
Anda type apa? Intro ke Outro?
Pernah tak anda berada dalam satu mesyuarat, kelas atau sesi perbincangan, kemudian ada seorang yang anda lihat banyak bercakap, laju memberi idea dan nampak sangat yakin?
Pada masa yang sama, ada seorang lagi yang lebih senyap. Dia mendengar. Dia memerhati. Dia tidak banyak mencelah. (Saya rasa, saya lebih kepada ini)
Ramai orang terus menganggap individu yang diam itu kurang idea. (Senyum sinis)
Hakikatnya, neurosains menunjukkan perkara yang jauh lebih menarik daripada itu.
Anda yang pendiam ni mungkin otaknya sedang memproses lebih banyak maklumat sebelum memberikan jawapan.
“Tidak semua orang yang diam otaknya kosong. Ada yang diam kerana otaknya sedang ligat proses maklumat.”
Kajian-kajian yang membandingkan otak introvert dan ekstrovert mendapati terdapat beberapa perbezaan ketara pada cara otak mereka memproses maklumat.
Otak introvert lebih banyak memproses dari dalam
Pada tahun 1999, satu kajian menggunakan imbasan PET mendapati individu introvert menunjukkan aktiviti yang lebih tinggi pada beberapa kawasan otak yang terlibat dalam perancangan, penyelesaian masalah dan pemprosesan dalaman.
Secara mudahnya, apabila menerima sesuatu maklumat, otak introvert cenderung membawa maklumat itu “masuk ke dalam” terlebih dahulu.
Dia akan menilai, menganalisis, membandingkan dengan pengalaman dan pengetahuan yang sedia ada.
Sebab itu ramai introvert mengambil masa sedikit sebelum menjawab sesuatu soalan. Bukan kerana lambat berfikir.
Tetapi kerana mereka sedang memproses lebih banyak lapisan maklumat.
Sebaliknya, otak ekstrovert lebih banyak menunjukkan aktiviti pada kawasan yang berkait dengan input deria dan tindak balas terhadap persekitaran.
Mereka cenderung memproses maklumat secara lebih langsung dan spontan.
Sebab itu ramai ekstrovert lebih selesa berfikir sambil bercakap. Mereka bercakap itu untuk menyusun idea.
Introvert pula selalunya menyusun idea dahulu sebelum bercakap.
Kedua-duanya bukan salah. Cuma cara pemprosesannya berbeza.
Kenapa introvert selalu nampak banyak berfikir?
Beberapa kajian struktur otak mendapati individu introvert mempunyai lebih banyak bahan kelabu (grey matter) pada kawasan tertentu yang berkait dengan pemikiran abstrak, introspeksi dan kawalan tingkah laku.
Grey matter ini terlibat dalam pelbagai fungsi kognitif seperti membuat keputusan, merancang dan menilai pilihan. Kiranya bahagian itu lebih tebal.
Ini mungkin menjelaskan mengapa ramai introvert suka mempertimbangkan banyak kemungkinan sebelum bertindak.
Mereka mahu melihat keseluruhan gambar terlebih dahulu, memahami implikasi sesuatu keputusan dan memastikan tindakan yang diambil benar-benar masuk akal.
Sebab itu ada kalanya mereka kelihatan terlalu berhati-hati. Tetapi daripada sudut lain, sifat itu juga boleh menjadi satu kelebihan.
“Ekstrovert mungkin lebih cepat memberi respons. Introvert pula lebih banyak masa digunakan untuk membuat penilaian.”
Dunia hari ini lebih menghargai orang yang cepat bercakap
Di sekolah, dalam mesyuarat dan di media sosial, orang yang paling cepat bercakap sering mendapat perhatian. Lagi lagi yang suka buat content, update thread, post dekat status. Bukan main laju lagi.
Orang yang paling lantang sering dianggap paling yakin. Tetapi kelajuan bercakap tidak semestinya sama dengan kualiti pemikiran.
Ada individu yang sedang bercakap tanpa berfikir tapi ada juga individu yang sedang berfikir tanpa bercakap.
Masalahnya, kita selalu nampak yang pertama. Kita jarang nampak yang kedua. Orang yang senyap ni kita rasa dia tak ada idea.
Sebab itu ramai introvert membesar dengan perasaan mereka kurang menonjol berbanding orang lain.
Sedangkan apabila diberi ruang yang sesuai, ramai introvert menghasilkan idea yang sangat mendalam.
Mereka cemerlang dalam penulisan, analisis dan pemerhatian.
Mereka sering menangkap perkara-perkara kecil yang terlepas daripada perhatian orang lain.
Introvert dan ekstrovert tidak perlu menjadi orang lain
Kesilapan terbesar ialah apabila introvert cuba menjadi ekstrovert sepenuhnya atau ekstrovert cuba menjadi introvert sepenuhnya.
Kedua-duanya mempunyai kekuatan tersendiri.
Ekstrovert membantu menggerakkan perbincangan dan Introvert membantu memperdalamkan perbincangan.
Ekstrovert membawa tenaga dan Introvert membawa ketelitian.
Ekstrovert membuka banyak pintu dan Introvert membantu memilih pintu yang paling sesuai untuk dimasuki.
Jadi jika anda seorang introvert, jangan terlalu cepat menganggap diri anda lemah hanya kerana tidak suka menjadi orang yang paling bersuara dalam bilik.
Dan jika anda mengenali seorang introvert, jangan anggap diam mereka sebagai tanda mereka tiada apa-apa untuk disumbangkan.






