Selalu nampak salah orang lain? Mungkin itu cerminan diri anda sendiri

Mekanisme pertahanan diri boleh menyebabkan anda meletakkan emosi, ketakutan dan kelemahan sendiri kepada orang lain tanpa sedar.

Pernah tak anda jumpa seseorang yang sentiasa nampak kesalahan orang lain?

Tapi sebenarnya tidak perlu pergi jauh. Tengok diri kita sendiri dah cukup. Bila ada masalah, tekanan sikit mudah untuk cakap

Bos salah. Pasangan salah. Kawan tak betul. Rakan sekerja punca. Semua orang seolah-olah mempunyai masalah.

Psikologi mempunyai satu istilah untuk fenomena ini. Saya ingat lagi dalam kelas dengan Dr Suhaya. Dia cakap tentang “Projection”.

Ia sebenarnya cara otak melindungi diri daripada emosi yang sukar diterima.

“Boleh jadi apa yang mengganggu anda lihat pada orang lain adalah perkara yang anda belum selesa terima dalam diri sendiri.”

Projection: Bila anda letakkan emosi sendiri pada orang lain

Projection berlaku apabila anda mengambil perasaan, kelemahan atau ketakutan yang ada dalam diri anda, kemudian secara tidak sedar meletakkannya pada orang lain.

Contohnya anda ada perasaan sangat takut dianggap gagal.

Disebabkan ketakutan itu terlalu menyakitkan untuk diterima, anda mula melihat orang lain sebagai tidak kompeten.

Orang itu punca anda gagal sebab sentiasa mengkritik. Selalu mencari kesalahan. Tidak pandai menyokong.

Hakikatnya anda sedang melawan sesuatu yang wujud dalam diri anda sendiri.

Dalam psikologi, projection dianggap sebagai salah satu mekanisme pertahanan diri. Otak cuba mengurangkan tekanan emosi dengan mengalihkan fokus daripada diri sendiri kepada orang lain.

Daripada berkata:

“Aku rasa aku tak cukup baik.”

Otak menukarkannya kepada:

“Orang lain yang tak cukup baik.”

Masalahnya, walaupun ia memberi kelegaan sementara, ia jarang menyelesaikan masalah sebenar.

Kenapa orang yang paling defensif selalunya paling keras mengkritik diri sendiri?

Ramai orang menyangka individu yang suka menyalahkan orang lain mempunyai ego yang besar.

Tidak semestinya. Kadang-kadang mereka sebenarnya terlalu keras terhadap diri sendiri.

Mereka hidup dengan suara dalaman yang sentiasa mengkritik. Mereka sentiasa merasakan diri tidak cukup bagus.

Sentiasa takut dipersalahkan. Sentiasa menjangka orang lain akan menyerang mereka.

Apabila seseorang hidup dalam keadaan berjaga-jaga seperti ini, otak mula melihat ancaman di mana-mana.

Teguran kecil terasa seperti serangan peribadi. Maklum balas biasa terasa seperti penghinaan. Nasihat terasa seperti kritikan.

Lalu mereka menyerang dahulu sebelum diserang. Mereka mempertahankan diri walaupun tiada siapa sedang menyerang.

“Apabila anda sentiasa menjangka kritikan, anda akan mula bertarung dengan musuh yang sebenarnya tak wujud.”

Ironinya, tindakan mempertahankan diri ini sering menghasilkan perkara yang mereka paling takut.

Hubungan menjadi tegang. Kawan menjauh. Pasangan penat. Rakan sekerja sukar bekerjasama.

Mereka akhirnya menerima penolakan yang selama ini cuba dielakkan.

Projection bukan sentiasa buruk

Menariknya, projection bukan hanya menghasilkan konflik. Ia juga boleh menghasilkan sesuatu yang sangat indah.

Empati.

Apabila anda melihat kebaikan dalam orang lain, kadang-kadang anda sebenarnya sedang memprojeksikan bahagian baik yang ada dalam diri anda sendiri.

Sebab itu ada orang yang mudah nampak potensi orang lain. Mudah memahami kesusahan orang lain. Mudah bersimpati.

Mereka juga sedang “memprojeksikan” sesuatu. Bezanya, yang diprojeksikan ialah sifat yang positif.

Dalam erti kata lain, projection boleh menjadi sumber kemarahan.

Tetapi ia juga boleh menjadi sumber kasih sayang.

Ia bergantung kepada apa yang sedang berlaku dalam dunia dalaman anda.

“Cara anda lihat orang lain sering jadi petunjuk pada apa yang sedang berlaku dalam diri anda.”

Soalan yang patut anda tanya pada diri sendiri

Apabila seseorang benar-benar membuat anda marah atau menjengkelkan, cuba berhenti seketika.

Tanya diri:

Adakah aku juga pernah berkelakuan seperti ini?
Kenapa tingkah laku ini begitu mengganggu aku?
Adakah perkara ini mengingatkan aku kepada sesuatu tentang diri aku sendiri yang aku tak suka?
Apa emosi sebenar yang aku sedang cuba elakkan?

Soalan-soalan ini untuk membantu anda melihat dengan lebih jelas.

Kerana semakin kita memahami emosi sendiri, semakin kurang kita perlu meletakkannya pada orang lain.

Dan apabila itu berlaku, hubungan menjadi lebih tenang. Lebih matang. Lebih jujur.

Kadang-kadang masalahnya boleh jadi tidak disebabkan orang lain tetapi luka yang belum sembuh dalam diri anda sendiri.

Similar Posts