
Pada tahun 1914, Ernest Shackleton berlayar ke Antarctica bersama 27 orang anak kapal.
Misi mereka sangat besar mahu menjadi kumpulan pertama yang menyeberangi benua Antarctica melalui daratan.
Kapal mereka dinamakan Endurance.
Tetapi sebelum mereka sempat memulakan perjalanan merentasi benua itu, sesuatu berlaku.
Laut membeku. Kapal mereka terperangkap di tengah-tengah ais. Pada mulanya mungkin mereka fikir:
Tak apa. Tunggu ais pecah. Kita akan bergerak semula.
Tetapi dari beberapa hari ke beberapa minggu akhirnya terperangkap dalam persekitaran ais Antarctica selama berbulan-bulan.
Kapal mereka pula akhirnya rosak dihimpit ais dan terpaksa ditinggalkan.
Bayangkan keadaan psikologi mereka.
Tak ada telefon untuk komunikasi pantas dengan dunia luar. Tak tahu bila akan diselamatkan. Tak tahu sama ada makanan akan cukup. Tak tahu bila keadaan ais akan berubah.
Dan paling menakutkan, mereka tak tahu sama ada mereka akan pulang hidup-hidup.
Tetapi apa mereka buat? Simple. Mereka meneruskan kehidupan.
Mereka bekerja seperti biasa. Mereka menjaga peralatan, memburu makanan, mengurus kapal, bermain permainan, membaca, berbual, makan bersama.
Waktu kritikal antara hidup dan mati benda-benda kecil seperti ini penting ke nak dibuat?
Jawapannya ada kaitan dengan cara otak kita menghadapi stres dan ketidakpastian.
Otak paling tak suka bila ia tak tahu apa akan berlaku
Manusia sebenarnya boleh menahan banyak tekanan.
Tetapi antara perkara yang paling sukar untuk otak ialah uncertainty.
Ketidakpastian.
Kalau saya beritahu anda:
“Anda kena buat kerja berat selama tiga hari.”
Mungkin penat.
Tetapi sekurang-kurangnya anda tahu bila ia akan tamat.
Sekarang bayangkan saya beritahu:
“Anda kena buat kerja berat. Saya tak tahu tiga hari, tiga minggu atau tiga bulan.”
Stres itu terasa berbeza.
Sebab otak tidak mempunyai titik akhir untuk dijangkakan. Ini biasa berlaku biasa seseorang menghadapi cabaran, jatuh sakit, hilang pekerjaan, tekanan hidup, bila ada pemikiran tak ada jalan keluar, itu memang bahaya.
Bila sesuatu terasa mengancam atau tidak pasti, sistem stres badan boleh menjadi lebih aktif.
Antaranya melibatkan HPA axis, hypothalamic-pituitary-adrenal axis.
Ini antara sistem utama badan dalam mengawal tindak balas terhadap stres.
Secara ringkasnya, otak mengesan ancaman. Hypothalamus menghantar signal. Pituitary menghantar signal seterusnya. Adrenal glands kemudian membantu menghasilkan hormon stres seperti cortisol.
Dalam jangka pendek, sistem ini sangat berguna.
Ia membantu anda lebih berjaga-jaga. Lebih fokus. Lebih bersedia untuk bertindak.
Tetapi kalau ketidakpastian berpanjangan, otak boleh terus berada dalam keadaan berjaga-jaga.
Apa akan berlaku esok? Apa akan jadi pada aku? Bila semua ini akan habis?
Masalah terbesar sekali adalah ketidakpastian tentang bila masalah itu akan berakhir yang akhirnya membawa stres kronik kepada otak.
Di sinilah rutin menjadi sangat penting. Rutin tidak semestinya menyelesaikan masalah besar.
Tetapi rutin memberi otak sesuatu yang boleh dijangka.
Bangun pukul 7. Sarapan pukul 8. Buat kerja. Makan tengah hari. Petang beriadah. Malam makan dengan keluarga.
Masalah mungkin masih belum selesai. Tetapi hari anda mempunyai struktur.
Otak mendapat sedikit predictability dalam dunia yang sedang terasa tidak menentu.
Bila dunia tak boleh dikawal, otak perlukan sense of control
Satu lagi perkara penting dalam psikologi ialah perceived control.
Biasanya anda memang tidak mempunyai kawalan terhadap sesuatu. Tak boleh mengawal keputusan orang lain, tak boleh mengawal ekonomi, tak boleh mengawal penyakit, tak boleh mengawal cuaca.
Shackleton sendiri tidak boleh mengawal ais Antarctica (Cerita atas tadi tu).
Tetapi manusia masih perlukan rasa bahawa ada sesuatu yang boleh dilakukan.
Sebab itu benda kecil, rutin harian menjadi sangat penting.
Kalau masalah kewangan belum selesai, anda masih boleh kawal nak beli apa hari ini.
Kalau keputusan interview kerja belum keluar, anda masih boleh ambil peluang exercise pagi ini.
Kalau masa depan tak jelas, anda masih boleh menentukan apa yang akan anda buat dalam dua jam akan datang.
Perkara-perkara kecil ini nampak macam tidak signifikan.
Tetapi kepada otak, ia memberikan signal:
“Aku masih boleh buat sesuatu.”
“Aku bukan sepenuhnya helpless.”
“Ada bahagian kehidupan yang masih berada dalam kawalan aku.”
