
Ada perasan tak ada pemikiran negatif yang kadang kala mengganggu hidup anda.
Kalau tersilap sedikit, terus mengutuk diri sendiri. Bila gagal, terus rasa diri tidak berguna. Nampak orang lain berjaya, mula membandingkan diri tanpa henti.
Memang betul. Jika berlebihan, ia boleh merosakkan keyakinan diri dan kesihatan mental.
Kajian neurosains menunjukkan tidak semua negative self-talk itu tidak berguna secara total.
Dalam keadaan tertentu, ia mungkin mempunyai fungsi yang lebih kompleks daripada yang anda sangka.
“Suara dalam kepala anda tu tak semestinya sebagai musuh. Yang penting ialah bagaimana anda menggunakannya.”
Dari mana datangnya suara dalam kepala itu?
Setiap orang ada dialog dalaman. Anda mungkin tidak menyedarinya, tetapi hampir sepanjang hari otak anda berkomunikasi sendirian.
Kadang-kadang ia memberi semangat.
“Tak apa. Cuba lagi.”
Kadang-kadang ia mengkritik.
“Kenapa kau buat silap lagi?”
Suara ini tidak muncul secara tiba-tiba.
Ia terbentuk daripada pengalaman hidup, cara ibu bapa bercakap dengan kita, kritikan guru, pujian yang diterima, kegagalan yang pernah dialami dan pelbagai pengalaman lain sejak kecil.
Lama-kelamaan, semua pengalaman itu menjadi sebahagian daripada naratif dalaman anda.
Sebab itu ada individu yang sangat mudah memaafkan diri sendiri. Dan ada juga yang menjadi pengkritik paling keras terhadap dirinya sendiri.
Kajian tentang self-talk dan otak
Pada tahun 2021, satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Scientific Reports menggunakan imbasan fMRI untuk melihat bagaimana otak bertindak balas terhadap dua bentuk self-talk yang berbeza.
Satu kumpulan menggunakan pendekatan self-respect, iaitu bercakap dengan diri sendiri secara lebih menghormati dan membina.
Satu lagi menggunakan pendekatan self-criticism, iaitu lebih banyak mengkritik diri sendiri.
Menariknya, penyelidik mendapati kedua-dua pendekatan ini mengaktifkan rangkaian otak yang berbeza.
Ini menunjukkan bahawa negative self-talk bukan sekadar “fikiran negatif”. Ia sebenarnya melibatkan proses kognitif yang kompleks dalam otak.
Dalam sesetengah keadaan, kritikan terhadap diri sendiri boleh membantu seseorang mengesan kelemahan, mengenal pasti kesilapan dan melakukan penambahbaikan.
Jadi okay lah sebenarnya. Cuma masalah berlaku apabila kritikan itu tidak lagi membantu.
Ia berubah menjadi serangan peribadi terhadap diri sendiri.
Contohnya:
“Aku buat silap dalam presentation hari ni.”
Ini masih kritikan yang boleh membantu.
Tetapi apabila ia bertukar menjadi:
“Aku memang bodoh. Tak reti langsung presentation”
Kini ia tidak lagi menyelesaikan masalah. Ia hanya menyerang identiti diri.
“Kritikan yang baik menyerang masalah. Kritikan yang buruk menyerang diri.”
Gunakan negative self-talk sebagai data, bukan hukuman
Apabila suara negatif muncul, jangan terus percaya semua yang dikatakannya.
Sebaliknya, gunakan ia sebagai sumber maklumat.
Tanya diri sendiri:
Apakah sebenarnya yang cuba diberitahu oleh otak aku? Adakah aku benar-benar tidak mampu? Atau aku cuma belum cukup bersedia?
Adakah aku benar-benar gagal? Atau aku sedang belajar sesuatu yang baru?
Otak manusia mempunyai kecenderungan untuk mengesan ancaman dan kesilapan. Dari sudut evolusi, mekanisme ini membantu manusia terus hidup.
Tetapi dalam dunia moden, ancaman itu dalam bentuk kegagalan, penolakan atau rasa malu. Sebab itu kadang-kadang otak terlebih sensitif terhadap kesilapan kecil.
Jadi apabila negative self-talk muncul, jangan terus melawannya.
Dengar dahulu. Tapis. Ambil maklumat yang berguna.
Buang bahagian yang hanya menghukum. Suara itu mungkin tidak sentiasa betul. Tetapi ada kalanya ia sedang cuba memberi amaran tentang sesuatu yang perlu diperbaiki.
Perbezaannya ialah sama ada anda menjadikannya sebagai pembantu, atau membiarkannya menjadi pembuli dalam kepala anda.






