
Kalau seseorang mempunyai sejarah keluarga yang mengalami kemurungan, adakah dia juga berisiko mengalami perkara yang sama?
Jawapannya, ya. Faktor genetik memang boleh meningkatkan kecenderungan seseorang untuk mengalami kemurungan. Tapi itu tak bermakna dia pasti akan mengalaminya.
Hanya faktor risiko saja, bukan penentu.
Malah, satu kajian terbaru yang diterbitkan dalam jurnal Nature Mental Health pada tahun 2026 menunjukkan aktiviti fizikal mungkin membantu melemahkan hubungan antara risiko genetik dengan tahap keterukan simptom kemurungan.
Kajian yang dikendalikan penyelidik dari University of Texas at San Antonio ini menggunakan data daripada 23,517 individu dewasa di Amerika Syarikat.
Penyelidik menggunakan maklumat genetik, rekod kesihatan dan data aktiviti fizikal yang direkodkan melalui peranti Fitbit dalam tempoh yang panjang.
Genetik meningkatkan risiko, tapi ia tak menentukan segalanya
Major Depressive Disorder (MDD) merupakan salah satu gangguan kemurungan yang lazim berlaku di seluruh dunia.
Individu yang mengalaminya mungkin berdepan dengan perasaan murung yang berpanjangan, kehilangan minat terhadap aktiviti harian, perubahan corak tidur, selera makan dan motivasi.
Ada banyak faktor yang mempengaruhi risiko seseorang mengalami kemurungan.
Antaranya faktor genetik, pengalaman hidup yang mencabar, trauma zaman kanak-kanak dan tabiat kehidupan seharian.
Dalam kajian ini, penyelidik menggunakan satu kaedah yang dikenali sebagai polygenic risk score.
Secara mudah, ia merupakan skor yang menganggarkan kecenderungan genetik seseorang terhadap sesuatu penyakit berdasarkan gabungan pelbagai variasi genetik.
Semakin tinggi skor tersebut, semakin tinggi kecenderungan genetik seseorang terhadap kemurungan.
Hasil kajian mendapati individu yang mempunyai skor risiko genetik lebih tinggi juga mempunyai kebarangkalian lebih tinggi untuk menerima diagnosis kemurungan.
Pada masa yang sama, individu yang lebih aktif secara fizikal didapati mempunyai kebarangkalian lebih rendah untuk menerima diagnosis tersebut.
Namun, penyelidik tidak menemui bukti interaksi yang signifikan antara aktiviti fizikal dengan risiko genetik apabila melihat diagnosis kemurungan.
Penemuan yang lebih menarik muncul apabila mereka meneliti tahap keterukan simptom dalam kalangan individu yang mengalami kemurungan.
“Genetik mungkin mempengaruhi kecenderungan seseorang mengalami kemurungan. Tapi ia tak semestinya menentukan sejauh mana teruknya simptom yang akan dialami.”
Lebih aktif secara fizikal, lebih rendah tahap keterukan simptom
Kebanyakan kajian berkaitan aktiviti fizikal menggunakan soal selidik atau data yang dikumpulkan dalam tempoh singkat.
Sebagai contoh, peserta diminta mengingati berapa kerap mereka bersenam sepanjang minggu sebelumnya.
Masalahnya, maklumat sebegini mungkin kurang menggambarkan tahap aktiviti fizikal sebenar seseorang dalam kehidupan seharian.
Sebab itu kajian ini menggunakan data daripada program All of Us Research Program yang dijalankan oleh National Institutes of Health (NIH) di Amerika Syarikat.
Penyelidik menganalisis rekod Fitbit yang merangkumi jumlah langkah harian dan tempoh aktiviti fizikal berintensiti sederhana hingga tinggi.
Secara purata, setiap peserta menyumbang kira-kira 1.6 tahun data daripada peranti tersebut.
Ini membolehkan penyelidik memahami corak aktiviti fizikal peserta dalam jangka masa yang lebih panjang.
Hasil analisis mendapati individu yang lebih aktif secara fizikal cenderung mengalami simptom kemurungan yang kurang teruk.
Malah, hubungan ini kelihatan lebih kuat dalam kalangan individu yang mempunyai risiko genetik kemurungan lebih tinggi.
Penemuan tersebut konsisten apabila penyelidik menggunakan ukuran aktiviti fizikal yang berbeza, termasuk jumlah langkah harian dan aktiviti berintensiti sederhana hingga tinggi.
Ini memberikan gambaran bahawa aktiviti fizikal mungkin memainkan peranan penting dalam hubungan antara kerentanan genetik dengan keterukan simptom kemurungan.
“Kita mungkin tak boleh mengubah genetik yang diwarisi. Tapi gaya hidup merupakan antara faktor yang masih boleh di adjust untuk jaga kesihatan mental.”

Masa depan rawatan kesihatan mental yang lebih bersifat spesifik
Satu lagi perkara menarik daripada kajian ini ialah potensinya dalam bidang precision medicine.
Apa maksudnya?
Secara mudah, ia merupakan pendekatan penjagaan kesihatan yang mengambil kira ciri-ciri individu untuk menentukan strategi pencegahan dan rawatan yang lebih sesuai.
Setiap orang mempunyai latar belakang genetik, tahap kesihatan, persekitaran dan corak kehidupan yang berbeza.
Jadi, pendekatan yang berkesan untuk seseorang mungkin memberikan kesan yang berbeza kepada individu lain.
Menurut Qiliang He, penulis pertama kajian ini, memahami interaksi antara risiko genetik dengan aktiviti fizikal berpotensi membantu penyelidik membangunkan cadangan senaman yang lebih bersifat peribadi pada masa hadapan.
Sebagai contoh, penyelidikan lanjut mungkin dapat menentukan sama ada individu yang mempunyai risiko genetik kemurungan lebih tinggi memerlukan jumlah atau intensiti aktiviti fizikal tertentu untuk memperoleh manfaat yang optimum.
Namun, perkara ini masih memerlukan kajian lanjut.
Penyelidik juga bercadang meneroka hubungan yang sama bagi gangguan keresahan atau anxiety disorders.
Ini kerana kemurungan dan keresahan mempunyai beberapa pengaruh genetik yang bertindih, walaupun kedua-duanya mempunyai ciri yang berbeza.
Selain aktiviti fizikal, faktor gaya hidup lain seperti tidur juga akan diberikan perhatian dalam penyelidikan seterusnya.
Pada saya, kajian ini memberikan satu mesej yang penting.
Kita mungkin dilahirkan dengan kecenderungan genetik tertentu. Tetapi kesihatan mental terbentuk melalui interaksi yang kompleks antara genetik, pengalaman hidup, persekitaran dan tingkah laku seharian.
Sebab itu menjaga kesihatan mental perlu melibatkan pelbagai aspek kehidupan.
Aktiviti fizikal merupakan salah satu daripadanya. Ia boleh menjadi pelengkap kepada rawatan profesional bagi individu yang mengalami kemurungan.
“Kita tak memilih genetik yang diwarisi. Tetapi kita masih mempunyai ruang untuk membina tabiat kehidupan yang lebih menyokong kesihatan mental.”
Rujukan Kajian:
He, Q., et al. (2026). Associations and interactions between genetic vulnerability and physical activity with MDD in the All of Us Research Program. Nature Mental Health.






