Remaja bukan sengaja susah kawal diri: Self-control matang lebih lambat

Analisis melibatkan lebih 33,000 remaja mendapati kemampuan mengawal impuls dan menghentikan tingkah laku matang lewat

Ada satu perkara yang orang dewasa kadang-kadang susah nak faham tentang remaja.

Kita cakap,

“Dia dah besar. Dia tahu benda tu salah.”

Betul. Dia mungkin tahu. Tahu perkara itu baik, tak baik, betul atau salah.

Tetapi tahu sesuatu dengan kemampuan untuk berhenti daripada melakukannya ialah dua perkara yang berbeza.

Kajian berskala besar yang diterbitkan dalam Nature Mental Health pada tahun 2026 memberikan gambaran menarik tentang perkembangan fungsi eksekutif dalam kalangan remaja.

Penyelidik menganalisis data daripada 33,622 remaja berumur 11 hingga 18 tahun di China, kemudian membandingkan hasil tersebut dengan data 11,549 remaja di Amerika Syarikat.

Mereka melihat dua kebolehan penting otak: working memory dan inhibitory control.

Hasilnya?

Working memory nampaknya mencapai tahap yang lebih stabil lebih awal.

Tetapi kemampuan untuk menahan impuls, menghentikan tindakan automatik dan mengawal respons terus berkembang sehingga lewat usia remaja.

Remaja mungkin sudah cukup matang untuk memahami sesuatu, tapi belum semestinya mempunyai kemampuan kawalan diri macam orang dewasa.

Tahu apa yang perlu dibuat tidak sama dengan mampu mengawal diri

Working memory ialah kemampuan otak untuk memegang sesuatu maklumat buat sementara waktu dan menggunakannya.

Contohnya, cikgu beri tiga arahan:

Ambil buku. Buka muka surat 20. Jawab soalan nombor tiga.

Working memory membantu anda menyimpan arahan tersebut dalam kepala sementara anda melakukannya.

Ia juga digunakan apabila anda membuat pengiraan dalam kepala, mengikuti resipi atau cuba mengingati apa yang seseorang baru sahaja cakap semasa anda sedang belajar dengannya.

Dalam kajian ini, penyelidik mendapati kemampuan working memory meningkat sepanjang perkembangan remaja tetapi kemudiannya mula mencapai plateau lebih awal.

Berbeza dengan inhibitory control.

Inhibitory control ialah sistem “brek” mental anda.

Telefon berbunyi ketika belajar. Anda rasa nak tengok. Tetapi anda tak tengok.

Itu inhibitory control.

Anda marah ketika bergaduh. Dalam kepala dah ada ayat pedas yang nak dilontarkan. Rasa nak berdebat, menjerit kepada seseorang. Tetapi anda berhenti sekejap dan kawal diri.

Itu juga inhibitory control.

Atau kawan cabar buat benda bodoh. Sebahagian daripada diri anda nak ikut. Tetapi otak mampu berkata,

“Tak payah. Ini boleh bawa masalah.”

Kemampuan seperti ini masih terus berkembang sehingga late adolescence, iaitu penghujung usia remaja.

Working memory bantu remaja tahu apa yang sedang berlaku. Inhibitory control bantu mereka berhenti sebelum melakukan sesuatu yang mereka akan menyesal.

Sebab itu remaja kadang-kadang nampak bijak tetapi tetap buat keputusan pelik

Ini juga boleh menerangkan satu situasi yang mungkin ibu bapa selalu nampak.

Anak anda boleh bercakap dengan matang. Dia boleh berdebat. Dia boleh terangkan kenapa merokok bahaya. Dia tahu tidur lewat tak bagus. Dia tahu belajar penting. Dia faham kalau bergaduh di sekolah akan kena tindakan disiplin.

Tetapi beberapa jam kemudian dia tetap buat perkara yang bertentangan dengan apa yang dia sendiri faham.

Kenapa?

Sebab perkembangan kognitif bukan satu suis yang semuanya matang serentak.

Ada komponen berkembang lebih awal. Ada yang mengambil masa lebih lama.

Dalam kajian ini, penyelidik menggunakan tugasan Go/No-Go untuk menilai inhibitory control.

Peserta perlu menekan apabila melihat rangsangan tertentu tetapi perlu menahan diri daripada menekan apabila rangsangan lain muncul.

Nampak mudah.

Tetapi tugas seperti ini sebenarnya menguji sejauh mana seseorang mampu menghentikan respons automatik yang sudah bersedia dilakukan.

Working memory pula dinilai menggunakan tugasan 1-back dan 2-back, yang memerlukan peserta mengingati dan membandingkan rangsangan yang muncul sebelumnya.

Menariknya, apabila usia meningkat, bukan sahaja prestasi fungsi eksekutif bertambah baik, malah perbezaan antara individu pada usia yang sama juga semakin mengecil.

