
Katakan lah anda tengah tak sihat. Ada tahu tak kalau anda “percaya” yang anda akan sembuh, ada kemungkinan memang anda akan lebih mudah untuk sembuh. Tak besar, tapi kesannya ada.
Ramai orang menganggap doa, ritual atau amalan kerohanian sekadar memberi ketenangan emosi.
Namun dalam beberapa dekad kebelakangan ini, neurosains mula menunjukkan sesuatu yang lebih menarik. Kepercayaan yang kuat dapat mengubah cara kita berfikir dan dalam keadaan tertentu, ia juga boleh mengubah bagaimana otak dan tubuh bertindak balas.
Tapi saya tak bermaksud semua penyakit boleh sembuh hanya dengan berdoa dan “percaya”. Cuma kita kena sedar bahawa minda (pemikiran) ternyata mempunyai pengaruh terhadap kesihatan yang jauh lebih besar daripada yang kita sangka.
Placebo: Bila jangkaan menjadi biologi
Salah satu bukti paling terkenal ialah kesan placebo. Mesti anda pernah dengan perkataan itu.
Dalam banyak kajian, peserta diberikan pil kosong tanpa sebarang bahan aktif, tetapi diberitahu bahawa pil tersebut ialah ubat. Menariknya, sebahagian daripada mereka benar-benar mengalami pengurangan kesakitan, simptom menjadi lebih baik, malah perubahan aktiviti otak turut dapat dilihat melalui imbasan.
Pil itu tak berubah, tak ada apa apa, tapi ada yang consume bersama iaitu jangkaan.
Apabila seseorang benar-benar percaya dirinya sedang dirawat, otak boleh mengaktifkan sistem opioid dan dopamin semula jadi.
Dengan kata lain, badan mula menghasilkan bahan kimianya sendiri yang membantu mengurangkan kesakitan dan meningkatkan rasa kesejahteraan.
“Ada kalanya yang mengubah tubuh tidak hanya ubat itu sendiri, tetapi jangkaan bahawa kita sedang dirawat.”
Corak pemikiran menentukan apa yang anda beri perhatian. Perhatian pula membentuk tafsiran. Tafsiran itu kemudian mempengaruhi tindak balas stres, hormon dan sistem saraf autonomi.
Mengapa doa dan ritual memberi kesan?
Apabila seseorang berdoa dengan penuh penghayatan, kebiasaannya pernafasan menjadi lebih perlahan, degupan jantung lebih tenang dan tubuh beralih kepada keadaan yang lebih relaks.
Sistem saraf parasimpatetik menjadi lebih aktif, iaitu sistem yang membantu proses pemulihan, pencernaan dan rehat. Mekanisme yang sama juga banyak ditemui dalam rutin beribadah.
Tempat-tempat beribadah pula seperti masjid, tempat keagamaan, dapat membantu seseorang memberi fokus sepenuhnya kepada harapan, mengurangkan rasa ancaman dan mewujudkan keadaan mental yang lebih kondusif untuk proses pemulihan.
“Doa, ibadah dan tempat suci memberi makna, harapan untuk bangkit dan fokus semula kepada kehidupan.”

Bila otak mengubah cara tubuh berfungsi
Saya ada seorang kawan yang disahkan menghidap OCD, Bipolar & Schizophrenia secara serentak. Menakjubkan, sekarang beliau telah pulih sepenuhnya, tanpa perlu rawatan susulan lagi. (Selepas disahkan pulih oleh doktor pakar)
Apa yang dia lakukan? Sewaktu dia jatuh sakit. Dia terus mendapatkan rawatan. Sambil mengambil ubat yang berkala, dia mendaftar diri di sebuah pusat tahfiz. Dari situ rutin kehidupan berubah, aktiviti keagamaan meningkat dan kesihatan mental dia juga bertambah baik. (Mungkin tak berkesan untuk semua orang, tapi berkesan untuk dia)
Ada juga kes di mana remaja di luar negara yang tiba-tiba tidak mampu berjalan sedangkan semua keputusan imbasan dan pemeriksaan perubatan adalah normal.
Setelah penyakit fizikal diketepikan, rawatan tertumpu kepada konflik emosi dan trauma yang dialami. Sedikit demi sedikit, keupayaan berjalan kembali pulih.
Yang terganggu ialah bagaimana otak mengawal fungsi berjalan tersebut.
Kini keadaan ini dikenali sebagai Functional Neurological Disorder (FND), iaitu gangguan fungsi sistem saraf tanpa kerosakan struktur yang dapat dikesan.
Fenomena seperti ini mengingatkan kita bahawa otak bukan sekadar menerima maklumat daripada tubuh. Otak juga sentiasa mentafsir apa yang sedang berlaku dan menghantar arahan kembali kepada tubuh.
“Makna yang kita berikan kepada sesuatu pengalaman boleh mempengaruhi bagaimana tubuh bertindak balas.”
Ini bukan alasan untuk meninggalkan rawatan perubatan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa proses penyembuhan bukan hanya bergantung kepada ubat semata-mata.
Cara otak membina harapan, mentafsir pengalaman dan mengawal tindak balas tubuh juga memainkan peranan yang tidak boleh dipandang ringan.
Mungkin pada masa hadapan, rawatan terbaik adalah dengan menggabungkan ubat dan teknologi, di samping menggalakkan kepercayaan, harapan dan makna kehidupan untuk membantu otak mengaktifkan proses penyembuhan yang sememangnya telah tersedia dalam diri anda.






