Mental anak tidak dibina dengan pencapaian akademik

Kajian menunjukkan tekanan untuk sentiasa berjaya boleh meningkatkan risiko anxiety dan kemurungan.

Kita mudah ingat anak yang mental kuat ni dekat sekolah mesti score. Eh saya dulu UPSR 5A, PMR 8A, SPM pun hampir straight A. Tapi sejujurnya mental saya zaman belajar tidaklah kuat. Cuma mujur tak breakdown yang teruk.

Ramai ibu bapa sanggup menghantar anak ke kelas tambahan, jurulatih sukan, tuisyen, pertandingan dan pelbagai aktiviti supaya mereka menjadi yang terbaik.

Niatnya baik tapi ada satu perkara yang semakin banyak kajian tunjukkan.

Iaitu semakin tinggi tekanan untuk sentiasa berjaya, semakin tinggi juga risiko anak mengalami keresahan, kemurungan dan penyalahgunaan bahan.

Ironinya, kumpulan remaja yang cemerlang akademik dan kokurikulum kini turut dianggap sebagai kumpulan berisiko tinggi dari sudut kesihatan mental.

Masalah bermula apabila anak mula percaya bahawa nilai dirinya bergantung kepada keputusan peperiksaan, pingat yang dimenangi atau pencapaian yang diperolehi.

“Anak yang percaya dirinya hanya bernilai apabila berjaya akan sentiasa hidup dalam ketakutan untuk mencuba. (Takut gagal)”

Bila harga diri bergantung pada keputusan

Setiap kali anak mendapat A, mereka rasa diri mereka cukup baik.

Tetapi bagaimana apabila keputusan merosot? Bila kalah pertandingan? Result dah keluar lepas itu gagal memasuki universiti yang diimpikan?

Jika identiti mereka dibina di atas pencapaian semata-mata, setiap kegagalan akan terasa seperti kehilangan diri sendiri.

Kajian oleh ahli psikologi Suniya Luthar mendapati pelajar di sekolah berprestasi tinggi menunjukkan kadar anxiety, kemurungan dan penyalahgunaan bahan yang lebih tinggi berbanding jangkaan.

Boleh jadi kerana ramai anak kita yang cemerlang ini merasakan kasih sayang, penghargaan dan penerimaan hanya datang apabila mereka terus berjaya.

Tambah pula dengan media sosial.

Setiap hari mereka melihat orang lain mendapat keputusan lebih baik, menang pertandingan atau hidup kelihatan lebih sempurna.

Otak manusia memang mempunyai kecenderungan melakukan social comparison tanpa sedar. Perbandingan digital memang laju.

Apabila perbandingan ini berlaku tanpa henti, sistem ancaman dalam otak menjadi lebih aktif. Anak mula hidup dalam keadaan sentiasa takut tidak cukup baik. Takut ketinggalan. Rasa risau kalau dia tidak berjaya, orang lain (disangka) semua berjaya.

Lama-kelamaan, pencapaian bukan lagi sesuatu yang menggembirakan.

Ia hanya menjadi syarat untuk berasa selamat.

“Tekanan terbesar untuk remaja kini ialah rasa tidak layak jika tidak berjaya dengan cemerlang dalam akademik khususnya.”

Apa yang sebenarnya membina mental yang kuat?

Faktor yang paling melindungi kesihatan mental ialah hubungan yang selamat, tenteram dan konsisten.

Anak yang mempunyai seseorang untuk berkongsi perasaan, rasa diterima di rumah, ada kawan di sekolah dan mempunyai komuniti yang menyokong menunjukkan risiko kemurungan yang jauh lebih rendah apabila dewasa.

Jadi apakah yang ibu bapa boleh lakukan?

Jangan puji keputusan sahaja.

Puji lebih pada usaha, keberanian mencuba dan sikap bertanggungjawab. Puji juga bagaimana mereka cuba semula selepas gagal sesuatu usaha.

Apabila anak pulang dari sekolah bawa keputusan peperiksaan, jangan terus tanya,

“Dapat nombor berapa?”

Cuba mulakan dengan,

“Hari ini macam mana perasaan kamu?”

Soalan kecil seperti ini sebenarnya memberi isyarat besar kepada otak anak. Bahawa mereka lebih penting daripada keputusan yang dibawa pulang.

Akhir sekali, jangan terlalu cepat menyelamatkan anak daripada setiap kegagalan.

Biarkan mereka belajar bahawa kecewa itu bukan pengakhiran. Ia hanya sebahagian daripada proses pembangunan diri

Kerana matlamat sebenar kita untuk membesarkan anak yang mampu bangun semula setiap kali kehidupan menjatuhkan mereka (yang memang akan berlaku).

“Mental kuat bermaksud anak tahu nilai dirinya tetap utuh, sokongan keluarga tetap padu walaupun mereka jatuh. Ini mendorong mereka terus mencuba dan sentiasa berusaha mencabar diri”

P/S: Pencapaian akademik memang penting, tapi kita sebagai orang dewasa tahu kemampuan sebenar anak-anak kita. Kemenangan terbesar bila keupayaan dan kelebihan mereka dapat diberi fokus selari dengan kehendak dan identiti diri mereka.

Similar Posts