
Kes tikam di sekolah berulang. Kes jatuh bangunan pun berulang. Saya tak sure orang perasan ke tak
yang kebanyakan individu berisiko gangguan mental ni tak nampak bermasalah pun.
Mereka bukan pelajar nakal, majoritinya baik, bagus di sekolah. Cuma dalam diam mereka mengalami gangguan pemikiran.
Tapi di sekolah guru kaunseling dah sibuk dengan pelajar bermasalah, atau pelajar yang “sudah kena” gangguan kesihatan mental. Di mana intervensi selayaknya pendapat saya bukan lagi di sekolah.
Apa yang kita terlepas pandang? Kita tak melihat individu bermasalah ini waktu mereka “masih okay”.
Saya masih ingat satu perbualan dengan seorang guru kaunseling di sebuah sekolah berasrama penuh.
Dia cerita yang dia kena handle seorang pelajar selalu datang lewat ke sekolah. Pelajar yang sudah pun bermasalah, melanggar disiplin dan mungkin sudah dalam krisis gangguan pemikiran.
Bagaimana pula dengan pelajar yang nampak “okay”, tetapi sebenarnya sedang menuju ke arah bermasalah itu?
Saya rasa di sini kita kena ubah cara kita melihat kesihatan mental di sekolah. Daripada hanya menjadi “pemadam api”, mungkin dah tiba masanya kita jadi “pengesan awal kebakaran.”
Saya di sekolah dulu pelajar berisiko tinggi. Ayah yang meninggal awal. Pendapatan keluarga rendah. BMI tak normal (keding sangat. Haha)
ini semua antara faktor risiko yang sebenarnya pihak sekolah boleh kenalpasti awal. Tapi saya tidak pernah pula dipanggil guru kaunseling sekolah. (Abang saya menghidap schizophrenia, gangguan mental kronik semasa tingkatan 5)
Kesihatan mental sepatutnya begitu.
Kita tidak perlu tunggu pelajar dah alami kemurungan, mula ponteng, atau mencederakan diri sebelum mula memberi perhatian.
Banyak faktor risiko sebenarnya boleh dikenal pasti lebih awal. Saya senaraikan antaranya di bawah ini.
1. Status keluarga – Keluarga lengkap atau ibu bapa bercerai/berpisah.
2. Pendapatan keluarga – B40, M40 atau T20.
3. Bilangan penghuni rumah – Rumah sesak atau kurang ruang peribadi.
4. Lokasi tempat tinggal – Bandar atau luar bandar (termasuk kualiti udara).
5. BMI – Berat badan kurang, normal atau berlebihan.
6. Umur mendapat telefon pintar pertama – Semakin awal, semakin tinggi risikonya.
7. Kekerapan aktiviti fizikal – Berapa hari bersenam setiap minggu. Ada hobi tak
8. Waktu tidur – Jam biasa mula tidur pada waktu malam.
9. Bilangan rakan rapat – Mempunyai rakan yang boleh dipercayai.
10. Tabiat pemakanan – Kekerapan makanan segera dan nutrisi tambahan.
11. Tekanan akademik – Tahap tekanan belajar dan peperiksaan.
12. Pengalaman dibuli – Buli fizikal, lisan atau siber.
Bagaimana kalau sekolah dapat kesan risiko lebih awal, sebelum pelajar benar-benar memerlukan bantuan? Kan lebih mudah.
Itu saya belum cerita lagi tentang perubahan pada rangkaian otak frontostriatal salience network boleh berlaku bertahun-tahun sebelum seseorang memenuhi kriteria Major Depressive Disorder (MDD).
Maksudnya, bila kita hanya membuat saringan selepas simptom sudah jelas kelihatan, kemungkinan perubahan pada otak sudah terjadi.
Dengan adanya AI, pembangunan sistem saringan awal untuk kenal pasti pelajar berisiko tinggi tidaklah mustahil.
Cuma nak bina konstruk penilaian yang sahih, boleh dipercayai dan berasaskan bukti tu mungkin mengambil masa.
Apapun pendekatan pemantauan awal ini jauh lebih ringan, proaktif dan bersifat pencegahan.
Berbanding sistem sedia ada yang banyak memberi tumpuan kepada “memadam api” selepas masalah dan kerosakan yang dah pun berlaku.






