
Hari ni berapa kali anda minta maaf? Kalau silap sendiri itu tidak ada masalah. Yang jenis bila jumpa orang automatik cakap:
“Maaf ganggu.”
“Maaf tanya.”
“Sorry lambat balas whatsapp.”
“Maaf kalau menyusahkan.”
Yang peliknya, kadang-kadang memang langsung bukan salah sendiri.
Jika anda selalu melakukannya, mungkin isu sebenar ialah otak anda sedang cuba mengelakkan konflik.
“Sesetengah orang minta maaf sebab sistem saraf mereka anggap ketenangan jiwa lebih penting daripada kejujuran.”
Ahli psikologi menggunakan istilah fawn response untuk menerangkan keadaan ini. Ia merupakan salah satu strategi pertahanan diri apabila anda merasakan bahawa menjadi betul-betul baik, mudah mengalah atau sangat menyenangkan orang lain adalah cara paling selamat untuk hidup.
Bagi sesetengah individu, corak ini bermula sejak kecil.
Mereka belajar bahawa menunjukkan kemarahan, ketidaksetujuan atau mengutamakan keperluan diri sendiri boleh mengundang kritikan, penolakan atau hukuman. Akhirnya mereka membesar dengan satu tabiat automatik:
Minta maaf dahulu. Fikir kemudian.
Meminta maaf boleh menjadi ketagihan sosial
Kajian mendapati individu yang kerap meminta maaf sering dilihat sebagai lebih baik, lebih mesra dan lebih bermoral berbanding orang yang jarang meminta maaf.
Secara tidak langsung, otak menerima ini sebagai ganjaran sosial.
Orang suka kita. Orang puji kita. Orang kata kita rendah diri. Lama-kelamaan, tabiat itu menjadi semakin kuat. Sikit-sikit sorry, sikit-sikit sorry.
Sebab itulah ada orang sukar berhenti meminta maaf walaupun mereka tahu mereka tidak melakukan kesalahan.
Kajian lain pula mendapati wanita cenderung meminta maaf lebih kerap berbanding lelaki. Bukan kerana mereka lebih bersalah (Huhu) , tetapi kerana mereka lebih mudah menganggap sesuatu situasi yang tegang memerlukan permohonan maaf.
Dalam erti kata lain, perbezaannya bukan pada kesalahan.
Tetapi pada persepsi tentang kesalahan.
“Boleh jadi anda tak minta maaf sebab buat sesuatu yang salah. Anda minta maaf sebab takut orang lain anggap anda salah.”
Harga yang terpaksa dibayar
Masalahnya, tabiat ini bukannya tak ada kesan kepada anda.
Satu kajian melibatkan lebih 2,000 pelajar universiti mendapati kecenderungan untuk terlalu menyenangkan orang lain mempunyai kaitan dengan tahap kesejahteraan mental yang lebih rendah.
Ia juga berkait dengan:
Kebimbangan yang lebih tinggi
Keletihan emosi
Neurotisisme
Kesukaran menetapkan sempadan peribadi
Apabila anda terlalu sibuk menjaga emosi orang lain, anda mula mengabaikan emosi sendiri.
Sedikit demi sedikit, identiti sebenar anda hilang.
Anda tahu apa yang orang lain mahu tetapi anda sudah tidak pasti apa yang anda sendiri mahu.
Dalam model psikologi Internal Family Systems (IFS), bahagian diri yang pernah dimarahi, ditolak atau dipersalahkan ketika kecil akan “diasingkan”. Bahagian itu seolah-olah bersembunyi di belakang tabir.
Kemudian muncul satu lagi bahagian diri yang bertugas menjaga keselamatan.
Bahagian inilah yang sentiasa berkata:
“Jangan lawan.”
“Jangan kecewakan orang.”
“Jangan buat masalah.”
“Lebih baik minta maaf sahaja.”
Belajar berhenti meminta maaf untuk setiap perkara
Sudah tentu meminta maaf apabila benar-benar melakukan kesalahan adalah perkara yang baik.
Tetapi meminta maaf kerana fikir kepentingan diri, mempunyai pendapat atau kerana menetapkan sempadan bukanlah tanda kematangan emosi.
Ia mungkin petanda bahawa anda terlalu lama hidup dalam mod bertahan.
Contoh :
Maaf kalau penulisan saya tak cukup menarik untuk anda (X)
Terima kasih sudi singgah dan baca penulisan saya (/)






