
Dulu kita tak sabar tunggu hujung minggu. Nak pergi jalan mall.
Nak tengok wayang pun rasa macam satu acara besar. Nak pergi bercuti, seminggu awal dah terbayang-bayang. Jumpa kawan pergi travel sekali boleh jadi sesuatu yang kita nantikan.
Masa kecil lagi dahsyat.
Esok nak pergi jalan-jalan pun malam tu susah nak tidur. Dapat permainan baru, berhari-hari kita main. Nak cuti sekolah musim raya, seminggu sebelum raya pun perasaan dia dah lain.
Tapi semakin dewasa, ada satu perasaan pelik yang ramai orang susah nak terangkan.
“Hidup aku sebenarnya okay. Cuma aku dah tak rasa excited sangat dengan apa-apa.”
Tapi tetap pergi kerja macam biasa. Masih bayar bil. Masih jaga anak. Masih keluar makan. Masih boleh ketawa. Hidup terus berjalan.
Cuma rasa spark itu macam semakin kurang.
“Hidup kita okay sangat cuma boleh jadi otak kita yang makin susah rasa sesuatu itu istimewa.”
Otak kita hidup dalam dunia yang terlalu banyak rangsangan
Salah satu perkara yang berubah ialah persekitaran kita.
Dulu hiburan ada had.
Nak tengok cerita kena tunggu waktu tertentu. Nak dengar lagu kena beli kaset atau CD. Ingat lagi, saya naik bas pergi ke pekan Muar, masuk kedai beli kaset. Nak bercakap dengan kawan kena telefon atau jumpa. Nak beli barang kena keluar rumah.
Sekarang hampir semuanya berada beberapa sentuhan daripada jari kita.
TikTok. Netflix. YouTube. Shopee. Makanan. Game. Berita. Media sosial. Notifikasi.
Satu benda bosan, swipe. Tak suka video ini, swipe. Tak menarik, cari benda lain.
Otak kita mempunyai reward system yang membantu kita belajar apa yang patut dikejar dan diberikan perhatian. Dopamine memainkan peranan penting dalam sistem ini, terutama dalam motivasi, pembelajaran ganjaran dan jangkaan terhadap sesuatu ganjaran.
Bila otak sentiasa menerima rangsangan yang banyak, pantas dan mudah bertukar, pengalaman biasa mungkin terasa kurang menonjol secara perbandingan.
Duduk minum kopi selama sejam tanpa telefon terasa perlahan. Cuba lah try pergi kedai order makanan. Lepas tu tunggu jangan pegang phone langsung. Memang rasa awkward, tak senang duduk!
Kalau fokus belajar, buat kerja, baca buku 20 minit terasa berat.
Baseline pengalaman harian kita sudah dipenuhi terlalu banyak rangsangan.
“Kalau setiap minit otak diberikan sesuatu untuk merangsangnya, perkara sederhana semakin sukar terasa istimewa.”
Semakin dewasa, semakin banyak benda boleh dijangka
Ada satu lagi faktor yang kita jarang fikir: novelty.
Otak sangat responsif terhadap perkara baru dan perkara yang tidak dijangka.
Sebab itu pengalaman zaman kanak-kanak terasa begitu besar.
Pertama kali pergi karnival, event, konsert.
Pertama kali jatuh cinta. Pertama kali dapat gaji. Pertama kali bawa motor, memandu kereta sendiri.
Semakin meningkat usia, semakin banyak pengalaman sudah pernah kita lalui.
Kita dah tahu bagaimana pemandangan indah di banyak tempat. Kita dah tahu macam mana rasa heaven bercuti. Kita dah pernah makan makanan sedap. Kita dah pernah tengok ratusan filem.
Otak kita pula sangat bagus melakukan habituation, apabila sesuatu rangsangan berlaku berulang kali, respons kita terhadapnya boleh berkurang.
Kehidupan boleh mula terasa terlalu predictable. Bangun. Kerja. Balik. Telefon. Tidur. Esok ulang lagi.
Mungkin hidup anda tak ada lah semakin teruk cuma semakin kurang memberi kejutan pada otak.

Mungkin kita tak perlukan lebih banyak keseronokan
Apabila hidup mula terasa hambar, naluri kita biasanya satu iaitu cari sesuatu yang lebih kuat, mantap.
Beli benda baru. Pergi tempat baru. Cari makanan lebih sedap. Tukar telefon. Scroll lebih lama. Cari hiburan baru.
Sepatutnya anda jangan sentiasa menambah stimulation. Kadang-kadang anda perlu mengurangkannya.
Biarkan diri bosan. Berjalan tanpa telefon. Duduk minum kat kedai tanpa scroll. Tengok orang lalu lalang. Berbual dengan pasangan, anak sendiri.
Baca buku tanpa buka notifikasi setiap lima minit. Jumpa seseorang dan berbual tanpa telefon atas meja.
Buat sesuatu yang mengambil masa untuk menghasilkan kepuasan macam bersenam, berkebun, belajar kemahiran, menulis, memasak atau membina sesuatu.
Otak manusia tak tercipta hanya untuk mengejar keseronokan.
Kita juga perlukan effort, anticipation, connection, novelty dan meaning.
Dalam psikologi, kehilangan keupayaan atau minat untuk merasakan keseronokan dikenali sebagai anhedonia, dan ia boleh muncul dalam beberapa keadaan kesihatan mental.
Bila kali terakhir kita benar-benar memberikan ruang kepada sesuatu untuk dirindui?
Kita hidup dalam zaman yang hampir semuanya boleh diperoleh serta-merta.
Mungkin sebab itu kita semakin jarang mengalami satu perasaan yang dahulu sangat biasa iaitu
menunggu sesuatu dengan penuh keterujaan.






