
Kalau ubat antidepresan boleh bantu gejala kemurungan, kenapa ada sesetengah individu yang berasa lebih cemas, lebih gelisah atau lebih tidak selesa pada minggu-minggu awal pengambilan ubat?
Ubat tu diketahui umum untuk tingkatkan paras serotonin. Neurotransmitter dalam otak anda yang berkait dengan regulasi emosi yang sihat.
Jadi kalau ubat tu dah naikkan serotonin bukankah serotonin sepatutnya membuat individu rasa lebih baik?
Rupa-rupanya jawapannya tidak sedirect itu.
Kajian terbaru dari Sweden menemui sesuatu yang sangat menarik tentang neuron serotonin dalam otak anda ni.
“Meningkatkan serotonin mungkin hanyalah sebahagian kecil daripada cerita sebenar.”
Neuron serotonin tidak semuanya sama
Selama ini ramai membayangkan neuron serotonin macam satu brain chemical yang seragam.
Hakikatnya tidak.
Penyelidik mendapati terdapat beberapa subkumpulan neuron serotonin yang bertindak balas secara berbeza terhadap ubat antidepresan.

Apabila rawatan dimulakan, sebahagian neuron serotonin meningkatkan penghasilan satu molekul yang dipanggil prodynorphin.
Molekul ini sering dikaitkan dengan tekanan emosi, ketidakselesaan dan simptom kemurungan.
Ini mungkin membantu menerangkan kenapa sesetengah individu mengalami kesan seperti
Gelisah, cemas, sukar duduk diam, emosi terasa lebih sensitif pada peringkat awal rawatan.
Tetapi itu awal-awal saja.
Selepas beberapa minggu, kumpulan neuron yang lain mula menunjukkan perubahan yang berbeza.
Neuron-neuron ini meningkatkan aktiviti hormon yang dikenali sebagai TRH, yang dikaitkan dengan kesan antidepresan dan penambahbaikan mood.
Dengan kata lain, ada kemungkinan otak sedang melalui satu proses penyesuaian (awal-awal rasa teruk) sebelum manfaat sebenar rawatan mula muncul.
Otak sedang membina laluan baharu
Daripada perspektif neurosains, kajian ini memberi gambaran bahawa antidepresan mungkin melakukan lebih daripada sekadar meningkatkan serotonin.
Ia mungkin sedang membantu otak menyusun semula rangkaian saraf yang terlibat dengan emosi, motivasi dan tekanan.
Bayangkan seperti membaiki jalan raya yang rosak.
Pada awal kerja pembaikan, jalan mungkin menjadi lebih sesak dan perjalanan menjadi lebih perlahan.
Tetapi selepas kerja siap, perjalanan menjadi lebih lancar berbanding sebelumnya.
Otak juga mungkin melalui proses yang hampir sama.
“Biasanya perubahan positif memang memerlukan fasa penyesuaian yang tak selesa terlebih dulu.”
Inilah sebabnya doktor sering memberitahu pesakit bahawa kesan penuh antidepresan biasanya mengambil masa beberapa minggu untuk muncul.
Sudah tentu setiap individu berbeza. Ada yang bertindak balas dengan cepat. Ada yang memerlukan masa yang lebih panjang.
Ada juga yang perlu berbincang dengan doktor untuk mencari ubat yang paling sesuai.
Apapun kajian ini memberi satu mesej yang penting. Kemurungan bukan sekadar masalah serotonin rendah. Ia melibatkan rangkaian otak yang sangat kompleks.
Dan proses pemulihan juga mungkin melibatkan perubahan yang lebih besar daripada apa yang kita sangka sebelum ini.
Mental upgrade itu wajib dilakukan
Apabila kita bercakap tentang kesihatan mental, kita sering mencari penyelesaian yang cepat.
Tetapi otak bukan mesin yang boleh diubah dengan satu suis. Bukannya ambil ubat tu terus sembuh. Ubat itu untuk meredakan simptom.
Anda yang kena upgrade mental, lakukan perubahan kehidupan secara total dari sudut rutin, pemakanan, interaksi sosial, kualiti tidur, malah elemen kerohanian pun boleh jadi punca.
Sebab itu pemulihan memerlukan masa dan dalam masa sama otak sedang melakukan kerja yang anda tidak nampak.
Menurut kajian individu yang berjaya pulih mempunyai neural connection yang bertambah, yakni menunjukkan corak pemikiran, indentiti diri yang berubah jadi lebih kuat.






