Kenapa kita teragak-agak nak hubungi kawan lama?

Walaupun nombor telefon atau akaun media sosial sudah ada depan mata, kita masih teragak-agak nak tekan butang “send”. Kenapa?

Semakin kita meningkat usia, ada satu perkara menarik berlaku. Kita mula teringat semula orang yang pernah hadir dalam hidup kita.

Kawan sekolah. Kawan universiti. Kawan satu tempat kerja dulu. Ada yang pernah sangat rapat dengan kita, tetapi akhirnya hilang begitu sahaja apabila masing-masing membawa haluan sendiri.

Sekarang sebenarnya mudah sangat kalau nak cari mereka. Ada Facebook, Instagram, Tiktok, WhatsApp dan macam-macam lagi.

Jumpa profil dia. Tengok gambar. Tahu dia kerja dekat mana. Kadang-kadang nombor telefon pun ada sekali.

Tapi tangan tetap teragak-agak nak mesej.

“Dia masih ingat aku ke?”

“Pelik tak kalau tiba-tiba aku tegur?”

“Kalau dia tak balas macam mana?”

Menariknya, keraguan itu mungkin bukan sekadar malu. Ada beberapa proses psikologi yang berlaku apabila kita cuba membuka semula pintu kepada hubungan dari masa lalu.

Kadang-kadang kita rindu kawan lama dan merindui versi diri kita yang pernah wujud bersama mereka.

Sebenarnya kenapa kita mahu cari kawan lama?

Sebab paling mudah tentulah rasa ingin tahu.

Kita pernah berkongsi sebahagian hidup dengan seseorang. Makan bersama. Belajar bersama. Ketawa benda mengarut bersama. Mungkin pernah susah bersama.

Kemudian selepas 10, 20 atau 30 tahun, kita mula tertanya-tanya.

Apa jadi dengan dia sekarang?

Bahagia ke hidup dia?

Dah kahwin? Ada anak? Kerja apa?

Tetapi ada satu lagi sebab yang lebih menarik dari sudut psikologi.

Kawan lama adalah antara manusia yang pernah mengenali versi lama diri kita.

Orang yang kita kenal sekarang mungkin hanya mengenali kita sebagai seorang ayah, ibu, bos, pekerja, suami atau isteri.

Tetapi kawan sekolah mengenali kita sebelum semua identiti itu wujud.

Dia kenal kita waktu badan kurus, rambut panjang, poket kosong dan cita-cita masih besar.

Bila kita bercakap semula dengan mereka, otak kita bukan sekadar mengingati individu tersebut. Banyak memori autobiografi turut diaktifkan.

Tempat. Bau.Lawak lama. Guru. Kelas.

Perjalanan balik sekolah.

Sebab itu berbual dengan kawan lama kadang-kadang terasa sangat hidup.

Untuk beberapa ketika, anda seolah-olah kembali menjadi diri anda yang berumur 17 atau 20 tahun.

Manusia dari masa lalu kadang-kadang berfungsi seperti pintu masuk kepada memori tentang siapa diri kita dahulu.

Bila kawan lama menjadi cermin kehidupan kita

Ada satu lagi proses psikologi yang lebih halus.

Kita menggunakan orang yang seusia dengan kita sebagai titik perbandingan kehidupan.

Dalam psikologi, manusia memang mempunyai kecenderungan melakukan social comparison.

Kita melihat orang yang bermula lebih kurang dari tempat yang sama dengan kita kemudian bertanya secara tidak sedar:

“Sekarang aku berada di mana?”

Bayangkan anda jumpa semula kawan sekolah selepas 25 tahun.

Dulu sama-sama duduk dalam kelas yang sama.

Sekarang seorang menjadi doktor. Seorang berniaga. Seorang bekerja biasa. Seorang sudah mempunyai keluarga besar. Seorang mungkin masih mencari arah hidup.

Tanpa kita sedar, otak mula membandingkan perjalanan hidup.

Ahli psikologi Erik Erikson pernah mencadangkan bahawa apabila manusia semakin berusia, kita mula melalui fasa refleksi kehidupan yang beliau panggil integrity versus despair.

Dalam bahasa mudah:

Kita mula bertanya,

“Adakah aku puas dengan kehidupan aku?”

“Adakah keputusan yang aku buat selama ini betul?”

“Adakah hidup aku mempunyai makna?”

Sebab itu keinginan mencari kawan lama kadang-kadang muncul semakin kuat apabila umur meningkat.

Mereka menjadi semacam penanda masa.

Orang yang pernah bermula bersama kita tetapi mengambil jalan kehidupan yang berbeza.

Masalahnya, perbandingan ini juga boleh menjadi tidak sihat.

Kita mungkin melihat gambar hidup mereka di media sosial lalu merasakan mereka jauh lebih berjaya.

Padahal kita cuma melihat beberapa keping gambar daripada keseluruhan kehidupan seseorang.

Media sosial selalunya menunjukkan highlight, benda yang best saja, bukan keseluruhan realiti.

Kenapa kita masih takut nak hubungi mereka?

Sebab membuka semula hubungan lama membawa sedikit risiko emosi.

Pertama, manusia berubah.

Kawan yang anda kenal 20 tahun lalu tidak semestinya manusia yang sama hari ini.

Nilai berubah. Personaliti berubah. Kepercayaan berubah. Pengalaman hidup berubah.

Dua orang yang dahulu sangat rapat boleh menjadi sangat berbeza selepas puluhan tahun.

Ada juga persahabatan yang berakhir dengan konflik.

Kalau dahulu pernah bergaduh, terasa hati atau berlaku sesuatu yang tidak selesai, menghubungi semula mereka mungkin membuka luka lama.

Dalam keadaan tertentu, ia boleh menjadi peluang untuk meminta maaf dan berdamai.

Tetapi tidak semestinya semua hubungan lama perlu dihidupkan semula.

Ada hubungan yang memang lebih baik kekal sebagai kenangan.

Satu lagi kebimbangan ialah bagaimana orang itu akan mentafsir niat kita.

Kalau kehidupan kita sekarang kelihatan lebih berjaya, kita mungkin takut mereka fikir kita mahu menunjuk.

Kalau kehidupan mereka pula jauh lebih berjaya, kita mungkin rasa rendah diri.

Sedangkan mungkin sebenarnya kedua-dua pihak sedang memikirkan perkara yang sama.

Hubungan lama tak semestinya perlu disambung dari tempat ia terhenti. Kadang-kadang kita perlu berkenalan semula sebagai dua manusia yang sudah berubah.

Kalau benar-benar mahu menghubungi seseorang, tak perlu fikir terlalu kompleks.

Mulakan sahaja dengan sesuatu yang ringan.

“Salam, tiba-tiba teringat kau. Lama betul tak berhubung. Apa khabar sekarang?”

Tapi tak perlu terus berharap hubungan itu kembali seperti dahulu.

Kerana tujuan sebenar bukan untuk mengembalikan masa lalu. Masa lalu memang tidak boleh dikembalikan.

Tetapi kita masih boleh menghargai manusia yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup kita.

Dan kadang-kadang satu mesej pendek sahaja sudah cukup untuk mengukuhkan lagi persahabatan yang telah dilalui dulu.

Similar Posts