
Anda dah dewasa ke belum? Mesti dah punya kan. Atas 20 kira dewasa lah tu. Macam saya ni walaupun orang kata masih muda, tapi nak masuk 40 tahun dah. Ayah saya pun meninggah waktu usia 42.
Apapun kita semua akan menjadi dewasa tetapi tidak semua orang benar-benar menjadi dewasa.
Saya pernah terfikir satu soalan yang membuatkan saya berfikir panjang.
“Berapa ramai sebenarnya orang dewasa yang betul-betul matang?”
Soalan itu nampak mudah. Tetapi semakin lama saya memikirkannya, semakin saya sedar bahawa menjadi dewasa tidak cukup kita tengok umur, pekerjaan atau memiliki rumah sendiri.
Menjadi dewasa adalah keupayaan untuk mengawal diri ketika emosi sedang memuncak.
Keupayaan untuk menerima kesilapan sendiri.
Keupayaan untuk memilih apa yang baik untuk jangka panjang walaupun tidak menyeronokkan pada hari ini.
Dan hakikatnya, perkara-perkara ini bukan mudah.
“Menjadi dewasa bukan setakat menambah angka waktu sambutan hari jadi. Ia adalah proses menambah tanggungjawab terhadap diri sendiri.”
Dunia hari ini tidak melatih kematangan
Jika anda perhatikan sekeliling, hampir semuanya direka untuk memberikan kepuasan segera.
Bosan? Buka telefon. Sedih? cari cerita lawak sekejap. Marah? Luahkan di media sosial. Sunyi? Cari hiburan baharu.
Otak manusia memang suka ganjaran segera. Sistem dopamin dalam otak bertindak balas terhadap sesuatu yang cepat, mudah dan menyeronokkan.
Sebab itu kematangan ini memerlukan usaha semula jadi.
Kematangan bermaksud mampu duduk dengan rasa tidak selesa tanpa terus melarikan diri daripadanya.
Mampu menerima kritikan tanpa terus melenting.
Mampu menangguhkan keseronokan hari ini demi sesuatu yang lebih bernilai pada masa hadapan.
Dalam dunia yang sentiasa menawarkan jalan pintas, memilih untuk menjadi individu yang tenang, bertanggungjawab dan berfikir panjang sebenarnya satu bentuk keberanian yang jarang dihargai.
Perangkap orang yang sedang membangun
Namun ada satu perkara yang sering berlaku.
Apabila seseorang mula berkembang dari segi emosi dan pemikiran, dia mula nampak banyak kelemahan di sekelilingnya.
Dia melihat orang yang suka menyalahkan orang lain. Dia melihat orang yang tidak mahu berubah. Dia melihat orang yang sentiasa mencari alasan.
Lalu muncul satu suara halus dalam fikirannya.
“Aku dah tak macam mereka.”
Di sinilah perangkap bermula.
Ahli psikologi perkembangan Robert Kegan menerangkan bahawa terdapat satu tahap perkembangan di mana seseorang mula membina prinsip hidupnya sendiri. Dia tidak lagi terlalu bergantung kepada pandangan orang ramai.
Tetapi ada tahap yang lebih tinggi daripada itu. Saya harap anda akan capai tahap ini.
Pada tahap seterusnya, anda tidak lagi sibuk menilai kelemahan orang lain.
Sebaliknya anda mula memahami bahawa setiap manusia sedang melalui perjalanan perkembangan dan pembangunan diri yang berbeza.
Anda masih mempunyai standard yang tinggi.
Tetapi anda tidak lagi mencari kelemahan orang lain untuk membuktikan bahawa diri anda lebih baik.
Kita semua masih dalam proses
Satu perkara yang menarik dalam psikologi ialah setiap generasi percaya generasi selepas mereka semakin rosak.
Orang tua mengkritik orang muda. Orang muda mengkritik generasi yang lebih tua.
Fenomena ini telah direkodkan sejak ribuan tahun dahulu.
Mungkin sebahagian daripada persepsi kita tidak sepenuhnya tepat. Kita cenderung menilai orang lain berdasarkan kekuatan yang kita miliki. Akibatnya, kelemahan mereka menjadi sangat jelas pada mata kita.
Tetapi kita jarang melihat titik buta yang masih ada pada diri sendiri.
Sebab itu, apabila kita mula rasa bahawa “semua orang di sekeliling aku tidak matang”, mungkin itu petanda untuk kita melihat semula diri sendiri dengan lebih jujur.
Bukan kerana orang lain tidak mempunyai kelemahan tetapi kerana kita juga masih belum selesai belajar meningkatkan tahap dan kualiti diri.
Ujian terakhir menjadi dewasa
Ya, ada kalanya pertumbuhan diri membuatkan anda rasa keseorangan.
Apabila cara berfikir berubah, anda mungkin tidak lagi serasi dengan sesetengah persekitaran lama.
Perasaan itu memang wujud.
Ujian terakhir menjadi dewasa adalah kemampuan untuk berhadapan dengan manusia lain yang juga masih sedang belajar, masih sedang terluka, masih sedang bertumbuh, tetapi anda tetap memilih untuk bersabar melayani hubungan sosial tersebut.
Termasuk bersabar dengan diri sendiri.
Kerana akhirnya, menjadi dewasa adalah menjadi manusia yang cukup kuat untuk kekal baik dalam dunia yang sering menggalakkan kita meninggi diri.






