
Bayangkan dalam satu mesyuarat, ada seorang pekerja yang tersalah bentangkan laporan. Kemudian bos dia terus kritik depan semua orang. Siap perli lagi.
Ada orang yang tengok situasi tu terus rasa tak selesa. Walaupun bukan dia yang kena marah, dia boleh bayangkan betapa malunya pekerja tadi.
Tapi ada juga orang yang tengok dengan reaksi berbeza. Mungkin dia tak begitu terganggu, lebih fokus kepada kesalahan pekerja tadi atau cara bos memberikan kritikan. Mungkin ada yang gelakkan pula. (Tapi kalau member rapat tu kita faham lah)
Kenapa reaksi kita boleh berbeza?
Satu kajian neurosains yang diterbitkan dalam jurnal Cerebral Cortex mendapati individu yang mempunyai sifat grandiose narcissism yang tinggi menunjukkan corak aktiviti otak yang kurang selaras antara satu sama lain ketika menyaksikan orang lain menerima kritikan yang memalukan.
Penemuan ini membuka satu persoalan adakah individu yang mempunyai sifat narsistik sebenarnya kurang mampu memahami perasaan orang lain, ataupun mereka memproses situasi sosial dengan cara yang berbeza?
Bila orang lain dimalukan, otak kita pun bekerja
Dalam psikologi, kita ada satu konsep yang dipanggil empati.
Secara mudah, empati ialah keupayaan kita untuk memahami atau berkongsi pengalaman emosi orang lain.
Tapi empati ni sebenarnya ada beberapa komponen. Dua yang penting ialah affective empathy dan cognitive empathy.
Affective empathy ialah kemampuan kita untuk turut merasai emosi orang lain. Contohnya, bila tengok kawan menangis kerana kehilangan ahli keluarga, kita pun boleh rasa sebak.
Cognitive empathy pula ialah kemampuan kita memahami perspektif orang lain. Kita mungkin tak merasai kesedihan yang sama, tetapi kita boleh faham kenapa dia sedih.
Kedua-dua proses ni melibatkan rangkaian otak yang kompleks.
Antaranya ialah dorsolateral prefrontal cortex (dlPFC), yang terlibat dalam kawalan kognitif dan pengawalan emosi, serta posterior cingulate cortex (PCC), yang turut terlibat dalam pemprosesan berkaitan diri, memori dan memahami situasi sosial.
Bila kita tengok seseorang dimalukan, otak kita akan memerhatikan apa yang berlaku dan cuba memahami situasi tersebut berdasarkan pengalaman, perhatian dan perspektif.
Kita tak perlu mengalami sendiri sesuatu perkara untuk memahami betapa sakitnya pengalaman orang lain. Tengok atau dengar cerita pun boleh rasa sebenarnya.
Persoalannya, adakah semua orang memproses pengalaman sosial seperti ini dengan cara yang sama?
Kajian otak menemui perbezaan pada individu tinggi sifat narsistik
Untuk menjawab persoalan ini, Matias Piispanen bersama pasukan penyelidik dari Aalto University dan University of Helsinki menjalankan satu kajian menggunakan teknologi functional magnetic resonance imaging (fMRI).
Pada peringkat awal, mereka menyaring 935 orang dewasa menggunakan soal selidik yang mengukur sifat grandiose narcissism.
Grandiose narcissism ni merujuk kepada kecenderungan seseorang untuk merasakan dirinya lebih hebat, mahukan pengiktirafan, mementingkan status dan mengharapkan layanan istimewa.
Daripada proses pemilihan dan imbasan otak, seramai 58 peserta akhirnya dimasukkan dalam analisis fMRI.
Mereka dibahagikan kepada dua kumpulan. Seramai 28 orang mempunyai skor sifat narsistik yang tinggi, manakala 30 orang mempunyai skor yang rendah.
Semasa menjalani imbasan otak, peserta menonton rakaman seseorang berkongsi kisah peribadinya.
Kemudian, individu tersebut menerima maklum balas daripada seorang penilai.
Ada maklum balas yang positif dan menyokong. Ada pula yang berbentuk kritikan negatif sehingga mencabar imej diri individu tersebut.
Peserta hanya diminta menonton. Mereka tidak diarahkan untuk berempati.
