku.

Teknologi sedang mengubah otak kita

Hari ini kita hidup dalam dunia yang penuh rangsangan. Makan sambil tengok video. Memandu sambil dengar podcast. Bekerja sambil buka YouTube. (Saya tak eh, selalu saya buat kerja cuba untuk single task saja)

Berehat sambil scroll media sosial. (Ok lah ini saya mengaku)

Otak kita hampir tidak pernah diberi peluang untuk berada dalam keadaan senyap.

Dari sudut neurosains, media sosial menggunakan sistem yang dipanggil intermittent reinforcement.

Konsepnya sama seperti mesin judi. Kita tidak tahu bila notifikasi seterusnya akan muncul.

Kita tidak tahu bila video menarik seterusnya akan muncul. Kita terus scroll mana tahu ada posting yang menarik. Jadi kita terus mencari dan berharap.

Ketidakpastian itu membuatkan otak terus mencari ganjaran seterusnya. (Contoh macam video lawak, video viral)

Lama-kelamaan otak mula terbiasa dengan rangsangan yang tinggi.

Akibatnya, tugasan yang perlahan seperti membaca buku, menulis laporan atau belajar untuk peperiksaan mula terasa membosankan.

Kajian mendapati penggunaan media digital yang berlebihan berkait dengan peningkatan simptom seperti ADHD dari semasa ke semasa.

Ini tidak bermaksud teknologi menyebabkan semua ADHD. Tetapi ia boleh menyebabkan seseorang kelihatan seperti mempunyai ADHD. Kiranya macam induced ADHD lah.

Adakah anda ada ADHD atau sekadar terlebih stimulasi?

Jika masalah fokus anda bertambah baik apabila penggunaan telefon dikurangkan, adakah itu benar-benar ADHD?

Jika anda boleh fokus dengan baik selepas beberapa hari berehat daripada media sosial, adakah itu gangguan neurodevelopment sejak lahir?

Tidak semua masalah perlu dilabel sebagai gangguan.

“Boleh jadi kadang kala apa yang anda lihat sebenarnya adalah tindak balas normal terhadap persekitaran yang tidak normal”

Mungkin sebelum anda bertanya “Adakah aku ada ADHD?”, anda perlu bertanya satu soalan yang lebih penting.

Berapa jam sehari sebenarnya anda memberi otak anda peluang untuk fokus pada satu perkara sahaja?

Rujukan:

Diamond, A. (2013). Executive functions. Annual Review of Psychology, 64, 135–168. https://doi.org/10.1146/annurev-psych-113011-143750

Posner, J., Polanczyk, G. V., & Sonuga-Barke, E. (2020). Attention-deficit hyperactivity disorder. The Lancet, 395(10222), 450–462. https://doi.org/10.1016/S0140-6736(19)33004-1

Ra, C. K., Cho, J., Stone, M. D., De La Cerda, J., Goldenson, N. I., Moroney, E., Tung, I., Lee, S. S., & Leventhal, A. M. (2018). Association of digital media use with subsequent symptoms of attention-deficit/hyperactivity disorder among adolescents. JAMA, 320(3), 255–263. https://doi.org/10.1001/jama.2018.8931

Smith, J.D., Jr. (2024). The ADHD tech controversy: Finding clarity amidst the chaos for adults. Medium.

Similar Posts

  • Anda nak tolong kawan tengah down

    Manusia tidak sentiasa perlukan jawapan. Ada masanya mereka cuma perlukan seseorang dengan rentak sistem saraf yang selari.

  • Suara dalam kepala yang tak berhenti

    Suara dalam kepala anda boleh jadi pembimbing hidup atau penjara yang menghukum diri sendiri setiap hari.

  • Ini beza otak introvert dan ekstrovert

    Otak introvert dan ekstrovert memproses maklumat secara berbeza. Individu pendiam tidak semestinya bermaksud buntu idea.

  • Ramai remaja suka luah emosi dekat AI

    AI semakin menjadi tempat remaja meluahkan perasaan kerana ia mudah, cepat dan sentiasa tersedia.