Tabiat berbahaya yang membuatkan anda tidak bahagia

Antara punca utama ketidakbahagiaan ialah ketidakmampuan untuk duduk diam bersendirian dengan fikiran sendiri.

Saya pernah bekerja di satu tempat dahulu.

Tekanannya agak tinggi. Kadang-kadang berlaku konflik dengan rakan sekerja. Ada masa tertentu saya pulang ke rumah dengan fikiran yang masih berserabut.

Waktu itu saya tidak mahu memikirkan masalah tersebut. Jadi selalunya saya akan mencari sesuatu untuk mengalihkan perhatian.

Buka televisyen. Main permainan video. Layan media sosial.

Apa sahaja yang boleh membuatkan saya terlupa buat sementara waktu.

Ketika itu saya fikir saya sedang menenangkan diri.

Tetapi sebenarnya saya sedang melakukan apa yang disebut sebagai divertissement.

Dalam bahasa mudah, ia bermaksud gangguan. Pelarian. Apa sahaja yang digunakan untuk mengalihkan perhatian daripada masalah yang sedang dihadapi.

“Semua ketidakbahagiaan manusia berpunca daripada satu perkara, iaitu ketidakmampuan untuk duduk diam bersendirian”

Ramai orang menyangka ketidakbahagiaan berpunca daripada kekurangan wang, kurang kejayaan atau nasib yang tidak menyebelahi mereka.

Mungkin ada benarnya.

Tapi selalunya kita terlalu sibuk melarikan diri daripada masalah sehingga tidak pernah benar-benar menyelesaikannya.

Dengan mencari hiburan, kita sedang melarikan diri

Cuba perhatikan diri anda ketika sedang tertekan. Apakah perkara pertama yang anda capai?

Telefon? Netflix? TikTok? YouTube? Permainan video? Kita suka cari sesuatu untuk melarikan diri.

Mungkin anda baru bergaduh dengan pasangan. Dekat ofis pula kena marah sebab prestasi kerja semakin merosot. Balik rumah sedar masalah kewangan makin meruncing.

Daripada berdepan dengan perkara tersebut, anda memilih untuk mengalih perhatian kepada sesuatu yang lebih mudah.

Kita tidak mahu memikirkan sesuatu yang sedang menunggu di dalam kepala kita.

Masalahnya, hendak melihat ke dalam diri bukan sesuatu yang menyeronokkan. Ia memerlukan keberanian dan strategi.

Gangguan memberi kelegaan, bukan penyelesaian

Bayangkan rumah anda mengalami kebocoran pada bumbung.

Setiap kali hujan, bunyi air menitis ke dalam rumah.

Daripada membaiki bumbung tersebut, anda memasang muzik lebih kuat supaya bunyi titisan air tidak kedengaran.

Adakah masalah itu selesai?

Sudah tentu tidak. Bumbung itu masih bocor. Air dah makin banyak masuk. Bezanya cuma anda tak fikir tentang itu.

Begitulah juga dengan banyak gangguan dalam hidup kita.

Telefon, hiburan, media sosial, tidak menyelesaikan konflik.

Permainan video tidak menyelesaikan pemikiran yang perlu dibuat.

Netflix tidak menyelesaikan luka emosi yang belum sembuh.

Ia cuma membuatkan anda terlupa seketika.

Masalah sebenar masih menunggu apabila skrin ditutup.

Sebab itu ada orang yang sentiasa sibuk tetapi masih berasa kosong.

Ada yang sentiasa terhibur tetapi sukar berasa tenang.

Ada yang menghabiskan berjam-jam setiap hari di hadapan skrin tetapi masih berasa tidak puas.

Gangguan memberi kelegaan sementara.

Penyelesaian memerlukan keberanian untuk berhadapan dengan apa yang sedang berlaku.

Duduk sebentar dan selami apa yang sedang anda lalui

Saya tidak mengatakan semua hiburan itu salah. Tidak.

Kadangkala kita memang perlukan rehat dan masa untuk melepaskan tekanan.

Tetapi ada beza antara berehat dan melarikan diri.

Berehat membantu anda kembali lebih kuat. Melarikan diri membuatkan masalah terus mengejar anda.

Sebab itu sesekali cuba duduk tanpa sebarang rangsangan.

Tidak perlu lama. Lima minit pun sudah memadai.

Letakkan telefon. Tutup muzik. Tutup video. Duduk diam.

Perhatikan apa yang muncul. Mungkin muncul kerisauan. Boleh jadi muncul kemarahan.

Mungkin muncul persoalan yang sudah lama meminta perhatian.

Anda jangan terus lari daripadanya.

Dengar dahulu.

Kerana kadangkala perkara yang paling anda cuba elakkan itulah perkara yang paling memerlukan perhatian anda.

Masalah sebenar ialah bila anda terlalu mahir mengalihkan perhatian sehingga tidak lagi berani berhadapan dengan apa yang perlu diselesaikan.

Similar Posts