
Saya rasa anda pun tahu yang ramai remaja hari ini mula meluahkan masalah emosi mereka dekat AI.
Dan kita tahu sangat kenapa.
AI ni dia sentiasa ada. Tak tidur. Tak sibuk. Tak menghakimi. Berbeza dengan cuba meluahkan atau bertanya dengan orang lain yang ada masalah sendiri untuk difikirkan.
Bila seseorang berasa sedih pada jam 2 pagi, AI masih boleh memberi respons dalam beberapa saat.
Jika soalan itu berkaitan fakta atau maklumat, ada masanya AI boleh memberikan jawapan yang lebih tepat berbanding orang biasa.
Sebab itu semakin ramai remaja mula menjadikan AI sebagai tempat untuk bertanya tentang kehidupan, tekanan, hubungan dan emosi.
Tetapi ada satu perkara yang kita perlu faham.
AI tidak menjalani kehidupan sama seperti kita.
Tidak semua masalah hidup boleh diselesaikan dengan jawapan bersandarkan faktar yang pelbagai. Ada masalah yang perlu dilalui sendiri.
AI tahu banyak perkara, tetapi kehidupan kita terlalu kompleks
AI boleh memberi cadangan berdasarkan jutaan maklumat yang dipelajarinya.
cuma ia tidak dapat memahami keseluruhan konteks pengalaman hidup, emosi, nilai dan keadaan yang memberi kesan kepada kita.
Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal JAMA Pediatrics pada tahun 2026 mendapati hampir satu daripada lima remaja dan dewasa muda menggunakan AI chatbot untuk mendapatkan sokongan berkaitan kesihatan mental dan emosi.
Menurut kajian tersebut ramai yang merasakan AI membantu mereka.
Namun para penyelidik memberi amaran bahawa sangkaan “AI sangat membantu” mungkin berlaku kerana chatbot cenderung untuk terlalu bersetuju dan mengesahkan pandangan pengguna, bukan semestinya kerana nasihat yang diberikan itu paling tepat.
Dalam psikologi, perkara ini mempunyai kaitan dengan confirmation bias.
Otak manusia memang suka mendengar perkara yang menyokong apa yang sudah dipercayainya.
Sebab itu seseorang boleh berasa lebih baik selepas bercakap dengan AI, walaupun masalah sebenar masih belum diselesaikan.
“Nak senang cakap, anda ada masalah, dan anda ada penyelesaian yang anda suka, AI dah tentu akan sokong ke arah kaedah penyelesaian yang anda suka”
Kematangan emosi datang daripada pengalaman, bukan jawapan
Satu kajian terkenal oleh psikolog perkembangan Erik Erikson menunjukkan bahawa pembentukan identiti dan kematangan remaja berlaku melalui pengalaman hidup, interaksi sosial dan proses memahami diri sendiri.
Anda belajar tentang kepercayaan melalui hubungan. Keberanian melalui cabaran. Kesedihan melalui kehilangan.
Anda hanya dapat belajar tentang kehidupan dengan tepat dan spesifik kepada identiti diri anda sendiri melalui pengalaman sebenar.
Tiada chatbot yang boleh menggantikan proses tersebut. Malah orang lain sendiri tak dapat memberikan jawapan yang bersesuaian dengan anda.
Anda perlu keluar dan melihat dunia dengan mata sendiri.
Perlu berbual dengan manusia sebenar. Belajar membaca bahasa badan, nada suara dan ekspresi wajah.
Anda kena mengalami kegagalan, kekecewaan dan kejayaan secara langsung.
Kajian dalam bidang neurosains sosial juga menunjukkan bahawa hubungan manusia secara bersemuka memainkan peranan penting dalam perkembangan empati, kemahiran sosial dan kesejahteraan psikologi.
Ini adalah kemahiran yang tidak boleh dipelajari sepenuhnya melalui skrin.
Apapun AI boleh menjadi alat yang sangat berguna. Ia boleh membantu kita berfikir, belajar, mendapatkan perspektif.
Tetapi jangan sampai AI mengambil alih proses menjadi manusia.
“Jangan sampai satu tahap anda tak bersosial sebab anggap lagi mudah berbual dengan AI saja”
Sebahagian daripada perkara paling penting dalam hidup tidak boleh didapati melalui arahan pada skrin.
Ia perlu ditemui melalui kehidupan yang benar-benar anda jalani.






