Keruntuhan mental bermula apabila 5 dimensi psikologi ini mula gagal

Apabila tekanan, motivasi, rehat, keserasian dengan persekitaran dan keupayaan membayangkan masa depan mula gagal serentak, risiko gangguan emosi meningkat dengan ketara.

Selalunya bila ada sesuatu besar yang berlaku, trauma, kematian, kemalangan, insiden yang mengejutkan, gangguan emosi dilihat mudah berlaku.

Cuma sebenarnya kebanyakan orang tidak runtuh hanya kerana satu masalah yang muncul.

Ada orang okay saja walaupun dugaan besar berlaku dalam hidup dia.

Tapi mereka mula runtuh apabila beberapa sistem dalam diri mula gagal berfungsi pada masa yang sama.

Kajian terbaru yang diterbitkan dalam Humanities and Social Sciences Communications memperkenalkan satu model psikologi baharu yang cuba mengukur sejauh mana seseorang berada hampir kepada “breakdown” sebelum krisis sebenar berlaku.

Pengkaji mendapati hanya lima faktor sudah cukup untuk meramalkan sebahagian besar risiko tersebut.

“Gangguan emosi jarang berlaku secara tiba-tiba. Ia biasanya bermula apabila beberapa sistem perlindungan psikologi gagal berfungsi bersama.“

Tekanan tidak semestinya musuh

Ramai orang mahu hidup tanpa tekanan.

Sebenarnya, otak tidak memerlukan kehidupan yang bebas tekanan. Otak memerlukan tekanan yang sesuai. Healthy level of stress and anxiety bagus untuk tubuh badan anda.

Tekanan yang terlalu rendah membuatkan anda hilang motivasi.

Tekanan yang terlalu tinggi pula mengaktifkan sistem stres sehingga badan sentiasa berada dalam mod berjaga-jaga.

Yang penting ialah tekanan itu masih mampu ditukar menjadi tenaga untuk bertindak, bukannya menjadi beban yang melumpuhkan.

Selain itu, psikologi pemikiran di mana anda rasa “sedang berjaya” juga memainkan peranan.

Jika anda bekerja terlalu lama tanpa merasakan dirinya sedang bergerak ke hadapan, motivasi perlahan-lahan mula merosot.

Otak memerlukan bukti bahawa setiap usaha masih mempunyai makna.

Otak perlukan ruang untuk bernafas

Ramai orang sibuk setiap hari. Tetapi sibuk tidak semestinya produktif. Kadang kita ni sibuk tapi tak tahu buat apa. Atau pun boleh jadi memang buat banyak benda, cuma lost count.

Kajian ini menunjukkan otak memerlukan sela masa antara satu cabaran dengan cabaran yang lain.

Tempoh berehat, berfikir dan memulihkan tenaga membolehkan otak menyusun semula pengalaman menjadi sesuatu yang bermakna.

Jika hidup sentiasa dipenuhi tekanan tanpa ruang untuk pulih, semuanya mula terasa bercelaru.

Pada masa yang sama, pengkaji turut melihat satu lagi faktor penting.

Adakah nilai hidup seseorang selari dengan persekitarannya? Apa yang anda buat selari dengan identiti anda?

Bayangkan anda seorang yang menghargai kejujuran tetapi bekerja dalam organisasi yang penuh konflik sosial, ketidakjujuran.

Atau anda sukakan ketenangan tetapi hidup dalam suasana yang sentiasa penuh ketegangan.

Semakin jauh jurang antara indentiti diri dan persekitaran, semakin besar tenaga mental yang diperlukan hanya untuk bertahan.

“Bila persekitaran terlalu bertentangan dengan siapa diri kita sebenarnya, mudah untuk kita jadi lemah”

Bila otak tidak lagi mampu membayangkan hari esok

Faktor terakhir ini pengkaji menamakannya sebagai narrative simulation.

Ringkasnya, keupayaan otak membayangkan masa depan yang realistik dan membina langkah-langkah untuk mencapainya.

Apabila anda masih mampu melihat harapan di hadapan, sinar di hujung jalan, otak anda akan terus mempunyai arah tujuan.

Tetapi apabila masa depan mula kelihatan kosong, kabur atau mustahil dicapai, sistem motivasi semakin sukar berfungsi.

Dalam kajian melibatkan 250 peserta, gabungan lima faktor ini tekanan, motivasi, rehat, persekitaran dan harapan, mampu menerangkan kira-kira 79% variasi risiko seseorang menghampiri titik keruntuhan psikologi.

Ini menunjukkan masalah emosi menyerupai sebuah bangunan.

Selagi tiang-tiang utama masih kukuh, bangunan itu mampu bertahan walaupun dipukul ribut.

Tetapi apabila beberapa tiang mula retak serentak, keruntuhan hanya menunggu masa.

Kesihatan mental tak bergantung kepada satu faktor sahaja.

Ia bergantung kepada keseimbangan beberapa sistem yang saling menyokong antara satu sama lain.

“Satu masalah biasanya tak cukup menjatuhkan anda. Tapi bila tekanan, motivasi, rehat, persekitaran dan harapan semuanya mula gagal berfungsi pada masa yang sama, anda akan rasa putus asa.”

Similar Posts