Otak anda tahu bila masa sesuai untuk bernafas

Kajian menunjukkan otak lebih peka terhadap maklumat daripada badan dan persekitaran ketika anda menghembus nafas.

Pernah tak anda perasan bila anda sedang fokus melakukan sesuatu, corak pernafasan anda berubah?

Bila angkat barang berat, anda tahan nafas seketika.

Bila fokus sesuatu target dalam permainan video, akan bernafas pelahan, tahan nafas sekejap pun ada.

Bila cuba fokus dengar bunyi yang sangat perlahan, secara spontan kita pun diam dan mengawal pernafasan.

Rupa-rupanya otak memang menggunakan pernafasan sebagai sebahagian daripada sistem pengesanan maklumat.

“Pernafasan bukan sekadar membekalkan oksigen. Ia juga membantu otak mengesan dunia di sekeliling kita.”

Kajian terbaru dari penyelidik di Itali mendapati bahawa kitaran tarik dan hembus nafas mempunyai hubungan rapat dengan keupayaan anda untuk mengesan maklumat daripada badan sendiri dan persekitaran luar.

Dengan kata lain, otak bukan hanya memproses maklumat. Otak juga memilih masa yang sesuai untuk memproses maklumat itu.

Hembus nafas membantu anda lebih peka

Dalam kajian tersebut, 41 orang peserta menjalani beberapa ujian yang mengukur keupayaan mereka mengesan degupan jantung sendiri dan rangsangan sentuhan pada badan.

Penyelidik mendapati prestasi peserta menjadi lebih baik ketika mereka sedang menghembus nafas berbanding ketika menarik nafas.

Mereka lebih mudah mengesan isyarat daripada badan sendiri dan juga rangsangan daripada dunia luar.

Ini menunjukkan bahawa fasa hembusan nafas mungkin membantu meningkatkan sensitiviti sistem deria manusia.

Penemuan ini juga selari dengan beberapa kajian terdahulu yang menunjukkan bahawa semasa menghembus nafas, otak lebih responsif terhadap bunyi, pembelajaran dan rangsangan tertentu.

“Jadi cuba try kalau anda nak cuba menikmati suasana, nak ingat episod kehidupan yang sedang berlaku, ubah hembus nafas tu panjang sikit”

Sebab itu teknik pernafasan sering digunakan dalam mindfulness (sedar maksimum dalam realiti semasa) dan latihan prestasi mental.

Hembus nafas panjang ni bukan sekadar untuk menenangkan diri malah membantu otak mengumpulkan maklumat dengan lebih berkesan.

Kenapa seni mempertahankan diri sangat menitikberatkan pernafasan?

Jika anda pernah melihat latihan karate, kung fu atau seni mempertahankan diri yang lain, anda mungkin perasan satu perkara.

Ramai pengamal akan menghembus nafas ketika melakukan serangan.

Pada masa lalu, ramai menganggap ia sekadar teknik untuk menghasilkan kuasa yang lebih kuat.

Tetapi kajian seperti ini memberi satu perspektif tambahan.

Mungkin hembusan nafas membantu otak menjadi lebih peka terhadap pergerakan lawan dan keadaan sekeliling pada saat yang kritikal.

Dalam banyak aliran seni mempertahankan diri, terdapat prinsip mudah:

Tarik nafas apabila pergerakan kembali ke arah badan.

Hembus nafas apabila tenaga dihantar keluar.

Hari ini, neurosains mula menunjukkan bahawa prinsip tradisional ini mungkin mempunyai asas biologi yang sebenar.

Apa yang lebih menarik, konsep yang sama boleh digunakan dalam kehidupan harian.

Sebelum membuat keputusan penting, sebelum bercakap di hadapan orang ramai, sebelum menghadapi situasi yang mencabar, cuba beri perhatian kepada pernafasan anda.

Mungkin otak anda sedang cuba membantu anda melihat suasana sekeliling dengan lebih jelas. Hembus nafas keluar dengan ekstra panjang dan lembut.

Kerana pernafasan bukan sekadar proses untuk terus hidup.

Ia adalah sebahagian daripada sistem yang membantu anda memahami dunia.

Similar Posts