
Umur antara 20-30 fasa saya memburu identiti. Cari benda apa yang saya minat. Tak sure sama ada itu prinsip sendiri atau terpengaruh lepas tengok influencer di sosial media.
“Sampai bila nak hidup makan gaji? Sini saya tunjukkan cara untuk hidup bebas dengan pendapatan 5,6 angka sebulan”
Haha. adeh. Tapi biasa zaman mudah remaja ni kita memang mudah terpengaruh. Benda tak salah, memang boleh buat, tapi itu bukanlah benda yang anda kena kejar dulu sebenarnya.
Ramai orang rasa hidup mereka belum benar-benar bermula kerana masih belum jumpa satu perkara yang mereka sangat minat.
Mereka tengok orang lain dalam media sosial yang kerja sendiri, nampak seronok macam dah jumpa jalan hidup. (Realitinya ramai yang kecundang selepas beberapa tahun)
Berbalik kepada minat, impian dan cita-cita. Ada yang kata sejak kecil dia memang mahu jadi doktor. Ada yang tahu dia mahu berniaga. Ada yang sanggup bekerja siang malam kerana katanya, “Ini minat aku”
Kemudian kita tengok diri sendiri.
Hari ini minat menulis. Minggu depan rasa nak berniaga. Bulan depan tiba-tiba teringin belajar fotografi, mengajar, melukis, bercucuk tanam atau berjalan melihat dunia.
Lalu kita mula risau.
“Kenapa aku masih tak jumpa apa yang aku betul-betul minat buat?”
Macam saya sendiri di uia, bermula dengan minat video editing, kemudian cuba menulis, try juga public speaking, jadi content creator.
Saya pernah buat keputusan, “Aku memang minat video editing”
Jadi masuk dalam bidang penghasilan video dalam 4-5 tahun buat video korporat, montaj program untuk syarikat, agensi, kerajaan Negeri Melaka.
Mungkin masalahnya ialah anda terlalu percaya bahawa setiap manusia mesti mempunyai hanya satu minat besar yang akan menentukan seluruh kehidupannya.
“Tak semua orang dilahirkan dengan satu panggilan hidup yang jelas. Ada orang bina kehidupan yang bermakna hanya dengan terus mencuba.“
Idea “satu minat” boleh membuatkan anda terperangkap
Nasihat “ikut passion anda” kedengaran sangat indah.
Tetapi ia juga boleh mencipta satu tekanan yang tidak disedari.
Anda mula percaya bahawa di dalam diri anda ada satu jawapan yang tersembunyi. Satu kerjaya yang sempurna. Satu bidang yang akan membuatkan anda bangun setiap pagi dengan semangat tanpa pernah rasa bosan, ragu atau penat.
Jadi anda terus mencari.
Anda buat ujian personaliti. Tengok video motivasi. Tukar kerja. Cuba hobi baru. Berhenti sekejap. Mula semula.
Setiap kali minat itu pudar, anda anggap ia bukan minat sebenar.
Sedangkan minat manusia memang boleh berubah.
Perkara yang membuatkan anda teruja pada umur 20 tahun mungkin tidak lagi sama apabila umur 30 atau 40 tahun. Keutamaan berubah. Tanggungjawab berubah. Cara kita melihat kehidupan juga berubah.
Saya sendiri selepas dah terjun sebagai video maker, ada buat video kahwin, video korporat, video komersial dan sebagainya, saya rasa sampai satu tahap tu “dah kot, tak nak edit video lagi lah”.
Minat tu masih ada, cuma saya sudah tak mahu berurusan dengan client yang kadang kala suruh edit semula video sampai lebih 10 kali adjustment! Haha.
Bukan semua minat perlu bertahan sepanjang hayat untuk dianggap bermakna.
Ada perkara yang hadir hanya untuk satu fasa kehidupan. Ada hobi yang kita nikmati beberapa bulan. Ada pekerjaan yang mengajar kita sesuatu sebelum kita bergerak ke tempat lain.
Ia tetap bernilai walaupun tidak kekal.
Selepas degree saya bermula dengan mengajar. Tengok kalau minat mengajar, kemudian slepas 3,4 tahun saya berhenti sebab dilihat tak sesuai. Saya ni tak tegas.
Kemudian cuba bidang video editor tu. Selepas 4,5 tahun ,saya ambil keputusan untuk berhenti.
Minat tu masih ada, cuma saya tak terjemahkan lagi sebagai kerjaya tetap.
Sekarang saya masuk pula dalam bidang Trainer (Pelatih untuk sesuatu program latihan).
Masalahnya berlaku apabila kita menunggu terlalu lama untuk menemui “perkara yang betul” sehingga kita tidak melakukan apa-apa.