Bila anda tak mampu mengawal hidup secara keseluruhan, kawal satu hari. Kalau satu hari terlalu berat, kawal satu jam.
Ini juga sebabnya aktiviti seperti mengemas bilik, bersenam, memasak atau menyelesaikan satu tugasan kecil kadang-kadang boleh membuatkan kita rasa lebih baik.
Masalah besar mungkin masih ada tetapi otak mendapat pengalaman bahawa tindakan menghasilkan hasil.
Anda buat sesuatu, sesuatu berubah dan ini penting kepada sistem motivasi manusia.
Dopamine bukan semata-mata bahan kimia “keseronokan”.
Ia sangat berkait dengan motivasi, pembelajaran, jangkaan, dorongan semangat dan usaha menuju sesuatu.
Sebab itu mempunyai matlamat kecil yang boleh dicapai boleh membantu kita terus bergerak.
Jadi bila rasa stuck, tak bermotivasi, jangan cakap pada diri
“Aku kena selesaikan seluruh hidup aku minggu ini.”
Tetapi:
“Hari ini aku selesaikan satu benda.”
Kemudian satu lagi, kemudian satu lagi.

Hubungan sosial juga sebahagian daripada survival
Satu lagi perkara menarik tentang kisah Shackleton ialah mereka tidak sekadar bekerja.
Mereka makan bersama. Bergurau. Bermain permainan. Berhibur. Berbual. Muzik digunakan untuk membantu menjaga semangat kumpulan.
Ini bukan perkara remeh.
Manusia ialah makhluk sosial. Otak kita berkembang dalam kumpulan.
Apabila kita berada bersama individu yang kita percayai, bercakap, ketawa atau berkongsi pengalaman, sistem saraf kita mendapat signal bahawa kita tidak menghadapi ancaman seorang diri.
Dalam psikologi stres ada konsep yang dipanggil social buffering.
Secara mudahnya, kehadiran dan sokongan orang lain boleh membantu mengurangkan kesan psikologi sesuatu tekanan.
Sebab itu apabila manusia sedang melalui masa sukar, instinct kita kadang-kadang mahu mengasingkan diri.
Tetapi terlalu lama mengasingkan diri boleh menyebabkan otak mempunyai lebih banyak ruang untuk rumination.
Fikir benda yang sama. Ulang benda yang sama. Bayangkan kemungkinan paling buruk. Fikir lagi.
Sebaliknya, interaksi sosial boleh membawa perhatian keluar daripada kitaran pemikiran tersebut.
Kadang kala kita tak perlukan seseorang untuk selesaikan masalah kita. Kita cuma perlukan seseorang supaya kita tak rasa menghadap masalah tu seorang diri.
Dan ini mungkin antara perkara paling menarik daripada kisah Endurance.
Mereka tidak menunggu sampai semuanya okay baru mahu menjalani kehidupan.
Mereka mencipta kehidupan di tengah-tengah masalah. Makan. Kerja. Main. Berbual. Gelak. Tidur. Bangun. Ulang lagi.
Selepas kapal Endurance karam, 28 anggota ekspedisi itu terpaksa bertahan di atas ais laut sebelum menaiki bot kecil ke sebuah pulau terpencil yang tidak berpenghuni.
Oleh sebab tiada siapa tahu mereka berada di situ, ketua ekspedisi bersama beberapa orang lain belayar kira-kira 1,300 km merentas lautan ganas untuk mencari bantuan.
Selepas tiba, mereka masih perlu merentas kawasan pergunungan dan glasier hampir 36 jam sebelum sampai ke penempatan manusia.
Beberapa cubaan menyelamat gagal kerana ais tebal, tetapi akhirnya sebuah kapal berjaya kembali ke pulau tersebut dan membawa keluar semua anggota yang masih menunggu.
Akhirnya, kesemua 28 orang dalam kumpulan Endurance terselamat.
Sudah tentu mereka tidak selamat hanya kerana bermain, bergurau, tak serius dengan hidup.
Survival mereka datang daripada kepimpinan, kemahiran, disiplin, keputusan yang dibuat, keadaan persekitaran dan usaha luar biasa Shackleton serta anak kapalnya.
Tetapi dari sudut psikologi, rutin dan hubungan sosial membantu manusia terus berfungsi ketika berhadapan dengan ketidakpastian yang ekstrem.
Dan saya rasa inilah pengajaran yang boleh kita ambil untuk kehidupan biasa.
Jangan tunggu semuanya selesai baru anda nak hidup. Masalah memang akan mengambil masa untuk selesai.
Ada perkara kita tak boleh percepatkan. Ada jawapan kita kena tunggu. Ada keadaan kita terpaksa terima buat sementara waktu.
Dalam tempoh itu, jangan serahkan seluruh hidup anda kepada masalah tersebut.
Bangun. Makan dengan baik. Buat kerja. Pergi berjalan. Bersenam. Jumpa kawan. Masuk kelas. Baca buku. Tidur.
Cari satu perkara kecil yang boleh anda siapkan hari ini.
Sebab apabila masa depan terasa terlalu besar untuk dikawal, otak anda masih boleh hidup melalui sesuatu yang jauh lebih kecil iaitu
Hari ini.
Dan itu mungkin sudah cukup untuk membawa anda sampai ke hari esok.






