
Saya nak mulakan dengan ayat klise. Yang bila anda baca, terus terfikir, “Entah ye entah tak, Amirul ni.”
Ramai orang menghabiskan hidup mereka mengejar kebahagiaan. (Kan dah cakap klise)
Mereka percaya apabila sudah cukup duit, cukup berjaya, cukup dikenali atau cukup selesa, barulah kehidupan akan terasa lengkap.
Tetapi ada satu masalah. Perasaan gembira tidak pernah kekal.
Hari ini anda gembira kerana mendapat kenaikan pangkat. Minggu depan anda mula rasa biasa.
Hari ini anda seronok membeli telefon baru. Sebulan kemudian ia hanya menjadi satu lagi objek di dalam poket. Waktu habis sekolah pun anda pernah ada phone baru.
Otak manusia memang direka untuk menyesuaikan diri dengan perkara yang baik. Sebab itu kebahagiaan yang datang daripada pencapaian biasanya bersifat sementara.
“Kebahagiaan adalah tetamu tetapi identiti dan karakter adalah penghuni tetap.”
Kajian dalam bidang psikologi mendapati manusia mempunyai kecenderungan untuk kembali kepada tahap normal asal selepas mengalami kejayaan atau kegagalan besar.
Fenomena ini dikenali sebagai hedonic adaptation.
Dengan kata lain, mengejar rasa gembira semata-mata mungkin bukan strategi terbaik untuk membina kehidupan yang bermakna.
Kehidupan Yang Baik Bukan Tentang Apa Yang Anda Miliki
Kehidupan yang baik bukan ditentukan oleh apa yang anda miliki tetapi oleh siapa yang anda jadi.
Ini bermaksud persoalan paling penting bukanlah:
“Adakah aku gembira hari ini?”
Sebaliknya:
“Adakah aku sedang menjadi manusia yang lebih baik daripada semalam?”
Apabila fokus anda beralih kepada pembangunan karakter, banyak perkara mula berubah.
Anda mula menghargai disiplin walaupun tidak seronok.
Anda mula melakukan perkara yang betul walaupun tiada siapa melihat.
Anda mula membina kemahiran walaupun hasilnya lambat muncul. Tapi anda tahu anda semakin berkembang berbanding dahulu.
Orang yang berorientasikan karakter tidak terlalu bergantung kepada emosi semasa untuk bertindak.
Mereka mempunyai kompas dalaman yang membantu mereka terus bergerak ke hadapan.
“Anda yang kuat adalah anda yang mampu tetap bergerak walaupun semangat hilang. Hanya orang yang fokus pada pembinaan diri boleh buat. Yang fokus mencari kegembiraan saja, susah.”
Dari Emosi Kepada Identiti
Ramai orang hidup berasaskan emosi. Kalau rasa rajin, mereka bekerja. Kalau rasa bermotivasi, mereka belajar. Kalau rasa gembira, baru mereka nak bersyukur.
Masalahnya, emosi ni kan sentiasa berubah.
Sebab itu kehidupan yang lebih stabil dibina berasaskan pembinaan identiti.
Apabila anda melihat diri anda sebagai seorang pelajar yang berwawasan, berpandangan jauh, anda tetap belajar walaupun penat.
Apabila anda melihat diri anda sebagai seorang ayah yang bertanggungjawab, anda tetap meluangkan masa bersama anak walaupun sibuk dan penat. (Puji diri sendiri)
Apabila anda melihat diri anda sebagai individu yang berintegriti, anda tetap bercakap benar walaupun sukar.
Tingkah laku yang konsisten lahir daripada identiti yang jelas.
Soalan Yang Lebih Penting
Mungkin selama ini anda bertanya soalan yang salah. Bukan:
“Bagaimana untuk menjadi lebih gembira?”
Tetapi:
“Bagaimana untuk menjadi manusia yang lebih baik?”
Kerana kebahagiaan dan kejayaan sekadar singgah seketika. Ia datang dan pergi. Hadir dan berlalu.
Dan kalau anda perasan kehidupan yang baik sebenarnya agak membosankan.
Tetapi karakter yang dibina hari ini dalam hari yang bosan itu, boleh memberi kesan kepada seluruh episod kehidupan anda.
Dan itulah yang akhirnya membina sebuah kehidupan yang benar-benar bermakna.


