
Orang kata otak manusia tidak boleh melakukan dua perkara serentak. Siapa yang kata? Saya lah tu. Dalam training Brain Based Performance Profesional yang saya buat minggu lepas dekat Mental Kuat Centre, Melaka, pun saya ada cakap.
Kita selalu dengar nasihat seperti “fokus satu perkara sahaja” atau “multitasking merosakkan prestasi.”
Satu kajian terbaru daripada penyelidik Georgetown University mendapati perkara itu tidak semestinya benar.
Selepas latihan yang banyak, intensif dan konsisten, otak sebenarnya boleh mengubah cara ia berfungsi sehingga sesuatu tugasan menjadi hampir automatik.
Apabila ini berlaku, anda boleh melakukan tugasan lain pada masa yang sama tanpa menjejaskan prestasi dengan ketara.
“Apa yang pada mulanya memerlukan fokus penuh, akhirnya boleh menjadi sebahagian daripada sistem automatik otak.”
“Multitasking bukan bermaksud melakukan dua perkara sukar serentak. Ia berlaku apabila satu kemahiran sudah menjadi terlalu biasa (automatik) kepada otak.”
Dari Otak Berfikir Kepada Otak Automatik
Apabila kita mula belajar sesuatu yang baru, bahagian otak yang banyak digunakan ialah prefrontal cortex.
Bahagian ini boleh dianggap sebagai pusat kawalan otak. Ia membantu kita membuat keputusan, menilai pilihan, menganalisis keadaan, memberi perhatian dan menyelesaikan masalah.
Sebab itu ketika pertama kali belajar memandu, hampir semua tenaga mental digunakan untuk mengawal stereng, melihat cermin sisi, menekan pedal dan memahami keadaan jalan raya.
Ketika itu, bercakap dengan penumpang pun boleh mengganggu tumpuan.
Namun selepas bertahun-tahun memandu, anda boleh saja berbual, sambil mendengar radio dengar lagu sendu atau berfikir tentang perkara lain sambil memandu dengan selamat.
Itukan multitask juga tu. Adakah anda menjadi lebih bijak sebenarnya?
Tidak.
Sebaliknya, otak anda telah mengubah laluan neural yang digunakan.
Kajian ini mendapati bahawa selepas latihan yang sangat banyak, tugasan yang asalnya dikendalikan oleh prefrontal cortex dipindahkan ke temporal cortex, iaitu kawasan otak yang banyak terlibat dalam memori dan pengecaman corak perbuatan.
Apabila ini berlaku, prefrontal cortex menjadi lebih “relaks” dan boleh digunakan untuk perkara lain.
Latihan Mengubah Struktur Fungsi Otak
Dalam kajian tersebut, peserta dikehendaki mengasingkan imej kereta mengikut kategori tertentu.
Mereka melakukan lebih daripada 30,000 ulangan latihan selama beberapa minggu menggunakan aplikasi telefon pintar.
Imbasan otak sebelum dan selepas latihan menunjukkan perubahan yang sangat menarik.
Pada peringkat awal, tugasan itu bergantung kepada prefrontal cortex.
Namun selepas latihan intensif, otak membina laluan baharu sehingga pengecaman kategori kereta tersebut berlaku secara automatik dalam temporal cortex.
Maksudnya, otak tidak lagi perlu berfikir keras untuk melakukan tugas tersebut.
Inilah asas kepada apa yang dipanggil sebagai automaticity.
Fenomena yang sama berlaku kepada doktor yang berpengalaman membaca X-ray, pemain catur profesional, guru yang berpengalaman mengajar, atau pelajar yang telah menguasai sesuatu topik dengan sangat mendalam.
Mereka tidak semestinya berfikir lebih bijak cuma otak mereka menjadi lebih cekap.
Kenapa Pelajar Hebat Nampak Lebih Mudah Belajar?
Salah satu sebabnya ialah banyak kemahiran asas mereka sudah menjadi automatik.
Mereka tidak lagi perlu menggunakan banyak tenaga mental untuk memahami konsep asas.
Akibatnya, prefrontal cortex mereka mempunyai lebih banyak kapasiti untuk menyelesaikan soalan yang lebih kompleks.
Ini menjelaskan mengapa pengulangan, latihan soalan dan spaced repetition sangat penting.
Setiap kali anda mengulang sesuatu kemahiran, anda sedang mengajar otak untuk memindahkan tugasan tersebut daripada sistem yang memerlukan fokus tinggi kepada sistem yang lebih automatik.
Semakin automatik sesuatu kemahiran, semakin banyak ruang mental yang tersedia untuk pembelajaran tahap lebih tinggi.
Apa Kaitannya Dengan Kehidupan Harian?
Kajian ini memberi satu mesej yang sangat penting.
Jangan kecewa jika sesuatu kemahiran terasa sukar pada peringkat awal.
Otak memang direka untuk menggunakan banyak tenaga ketika proses pembelajaran bermula.
Tetapi dengan latihan yang konsisten, otak akan membina laluan neural yang lebih cekap dan menjadikan kemahiran tersebut hampir automatik.
Apa yang hari ini anda rasa mustahil, suatu hari nanti mungkin menjadi sesuatu yang anda lakukan tanpa berfikir.
Sebab itu anda yang nak berjaya tak semestinya perlukan otak yang luar biasa.
Anda perlu hanya ada lebih banyak jam latihan sehingga otak anda berjaya membina sistem automatik yang tidak dimiliki oleh orang lain.
“Pengulangan bukan sekadar menguatkan memori. Ia mengubah cara otak memproses sesuatu tugasan.”
Apabila sesuatu kemahiran menjadi automatik, otak mempunyai lebih banyak ruang untuk berkembang ke tahap seterusnya.
Rujukan:
Extensive Experience Remodels Neural Task Circuitry to Escape the Frontal Bottleneck and Increase Automaticity of Categorization, Journal of Cognitive Neuroscience (2026).