Maksudnya, ketika awal remaja, variasi perkembangan antara seorang remaja dengan remaja lain boleh menjadi agak besar.

Sebab itu jangan terlalu cepat membandingkan.

“Anak jiran umur 13 tahun dah matang.”

“Kenapa anak aku masih macam budak?”

Umur yang sama tak semestinya bermaksud tahap perkembangan fungsi eksekutif yang sama.

Kawalan diri yang lemah juga berkait dengan masalah tingkah laku

Satu lagi penemuan penting ialah remaja yang menunjukkan prestasi fungsi eksekutif jauh lebih rendah berbanding tahap biasa untuk umur mereka mempunyai kecenderungan lebih tinggi terhadap beberapa masalah.

Antaranya masalah dengan rakan sebaya, masalah tingkah laku, hiperaktif atau kesukaran memberikan perhatian serta tahap tingkah laku prososial yang lebih rendah.

Hubungan ini paling ketara ketika awal usia remaja dan semakin berkurang apabila umur meningkat.

Tetapi penting untuk faham satu perkara.

Kajian ini tidak bermaksud kalau seseorang remaja mempunyai inhibitory control rendah, maka dia pasti akan mempunyai masalah mental.

Ia menunjukkan association, bukan takdir.

Banyak faktor lain memainkan peranan seperti keluarga, persekitaran sekolah, tidur, tekanan hidup, hubungan sosial, temperament dan pengalaman seseorang.

Namun kajian seperti ini membantu kita memahami bila tempoh perkembangan tertentu mungkin lebih sensitif.

Rmaja tak lebih banyak nasihat dan tegurn. Mereka perlukan persekitaran yang bantu sistem kawalan diri mereka berkembang.

Ini juga mengubah cara kita melihat disiplin.

Kalau sistem kawalan diri masih berkembang, kita tak boleh hanya berkata,

“Kawal diri lah.”

Kita kena bantu mereka membina struktur. Bagi idea kepada strategi hidup supaya kawalan diri mereka lebih mantap.

Contohnya kalau telefon menjadi gangguan ketika belajar, jangan bergantung sepenuhnya kepada willpower.

Letakkan telefon jauh. Gunakan aplikasi sekatan. Wujudkan tempoh belajar pendek dan berulang. Kurangkan pencetus gangguan.

Kalau seorang remaja mudah meletup ketika marah, ajar mereka strategi untuk keluar sekejap daripada situasi sebelum memberi respons.

Sebab kemampuan kawalan diri bukan sekadar sesuatu yang kita arahkan seseorang untuk lakukan.

Ia ialah kemahiran yang berkembang dan perkembangan itu mengambil masa.

Jadi apabila remaja melakukan sesuatu yang nampak impulsif, jangan terus membuat kesimpulan bahawa mereka malas, degil atau tak matang.

Mereka memang sedang berada dalam satu fasa perkembangan di mana otak sudah mampu memahami banyak perkara…

tetapi sistem “brek” masih sedang dibina.

Sebagai orang dewasa, tugas kita sesekali bantu menekan pedal brek supaya accident dapat dielakkan dan membantu mereka belajar bagaimana untuk menggunakannya sendiri.

Rujukan

Li, Y., Tan, L., et al. (2026). Developmental benchmarks of executive function reveal sensitive periods for adolescent mental health. Nature Mental Health. https://doi.org/10.1038/s44220-026-00711-8

Similar Posts

  • Anda belum buka mulut, otak dah rancang

    Kajian terbaru menunjukkan otak anda sebenarnya sudah mula membuat “persediaan sosial” beberapa saat sebelum anda mendekati seseorang. Sebab itu pengalaman seperti rejection, trauma atau anxiety boleh membuatkan otak melihat interaksi sosial sebagai ancaman sebelum ia berlaku lagi.

  • Kesan mak ayah garang terhadap otak anak perempuan

    Harsh parenting boleh mengubah hubungan antara pusat emosi dan bahagian otak untuk kawalan diri menjadikan seseorang lebih mudah bertindak mengikut emosi, agresif dan terlibat dalam tingkah laku berisiko.

  • Bila kepercayaan mampu mengubah biologi tubuh

    Kajian menunjukkan kepercayaan, jangkaan, doa dan ritual boleh mengubah aktiviti otak, sistem saraf serta tindak balas biologi tubuh.

  • Banyak pemikiran anda sebenarnya bermula sebelum anda sedar

    Sebahagian besar pemprosesan otak berlaku di luar kesedaran. Emosi, memori, pengalaman lama dan sistem ramalan otak boleh mempengaruhi tindakan kita sebelum kita sempat memahami kenapa kita bertindak begitu.

  • Memori lemah otak dah malas menghafal

    Teknologi semakin mengambil alih fungsi memori manusia sehingga ramai mula kurang menghafal nombor telefon, arah jalan dan maklumat penting dalam kehidupan harian.