
Macam mana harapan anda terhadap kehidupan ada buat masa ini? Okay?
Ramai orang menganggap harapan hanyalah kata-kata untuk menyedapkan hati ketika hidup menjadi sukar.
Selalunya bila keadaan bertambah baik, harapan datang sendiri. Bila keadaan buruk, harapan hilang.
Tetapi harapan tidak sekadar emosi positif. Ia ialah satu proses mental yang membuatkan anda terus bergerak walaupun realiti masih belum berubah.
Kajian terbaru pada tahun 2026 mendapati individu yang mempunyai harapan lebih tinggi juga lebih cenderung membantu orang lain, menjadi sukarelawan, prihatin pada komuniti dan mengambil tindakan yang membawa perubahan sosial.
Dengan kata lain, harapan membuatkan anda bangun dan bertindak.
“Harapan yang sebenar membuat anda terus bergerak ke arah yang lebih baik dalam kehidupan.”
Harapan bermula dengan mengakui apa yang anda rasa
Ramai orang menyangka untuk menjadi positif, mereka perlu menolak perasaan sedih, kecewa atau marah.
Sebenarnya tidak. Dalam hidup yang banyak perkara di luar kawalan ini, ada masa memang anda akan sedih, kecewa, marah tanpa sengaja.
Kajian menunjukkan emosi negatif mempunyai fungsi yang penting. Rasa tidak puas hati, kecewa atau gelisah boleh menjadi isyarat bahawa sesuatu perlu diubah.
Jadi emosi ini memberi rasa mendesak untuk bertindak.
Sebab itu konsep mindful hope mengajar anda supaya berhenti seketika dan bertanya kepada diri sendiri.
- Apa sebenarnya yang aku sedang rasa?
- Apa yang aku mahu berubah?
Soalan ini membantu otak mengenal pasti masalah sebenar dan tidak terus tenggelam dalam kebimbangan.
Apabila matlamat menjadi jelas, barulah otak boleh mula mencari jalan penyelesaian.
“Jangan takut kepada emosi negatif. Boleh jadi itu isyarat jelas yang menunjukkan arah perubahan hidup yang perlu dilakukan.”
Formula harapan yang digunakan dalam psikologi
Menurut teori harapan oleh ahli psikologi, harapan boleh terdiri daripada tiga komponen utama.
Matlamat (Goals)
Anda perlu tahu dengan jelas apa yang ingin dicapai. Matlamat yang terlalu kabur sukar memberi arah kepada otak.
Laluan (Pathways)
Selepas mempunyai matlamat, otak perlu membina beberapa jalan untuk sampai ke sana. Jika satu cara gagal, masih ada pilihan lain.
Keupayaan Bertindak (Agency)
Ini ialah keyakinan bahawa anda mampu memulakan langkah dan terus bergerak walaupun berdepan halangan.
Sebab itu individu yang benar-benar berharap tidak cukup sekadar berkata, “Semoga semuanya baik-baik sahaja.”
Mereka juga akan paksa diri berfikir, “Apa langkah pertama yang boleh aku buat hari ini?”
Anda boleh cuba plan (boleh try tulis, letak dalam phone) satu matlamat yang realistik.
Kemudian senaraikan langkah untuk mencapainya.
Selepas itu, fikirkan halangan yang mungkin muncul dan sediakan alternatif jika rancangan asal tidak menjadi.
Latihan ini melatih otak anda supaya tidak mudah berhenti apabila berdepan cabaran.
“Harapan menjadi kuat apabila otak mempunyai lebih daripada satu jalan menuju matlamat.”

Harapan berkembang apabila anda mula bertindak
Kita tidak mampu menyelesaikan semua masalah dalam kehidupan ini. Tetapi anda mampu memilih satu perkara yang boleh anda ubah.
Daripada terlalu lama membaca berita yang membuatkan anda rasa tidak berdaya, pilih satu usaha kecil yang memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain.
Membantu jiran. Menyertai program sukarelawan. Menderma. Mengajar seseorang agar hidup mereka lebih baik. Atau sekadar menjadi individu yang lebih sabar terhadap keluarga sendiri.
Setiap usaha kecil menghantar satu mesej kepada otak.
“Aku masih ada kawalan terhadap hidup ini.”
Itulah yang dipanggil agency dalam psikologi.
Untuk menguatkannya lagi, beberapa strategi yang disokong kajian ialah:
- Yakinkan diri anda akan berjaya melaksanakan langkah demi langkah menuju matlamat.
- Tidur yang mencukupi, bersenam dan menjaga pemakanan kerana otak yang sihat lebih mudah mengekalkan motivasi.
- Ingat kembali kejayaan yang pernah anda capai sebelum ini. Bukti bahawa dahulu anda pernah berjaya akan meningkatkan keyakinan untuk mencuba sekali lagi di masa kini dan akan datang.
- Bergerak bersama orang lain. Sokongan sosial menjadikan harapan lebih mudah dikekalkan.
P/S : Harapan yang baik juga berkait dengan paras serotonin yang mencukupi dalam otak anda. Jadi dapatkan cahaya matahari pagi! Itu sinaran harapan untuk hidup anda.






