Bila patut percaya intuisi dan bila yang jangan

|

Patutkah kita sentiasa percaya pada gerak hati? Intuisi sebenarnya banyak bergantung kepada bagaimana otak belajar mengenal corak melalui pengalaman.

Anda suka dengar kata hati tak? Biasanya anda jenis buat tak tahu anda ambil serius apa yang anda “rasa”?

Orang selalu cakap, “Percayalah pada gerak hati kau.”

Kalau rasa tak sedap, jangan buat. Kalau hati kata ya, teruskan. Tapi ada satu masalah.

Otak kita tak beri penerangan pada setiap gerak hati yang muncul. Jadi kita punt ak tahu kalau

“Ini intuisi berdasarkan pengalaman 10 tahun.”

Atau:

“Ini sebenarnya anxiety.”

Atau lebih bahaya:

“Ini cuma bias, tapi aku rasa sangat yakin yang benda ni betul.”

Sebab itu intuisi ni sesuatu yang kita jangan percaya 100% tapi jangan juga anda abaikan.

Kadang-kadang intuisi memang sangat tepat. Sampai anda pun tak sangka.

Persoalannya ialah: bila dan macam mana anda nak tahu yang intuisi waktu tu besar kemungkinan tepat?

Intuisi sebenarnya adalah otak mengesan corak

Intuisi nampak macam misteri sebab jawapan muncul sebelum kita sempat menjelaskan kenapa.

Kita jumpa seseorang. Entah kenapa kita rasa ada sesuatu yang tak kena.

Kita masuk mesyuarat. Belum lima minit, kita dah boleh rasa suasana hari itu sedikit tegang.

Atau seseorang yang dah lama bekerja dalam bidang tertentu melihat satu masalah dan terus tahu apa yang perlu dilakukan. Kuat intuisi dalaman dia apa yang problem.

Dia mungkin tak mampu terangkan semuanya pada saat itu. Tapi otaknya dah nampak sesuatu. Ini kerana otak dia telah belajar melalui pengalaman.

Bukan semua pembelajaran berlaku dengan anda duduk membaca buku atau menghafal fakta.

Ada pembelajaran yang berlaku secara implicit.

Anda terdedah kepada sesuatu berkali-kali sehingga otak mula mengenal pasti corak tanpa kita sedari.

Sebab itu anda boleh dengar satu ayat dan rasa,

“Macam pelik saja ayat ni.”

Walaupun anda sendiri tak tahu hukum tatabahasa apa yang dilanggar.

Begitu juga orang yang berpengalaman.

Jururawat mungkin melihat seorang pesakit dan rasa,

“Patient ni macam tak okay.”

Padahal bacaan tertentu mungkin masih belum nampak terlalu pelik.

Tetapi sepanjang bertahun-tahun bekerja, otaknya sudah melihat ratusan situasi.

Perubahan kecil pada wajah, pernafasan, pergerakan atau tingkah laku mungkin sudah masuk dalam pattern recognition otaknya.

“Intuisi yang baik selalunya bukan magik pun. Ia adalah pengalaman yang bergerak lebih pantas daripada mulut kita.“

Sebab itu kadang-kadang seseorang kata,

“Aku tak tahu macam mana nak explain. Tapi aku rasa benda ni tak kena.”

Mungkin dia memang nampak sesuatu.

Cuma otaknya belum sempat menterjemahkannya kepada perkataan.

Masalahnya, otak boleh belajar corak yang salah

Di sinilah anda kena berhati-hati. Otak belajar daripada pengulangan. Tetapi otak tidak semestinya luangkan masa menganalisis:

“Adakah benda yang aku rasa ini benar?”

Kalau sesuatu pengalaman berlaku berkali-kali, otak boleh mula membentuk association. Walaupun association itu sebenarnya tidak tepat.

Contoh mudah.

Seseorang pernah dikhianati dalam hubungan. Kemudian dia masuk hubungan baru. Pasangannya lambat membalas mesej dua jam.

Terus muncul satu gerak hati.

“Dia dah berubah. Pasangan dulu pun macam ni”

“Ada sesuatu yang dia sorok.”

“Hubungan ni tak kekal ni.”

Adakah itu intuisi? Mungkin.

