Cuaca panas mungkin kacau kesihatan mental anda tanpa disedari

Berjalan kaki membantu mengurangkan tekanan, meningkatkan emosi positif, menguatkan hubungan sosial dan melindungi kesihatan mental.

Saya pernah buat dulu satu konten video di tiktok. Saya cakap, “Lagi lama anda dalam rumah, lagi kuat anda rasa tak nak keluar rumah”

Pernah tak anda perasan, bila sudah beberapa hari terperap di dalam rumah, emosi mula berubah?

Rasa lesu. Cepat bosan. Mudah marah. Fikiran pula terasa berat walaupun kerja tak ada lah banyak sangat.

Ramai sangka ia sekadar kebosanan. Hakikatnya, kehilangan rutin keluar rumah dan berjalan kaki mungkin sedang mengubah keadaan otak dan emosi anda.

Masalahnya, apabila gelombang haba melanda dan suhu sekarang meningkat melebihi 32°C agak sukar untuk kita ada rutin keluar berjalan tanpa sebab yang penting (padahal nak jaga otak tu penting). Selepas beberapa hari terkurung di rumah, anda akan mula berasa murung, sunyi dan kurang bertenaga.

Berjalan kaki bukan sekadar senaman

Ramai melihat berjalan kaki hanya sebagai aktiviti membakar kalori. Atau lepas makan tu jalan sikit (antara dapur dan ruang tamu. haha) setakat nak galakkan proses penghadaman. Sebenarnya, berjalan ialah salah satu “ubat” paling murah untuk otak.

Kajian menunjukkan hanya sekitar 10 minit berjalan sudah cukup untuk meningkatkan mood dan mengurangkan tekanan. Jika dilakukan sekitar 30 minit sehari, lima kali seminggu, manfaatnya menjadi jauh lebih besar kepada kesihatan fizikal dan mental.

Itu yang saya cakap, bila kita beremosi, rasa mental tak okay, asyik fikir macam mana nak handle pressure di tempat kerja, padahal benda paling simple anda boleh buat adalah ada rutin berjalan yang tetap.

Semasa berjalan, anda bukan sekadar menggerakkan otot.

Anda boleh melihat kehijauan pokok (bantu reset stres hormon), mendengar bunyi alam, menerima cahaya matahari, bertemu manusia lain dan berinteraksi secara spontan.

Semua pengalaman kecil ini meningkatkan emosi positif, mengurangkan tekanan serta menguatkan rasa bahawa kita masih mempunyai tempat dalam komuniti.

Bila anda ada emosi positif, ia akan membantu otak menjadi lebih fleksibel, kreatif dan berdaya tahan menghadapi cabaran hidup.

Berjalan kaki ialah salah satu cara paling mudah untuk menghasilkan emosi positif itu.

“Kalau anda perasan sesekali destinasi perjalanan tu tak lah best sangat, tapi manusia yang kita temui sepanjang jalan tu yang buat kita rasa bermakna.”

Cuaca panas bukan sekadar tidak selesa

Apabila suhu semakin tinggi akibat perubahan iklim, semakin ramai memilih untuk kekal berada di dalam rumah.

Berjalan ketika cuaca terlalu panas meningkatkan risiko strok haba, dehidrasi, keletihan melampau serta komplikasi jantung dan paru-paru. Malah otak juga terkesan akibat suhu yang meningkat.

Namun terdapat satu kesan lain yang kurang dibincangkan.

Kesunyian.

Apabila anda berhenti keluar berjalan, anda juga kehilangan peluang untuk bertemu jiran, berbual dengan kenalan, melihat suasana sekeliling dan merasakan diri anda masih sebahagian daripada masyarakat.

Organisasi World Health Organization melaporkan sekitar satu daripada enam manusia di dunia mengalami kesunyian, dan keadaan ini dikaitkan dengan ratusan ribu kematian pramatang setiap tahun.

Golongan muda dilaporkan paling banyak mengalami kesunyian.

Namun warga emas lebih mudah terdedah kerana persaraan, kehilangan pasangan hidup, masalah kesihatan serta pergerakan yang semakin terhad.

Apabila keluar berjalan kaki, beriadah di taman juga hilang daripada rutin harian, risiko pengasingan sosial menjadi lebih tinggi.

Otak anda perlukan dunia di luar rumah

Berjalan di kawasan hijau memberi manfaat yang lebih besar berbanding berjalan di ruang tertutup.

Pokok, rumput, tasik dan alam semula jadi membantu menurunkan tekanan fisiologi, memperbaiki mood dan memberikan rasa tenang. Sebab itu konsep forest bathing atau menghayati alam semakin mendapat perhatian dalam bidang psikologi dan kesihatan.

Mungkin selepas ini, jangan pandang ringan rutin berjalan kaki. Ia tidak sekadar membakar kalori.

Ia mungkin sedang menjaga emosi, hubungan sosial dan kesihatan mental anda setiap hari.

Similar Posts