“Anda tak perlu kena pasti dulu sebelum bermula. Kadangkala kepastian hanya muncul selepas anda dah lama berjalan”

Passion tidak semestinya ditemui, ia boleh dibina
Kita selalu membayangkan passion datang seperti kilat.
Tiba-tiba kita tahu, “Inilah tujuan hidup aku.”
Tetapi dalam kehidupan sebenar, minat yang kuat selalunya dibina secara perlahan.
Pada awalnya, kita mungkin hanya mencuba.
Kita membaca kerana ingin tahu. Menulis kerana mahu meluahkan sesuatu. Mengajar kerana seseorang meminta bantuan. Berniaga kerana perlukan pendapatan.
Kemudian kita menjadi sedikit lebih mahir.
Apabila semakin mahir, kita mula menikmati prosesnya. Kita menerima maklum balas. Kita nampak hasil. Kita rasa diri kita berguna.
Dari situ, minat semakin bertambah.
Maksudnya, passion tidak semestinya menjadi punca kita bermula. Kadangkala passion ialah hasil daripada kita bertahan cukup lama dalam sesuatu perkara.
Ramai orang berhenti terlalu awal kerana mereka menunggu rasa teruja yang berterusan.
Padahal hampir semua perkara akan melalui fasa membosankan.
Penulis akan ada hari dia tidak mahu menulis. Penceramah akan ada hari dia penat bercakap. Usahawan juga ada masa dia muak melihat masalah perniagaan.
Selepas beberapa tempoh masa, pengalaman saya sendiri, biasanya seawal dua tahun, anda akan nampak jika bidang itu sesuai atau tak untuk anda terus lakukan.
Tapi kena hati-hati, jangan terlalu cepat berhenti, melompat ke “minat” yang lain sebelum apa yang anda buat itu “masak ranum”.
Jangan cuba sesuatu yang baru pula semata-mata sebab penat, emosi, rasa tak best lagi
tapi boleh mula plan cari minat baru bila rasa dah sampai satu tahap di mana boleh nampak konteks keseluruhan kehidupan andainya anda all out dalam bidang itu. Kemudian fikir boleh terima atau tak.
Macam saya sewaktu buat kerja video editing sepanjang malam perlu berjaga siapkan video klien, jadi di usia 30an itu bagi saya akan tidak sesuai. Sebab awal pagi kesian anak saya tak ada teman bermain. Ayahnya lepas subuh baru tidur.
Hidup yang baik tidak memerlukan satu tujuan besar
Ada orang benar-benar mempunyai satu misi besar.
Itu bagus.
Tetapi tidak semua orang perlu hidup seperti itu.
Ada manusia yang menikmati banyak perkara. Mereka suka membaca, memasak, berjalan, menonton filem, membantu orang lain, bermain dengan anak, belajar teknologi, pertanian, penghasilan makanan, pembuatan produk atau nak kerja makan gaji balik rumah boleh duduk diam menikmati waktu petang.
Ia tetap dapat membentuk kehidupan yang dirasakan puas.
Kita sering menganggap hidup bermakna mesti nampak besar.
Mesti ada pencapaian. Mesti ada nama. Mesti ada sesuatu yang boleh diceritakan sebagai satu naratif sempurna.
Sedangkan makna kehidupan tidak semestinya datang daripada satu minat.
Ia boleh datang daripada keluarga. Kerja yang sederhana. Persahabatan. Kesihatan. Rasa ingin tahu. Tanggungjawab. Perkara kecil yang kita ulang setiap hari.
“Mungkin tujuan hidup bukan untuk menemui satu perkara yang paling anda minat sangat, tapi untuk belajar mencuba banyak perkara sepanjang perjalanan.“
Anda mungkin tidak pernah menemui satu kerjaya yang terasa seperti takdir.
Tidak mengapa.
Anda mungkin suka sesuatu hari ini dan berubah fikiran beberapa tahun kemudian.
Itu juga tidak mengapa.
Manusia bukan watak dalam filem yang mesti mempunyai satu jalan cerita yang kemas.
Kita boleh berubah. Berhenti. Bermula semula. Menukar arah. Berehat. Menemui minat baru.
Jangan tangguhkan kehidupan hanya kerana anda masih belum jumpa satu passion. Banyak masa untuk cuba sesuatu. Belajar sesuatu. Bina kemahiran.
Lihat apa yang berkembang.
Mungkin anda tidak akan menemui satu perkara yang anda sepatutnya lakukan berterusan sepanjang hidup.
Tetapi apabila anda terus bergerak, mencuba dan memberi perhatian kepada perkara yang membuatkan hidup terasa bernilai, semuanya perlahan-lahan akan membentuk sebuah kehidupan.
Dan mungkin, kehidupan itu sudah cukup baik untuk anda lelapkan mata di malam hari. Sebab at least anda “dah cuba”.






