
Anda terhidu sesuatu yang pelik, kemudian badan terus rasa berjaga-jaga sebelum sempat fikir. Apa sebenarnya yang berlaku?
Dalam satu kajian baharu, penyelidik cuba memahami bagaimana otak bertindak apabila mengesan bau yang menyerupai ancaman. Mereka menemui satu laluan komunikasi antara beberapa kawasan otak yang nampaknya terlibat dalam tingkah laku seperti cemas.
Bila bau menjadi isyarat ancaman
Penyelidik mendedahkan tikus kepada bahan berbau seperti pemangsa yang dipanggil 2-MT. Mereka juga membandingkan aktiviti otak itu dengan tindak balas terhadap kejutan elektrik pada kaki.
Kemudian, tikus diperhatikan dalam ruang yang mempunyai kawasan terbuka. Apabila tikus semakin mengelak kawasan terbuka selepas terdedah kepada bau tersebut, penyelidik mengukurnya sebagai tingkah laku seperti cemas.
Otak mudah bertindak terhadap isyarat ancaman sebelum kita sempat memahami apa yang tengah berlaku.
Laluan otak yang mereka temui
Bayangkan beberapa kawasan otak saling menghantar mesej. Dalam kajian ini, mesej tersebut melibatkan insula cortex, parabrachial nucleus di batang otak, dan satu kawasan di thalamus.
Penyelidik mendapati bau seperti pemangsa dan kejutan elektrik mengaktifkan sebahagian neuron yang sama dalam laluan ini. Pendedahan kepada bau itu juga meningkatkan isyarat CRF, iaitu bahan kimia yang berkait dengan respons stres, di parabrachial nucleus.
Apabila penyelidik mengganggu bahagian tertentu laluan tersebut atau menyekat tindakan CRF di kawasan berkenaan, tikus menunjukkan kurang tingkah laku seperti cemas selepas terdedah kepada bau itu. Ini memberi petunjuk bahawa laluan tersebut memainkan peranan dalam respons yang mereka perhatikan.
Respons anxiety melibatkan beberapa kawasan berkomunikasi dalam otak untuk menghasilkan tindak balas tu.

Apa kaitannya dengan manusia?
Penyelidik turut melihat imbasan otak manusia. Dalam kalangan individu yang mempunyai simptom anxiety, kawasan otak yang mungkin sepadan dengan laluan tadi menunjukkan hubungan aktiviti yang lebih kuat. Hubungan itu juga berkait dengan tahap keterukan simptom.
Bagi saya kajian ini membantu kita melihat respons anxiety dengan lebih terperinci iaitu ada isyarat ancaman masuk, beberapa kawasan otak berkomunikasi, dan bahan kimia seperti CRF mula mempengaruhi kekuatan respons itu.
Rujukan
An, Z.-Y., Liu, M.-Z., Yuan, J.-Y., Song, M.-Y., Yang, X.-M., He, Y., & Mu, D. (2026). A Crh-defined insular cortex–brainstem–thalamic circuit regulates anxiety-related behavioral states. Molecular Psychiatry.






