Sains disebalik nasib yang baik. Anda jenis bertuah?

Nasib baik mungkin bukan soal kebetulan. Ia mungkin bermula dengan apa yang anda pilih untuk beri perhatian.

Bila kali terakhir anda menang cabutan bertuah? Baru-baru ni saya pergi ke pasaraya besar. Beli pampers anak-anak total dah dekat RM150. Cashier tanya “Abang boleh masuk cabutan bertuah. Tulis nama belakang resit.”

“Yeke ada pemenang. Macam tak pernah dengar pun ada yang menang.” Gurau saya. Tersengih cashier tu.

Anda kenal seseorang yang nampak sentiasa bernasib baik?

Orang tu dapat duduk sewa yang cantik, baru siap. Atau dia terjumpa peluang kerja yang mengubah hidup. Dia kenal orang yang tepat pada masa yang tepat. Mungkin ada yang membeli saham yang kelihatan biasa-biasa, tetapi beberapa bulan kemudian nilainya melonjak.

Bila perkara seperti ini berlaku berulang kali, kita mula membuat kesimpulan bahawa ada manusia yang memang dilahirkan lebih bertuah daripada orang lain.

Tetapi bagaimana jika nasib baik bukanlah sesuatu yang berlaku secara rawak?

Bagaimana jika “nasib baik” sebenarnya mempunyai panduan yang boleh dipelajari?

“Sebab boleh jadi peluang sudah lama berada di depan mata, cuma kita yang tak nampak.”

Otak kita tidak melihat segalanya

Setiap saat, mata, telinga dan deria kita menerima sejumlah besar maklumat daripada persekitaran.

Masalahnya, otak tidak mampu memberi perhatian kepada semuanya sekali gus.

Sebab itu otak kena berfungsi seperti penapis. Ia memilih maklumat yang dianggap penting dan mengabaikan selebihnya.

Bayangkan anda tiba-tiba bercadang mahu membeli BMW berwarna hijau.

Anehnya, beberapa hari kemudian anda mula nampak BMW hijau di mana-mana.

Di lebuh raya, tempat letak kereta, lampu isyarat, kawasan perumahan. Eh banyak pulak kereta itu anda perasan.

Adakah jumlah BMW hijau dalam dunia tiba-tiba bertambah?

Sudah tentu tidak.

Apa yang berubah ialah perhatian anda.

Sebelum ini otak menganggap maklumat itu tidak penting. Tapi sekarang ia menjadi keutamaan, lalu anda mula menyedarinya di mana-mana.

Fenomena yang sama berlaku dalam kehidupan.

Apabila anda memberi perhatian kepada peluang, hubungan, idea dan pengalaman baru, dia mula melihat lebih banyak perkara yang sebelum ini tersembunyi daripada kesedarannya.

Dan itulah titik permulaan kepada sesuatu yang dipanggil “nasib baik”.

Kajian tentang orang bertuah

Ahli psikologi British, Richard Wiseman, menjalankan kajian terhadap individu yang menganggap diri mereka bertuah dan tidak bertuah.

Hasil kajiannya agak mengejutkan.

Orang yang bertuah sebenarnya tidak hidup dalam dunia yang penuh dengan keajaiban.

Mereka tidak menerima lebih banyak peluang daripada orang lain.

Sebaliknya, mereka lebih cenderung untuk:

Berbual dengan orang yang tidak dikenali.
Mencuba perkara baru.
Mengambil peluang walaupun kebarangkaliannya kecil.
Bangkit lebih cepat selepas kegagalan.

Dalam erti kata lain, mereka terdedah kepada lebih banyak kemungkinan.

Apabila anda membuka lebih banyak pintu, peluang untuk menemui sesuatu yang bernilai juga meningkat.

Masuk sekali acara cabutan bertuah jadi kebarangkalian anda menang rendah. Macam mana kalau anda tingkatkan jumlah percubaan. 10 kali? 100 kali, 1000 kali anda masuk!

Bukan kerana alam semesta memilih anda. Tetapi kerana anda lebih banyak bertindak jadi peluang anda lebih tinggi.

“Ramai orang menunggu nasib baik datang. Orang bertuah pula sibuk mencari dan menyedarinya.”

Kesedaran yang sebenar

Kesedaran maksimum ialah proses aktif untuk menyedari apa yang sedang berlaku di sekeliling kita.

Masalahnya, ramai daripada kita hidup menggunakan mod autopilot.

Bangun pagi. Capai phone. Pergi kerja. Jumpa orang yang sama. Ikut rutin yang sama.

Dan kerana semuanya terasa biasa, kita berhenti memerhatikan.

Kita tidak lagi nampak peluang kecil yang muncul setiap hari. Kita tidak perasan kenalan baru yang mungkin membuka peluang kerjaya ataupun idea bernas yang tiba-tiba muncul.

Bila anda tidak sedar dengan maksimum dalam kehidupan, anda tidak nampak petunjuk yang boleh membantu menyelesaikan masalah hidup, meningkatkan taraf kehidupan anda.

Semua itu sebenarnya berada di hadapan kita. Cuma perhatian kita berada di tempat lain.

Adakah Quantum Fizik ada kaitan dengan nasib yang baik?

Dalam fizik kuantum, terdapat satu konsep yang dikenali sebagai wave function collapse.

Secara ringkas, sesuatu sistem boleh berada dalam pelbagai kemungkinan keadaan sehingga ia diperhatikan atau diukur.

Kemudian barulah satu hasil tertentu muncul.

Sudah tentu ini tidak bermaksud kita boleh mengawal alam semesta hanya dengan berfikir.

Tiada bukti saintifik yang menunjukkan niat manusia (bayangkan dah berjaya, kereta besar, rumah besar) boleh memanipulasi peristiwa kuantum seperti yang sering dipaparkan oleh sifu-sifu kejayaan.

Namun konsep ini memberi satu analogi yang menarik.

Dalam kehidupan harian, terdapat beribu-ribu kemungkinan di sekeliling kita. Peluang pekerjaan, perniagaan, persahabatan, pembelajaran.

Tetapi sebahagian besarnya tidak pernah menjadi realiti kerana otak kita tidak memberi perhatian kepadanya.

Apabila perhatian berubah, dunia yang kita alami juga berubah.

Bukan kerana dunia berubah.

Tetapi kerana penapis dalam otak anda tu berubah.

Nasib baik bermula dengan perhatian

Mungkin rahsia sebenar nasib baik bukanlah pada tarikh lahir, horoskop, nombor bertuah atau kebetulan semata-mata.

Mungkin ia bermula dengan satu keputusan yang sangat mudah.

Usaha untuk melihat. Pilihan untuk memerhati. Kerja keras untuk memberi perhatian.

Dunia ini sentiasa penuh dengan peluang, tetapi tiada siapa mampu melihat semuanya sekaligus.

Apa yang kita pilih untuk fokus akan mula muncul dengan lebih kerap dalam hidup kita.

Jadi jika anda mahu menjadi lebih bertuah, cuba ubah perhatian anda terlebih dahulu.

Kerana kemungkinan besar, nasib baik yang anda cari itu sudah pun berada di depan mata.

Similar Posts