Tetapi mungkin juga otak sedang mengambil pengalaman lama dan memasukkannya ke dalam situasi baru.

Sebab itulah kekuatan sesuatu perasaan tidak menentukan ketepatannya.

Anda boleh rasa sangat yakin dan masih salah. Anda boleh rasa sangat risau walaupun masalah sebenar tak ada apa.

Anda juga boleh rasa sangat optimistik terhadap sesuatu keputusan hanya kerana anda memang mahu keputusan itu menyebelahi anda.

“Perasaan yang kuat bukan bukti bahawa sesuatu itu benar. Kadang-kadang ia cuma bukti bahawa sesuatu itu penting kepada kita”

Intuisi biasanya lebih dipercayai apabila anda berada dalam persekitaran yang mempunyai corak yang boleh dipelajari dan maklum balas yang jelas.

Contohnya seorang anggota bomba.

Dia membuat keputusan. Beberapa minit kemudian dia boleh nampak sama ada keputusan itu membantu atau memburukkan keadaan.

Feedback cepat. Pengalaman bertambah. Otak boleh memperbaiki pattern recognition.

Bandingkan dengan seseorang yang membuat ramalan ekonomi lima tahun akan datang.

Atau memilih pekerja hanya berdasarkan “first impression”.

Feedback mungkin lambat. Kadang-kadang langsung tak jelas.

Dalam keadaan seperti itu, keyakinan seseorang boleh meningkat jauh lebih cepat daripada ketepatannya. Jadi intuisi di sini mudah lari.

Sebelum percaya gerak hati, tanya 3 soalan ini

Saya rasa kita tak perlu memilih antara dua ekstrem. Jangan setiap kali ada gerak hati terus ikut.Tetapi jangan juga setiap kali ada gerak hati terus cakap,

“Ala, perasaan saja.”

Yang terbaik anda anggap intuisi yang menerjah itu sebagai satu data point. Kemudian periksa.

Pertama, tanya:

Ini intuisi atau emosi?

Kalau anda sedang sangat takut, marah, terlalu teruja atau terlalu berharap sesuatu berlaku, emosi boleh mempengaruhi tafsiran kita. Cuba namakan emosi itu dahulu.

“Aku sebenarnya takut kot ni.”

“Boleh jadi aku yang berharap sangat benda ni jadi.”

Kadang-kadang apabila emosi sudah dinamakan, kita mula nampak keputusan itu dengan lebih jelas.

Kedua:

Adakah aku sudah cukup berpengalaman dalam situasi ini?

Kalau anda sudah 15 tahun bekerja dalam sesuatu bidang, gerak hati anda mungkin mempunyai ribuan pengalaman di belakangnya.

Tetapi kalau anda baru pertama kali masuk sesuatu bidang, jangan terlalu cepat menganggap keyakinan sebagai expertise.

Dan ketiga:

Apa sebenarnya pattern yang aku nampak?

Daripada berkata,

“Aku rasa deal ni tak jadi.”

Cuba tanya:

“Kenapa aku terfikir deal ni tak jadi?”

Mungkin anda akan mula sedar tiga deal sebelum ini yang gagal mempunyai corak sama.

Client mula lambat reply. Mesyuarat ditangguhkan. Soalan tentang harga semakin banyak.

Sekarang intuisi itu sudah berubah daripada satu perasaan kabur kepada satu hipotesis yang boleh diperiksa.

Jangan setakat tanya, “Apa kata hati aku?” Tanya juga, “Dari mana hati aku belajar benda ini?”

Anda kena suka melihat intuisi dengan cara ini. Intuisi bukan arahan. Ia isyarat.

Kadang-kadang isyarat itu datang daripada pengalaman bertahun-tahun. Boleh jadi juga daripada ketakutan ataupun daripada bias. Mungkin juga daripada pattern yang memang betul.

Jadi apabila anda rasa,

“Aku rasa macam ada sesuatu…”

Jangan terus ikut tapi jangan juga terus abaikan.

Ingat, siasat.

Sebab intuisi terbaik tak cukup setakat gerak hati yang kuat.

Ia adalah gerak hati yang dibina daripada pengalaman, menerima feedback, dan akhirnya belajar mengenal corak yang betul.

Similar Posts