Penyelidik kemudian menggunakan satu teknik yang dipanggil intersubject correlation (ISC).
Teknik ni digunakan untuk mengukur sejauh mana perubahan aktiviti otak peserta berlaku pada masa yang sama ketika menonton situasi yang serupa.
Ketika menyaksikan seseorang menerima kritikan negatif, kumpulan yang mempunyai sifat narsistik tinggi menunjukkan tahap keselarasan aktiviti otak yang lebih rendah berbanding kumpulan narsistik rendah.
Perbezaan ini ditemui pada beberapa kawasan dlPFC dan PCC (Saya sebut dekat atas tadi tu). Namun selepas pembetulan statistik untuk pelbagai perbandingan, hanya dua subkawasan menunjukkan perbezaan yang signifikan.
Sebaliknya, ketika peserta menyaksikan maklum balas positif, penyelidik tidak menemui perbezaan keselarasan aktiviti otak yang signifikan antara kedua-dua kumpulan.
Bila orang lain menerima kritikan yang memalukan, individu tinggi sifat narsistik menunjukkan corak respons otak yang lebih berbeza-beza sesama mereka.
Penyelidik tidak menemui perbezaan signifikan dalam kekuatan aktiviti keseluruhan kawasan otak yang diuji ketika kritikan paling keras disampaikan.
Maknanya, penemuan utama bukanlah otak individu tinggi sifat narsistik kurang aktif.
Sebaliknya, masa dan corak perubahan aktiviti otak mereka kurang seiring antara satu sama lain.
Dalam soal selidik pula, kumpulan narsistik tinggi turut melaporkan tahap empati yang lebih rendah, termasuk dari segi memahami perspektif orang lain dan keprihatinan terhadap perasaan orang lain.

Adakah orang narsistik memang tak ada empati?
Kajian ini tidak membuktikan individu tinggi sifat narsistik langsung tidak mempunyai empati.
Apa yang ditemui ialah perbezaan dalam keselarasan respons otak ketika memerhatikan seseorang menerima ancaman terhadap imej sosialnya.
Keselarasan aktiviti otak bukan ukuran langsung kepada empati.
Contohnya, bayangkan dua orang sedang menyaksikan rakan sekerja dimarahi bos.
Orang pertama mungkin terfikir, “Kasihannya dia. Mesti malu kena marah depan semua orang.”
Orang kedua pula mungkin terfikir, “Tapi memang dia yang buat silap. Bos tu ada sebab untuk marah.”
Kedua-duanya menyaksikan kejadian yang sama, tetapi perhatian dan tafsiran mereka berbeza.
Kajian ini mengukur sifat narsistik dalam personaliti, bukannya membuat diagnosis Narcissistic Personality Disorder (NPD).
Sifat narsistik wujud dalam satu spektrum. Setiap orang boleh mempunyai ciri tertentu pada tahap yang berbeza.
Tambahan pula, kajian ini khusus mengenai grandiose narcissism, bukan vulnerable narcissism yang lebih berkait dengan rasa tidak selamat, malu dan sensitiviti terhadap penilaian sosial.
Sebab tu kita jangan mudah melabel seseorang sebagai narsistik hanya kerana dia tidak menunjukkan reaksi emosi seperti yang kita harapkan.
Dalam keluarga, tempat kerja ataupun hubungan persahabatan, kita mungkin berdepan situasi apabila seseorang sedang melalui pengalaman yang memalukan.
Kadang-kadang kita terlalu cepat menilai kesalahannya sampai terlupa untuk memahami apa yang sedang dia lalui.
Walaupun kita tak bersetuju dengan tindakannya, kita masih boleh cuba memahami perasaannya.
Kalau pekerja melakukan kesilapan, kita boleh menegur tanpa memalukan dia. Kalau anak gagal dalam peperiksaan, kita boleh membincangkan kesalahannya tanpa menjatuhkan harga dirinya.
Dalam hubungan sesama manusia, kita perlu belajar memahami apa yang orang lain sedang rasa.
Rujukan kajian
Piispanen, M., et al. (2026). Reduced social brain coupling to others’ face threats in narcissism. Cerebral Cortex.






