
Anda bangun pagi selepas tidur 7 atau 8 jam, tapi badan masih rasa letih? Pergi kerja, buka laptop, tengok tugasan yang berlambak, otak pula macam lambat nak berfungsi.
Kita selalu fikir mungkin sebab tidur lewat, banyak berfikir sebelum tidur, atau terlalu penat bekerja semalam.
Tetapi ada satu faktor yang mungkin kita terlepas pandang. Suhu bilik tidur.
Satu kajian terbaru yang diterbitkan dalam Journal of Environmental Psychology. Penyelidik mendapati bilik tidur yang lebih panas daripada kebiasaan seseorang mempunyai kaitan dengan gangguan kualiti tidur dan sedikit penurunan fokus serta produktiviti pada keesokan harinya.
Perubahan suhu yang kecil pun menunjukkan hubungan dengan perubahan kualiti tidur.
Tidur lama tidak semestinya tidur berkualiti
Bila bercakap tentang tidur, ramai orang terlalu fokus pada jumlah jam. Kalau dapat tidur 8 jam, kita anggap sudah cukup.
Sebenarnya, tempoh tidur dan kualiti tidur ialah dua perkara yang berbeza.
Dalam kajian ini, penyelidik mengikuti 82 orang dewasa di Austria selama dua hingga tiga minggu pada musim panas tahun 2025.
Mereka menggunakan sensor untuk mengukur suhu bilik tidur, cincin pintar Oura Ring untuk memantau tidur, dan Apple Watch untuk mendapatkan maklumat tentang fokus serta produktiviti peserta sepanjang hari.
Secara keseluruhan, sebanyak 1,189 rekod pasangan malam dan hari berikutnya dianalisis.
Purata suhu bilik tidur peserta ialah sekitar 24°C, dengan julat antara 18.5°C hingga 28.7°C.
Apa yang penyelidik temui?
Apabila suhu bilik seseorang meningkat 1°C melebihi purata kebiasaannya, skor kualiti tidur yang direkodkan oleh peranti menunjukkan penurunan kecil, sekitar 0.5 mata daripada skala 100.
Peserta juga melaporkan tidur yang kurang memuaskan dan lebih mengantuk pada keesokan harinya.
Selain itu, malam yang lebih panas dikaitkan dengan lebih banyak pergerakan atau kegelisahan semasa tidur serta tempoh tidur REM yang lebih pendek.
Tidur REM ialah salah satu fasa tidur yang terlibat dalam pelbagai proses otak, termasuk pemprosesan memori.
Masalah kita mungkin bukan pasal tidur tak cukup , tapi keadaan persekitaran tu yang mungkin ganggu kualiti tidur.
Kenapa suhu bilik boleh berkait dengan produktiviti?
Katakan semalam anda tidur dalam bilik yang agak panas. Walaupun dapat tidur beberapa jam, anda kerap terjaga atau rasa tidak selesa.
Esok pagi, anda masuk pejabat seperti biasa.
Tapi hendak membaca satu e-mel pun terasa berat. Nak siapkan tugasan perlu ambil masa lebih lama. Perhatian mudah terganggu.
Otak kita memerlukan tidur yang mencukupi dan berkualiti untuk menyokong pelbagai fungsi kognitif, termasuk perhatian, pembelajaran, memori dan kawalan tingkah laku.
Sepanjang tidur, badan juga mengawal suhu melalui proses thermoregulation.
Secara semula jadi, suhu teras badan biasanya menurun apabila kita menghampiri waktu tidur. Persekitaran yang terlalu panas boleh menyukarkan badan melepaskan haba dan mengekalkan keselesaan semasa tidur.
Dalam kajian tersebut, setiap peningkatan 1°C berbanding suhu bilik biasa seseorang dikaitkan dengan penurunan sekitar 0.04 mata pada skala lima mata bagi fokus dan produktiviti yang dilaporkan sendiri.
Dapatan ini menunjukkan bahawa keadaan bilik tidur mungkin salah satu faktor yang berkait dengan bagaimana kita berfungsi pada keesokan harinya.
Penyelidik turut mendapati skor kualiti tidur yang lebih tinggi berkait dengan produktiviti yang dirasakan lebih baik, manakala tempoh tidur nyenyak atau deep sleep mempunyai hubungan positif dengan fokus.
Kita selalu cuba meningkatkan produktiviti dengan ubah cara kerja, sedangkan keadaan tempat kita tidur juga mungkin memainkan peranan.

Jadi berapa suhu bilik yang sesuai untuk tidur?
Ini persoalan yang menarik, terutamanya bagi kita yang tinggal di Malaysia.
Cuaca panas dan lembap ni biasa. Ada orang tidur menggunakan penghawa dingin, ada yang menggunakan kipas, dan ada juga yang tidur dengan tingkap terbuka.
Jadi, adakah kita perlu menetapkan penghawa dingin pada suhu tertentu?
Ikutkan kajian ini tidak menentukan satu suhu optimum yang sesuai untuk semua orang.
Penyelidik tidak menemui hubungan yang signifikan apabila membandingkan purata suhu bilik antara rumah peserta yang berbeza.
Sebaliknya, hubungan yang lebih jelas muncul apabila suhu bilik seseorang meningkat melebihi kebiasaannya sendiri. Anda sendiri tahu, suhu yang anda dapat tidur lena.
Ada beberapa perkara praktikal yang boleh kita cuba.
Pertama, pastikan bilik tidak terlalu panas. Gunakan kipas, pengudaraan atau penghawa dingin mengikut kemampuan dan keselesaan. Tidak semestinya perlu tidur dalam bilik yang sangat sejuk.
Kedua, perhatikan keadaan bilik sebelum tidur. Kalau bilik menyimpan haba selepas cuaca panas sepanjang hari, cuba kurangkan haba tersebut sebelum masuk tidur. Langsir yang menghalang cahaya matahari juga boleh membantu mengurangkan pemanasan bilik pada waktu siang.
Ketiga, perhatikan bagaimana anda rasa selepas bangun. Cuba kenal pasti sama ada malam yang lebih panas membuatkan anda kerap terjaga, berpeluh, atau bangun dalam keadaan kurang segar.
Selama ini kita terlalu sibuk mencari cara untuk menjadi lebih produktif. Cuba teknik pengurusan masa, minum kopi, susun jadual dan bina disiplin.
Semua itu mungkin membantu.
Tetapi jangan abaikan persekitaran tidur yang menyokong proses pemulihan badan dan otak.
Produktiviti esok tak hanya bergantung pada apa yang kita lakukan waktu bekerja, tapi juga bagaimana kita jaga keadaan tubuh dan persekitaran ketika berehat malam ini.
Malam ini cuba perhatikan suhu dan keselesaan bilik anda.
Perubahan pada persekitaran tidur ialah langkah yang lebih mudah untuk dimulakan berbanding memaksa diri bekerja dengan lebih kuat.
Rujukan kajian:
Rominger, C., et al. (2026). Rising temperatures – deteriorating productivity: An examination into day-to-day dynamics of temperature, sleep, and perceived productivity. Journal of Environmental Psychology.






