Anda sebenarnya CEO kepada otak sendiri cuma tidak mengawal semuanya

Sebahagian besar proses dalam otak berlaku tanpa kita sedari. Mungkin tugas kita tak mengawal semuanya, tetapi menentukan arah.

Pernah tak anda rasa pelik dengan diri sendiri? Anda tahu sesuatu itu tak bagus, tetapi masih mahu buat.

Anda nak diet, tapi nampak burger terus berubah fikiran. Anda tahu tak patut marah, tapi emosi muncul dulu sebelum sempat anda fikir. Kadang-kadang anda sendiri tertanya-tanya,

“Kenapa aku fikir macam ni?”

“Kenapa aku rasa macam ni?”

“Kenapa susah sangat nak kawal otak sendiri?”

Sebab satu perkara yang kita mungkin jarang sedar ialah anda memang memiliki otak anda, tetapi anda tidak mempunyai akses kepada semua perkara yang sedang berlaku di dalamnya.

Bayangkan sebuah syarikat besar.

Ada bahagian kewangan, operasi, pemasaran, sumber manusia, penyelidikan, keselamatan dan macam-macam lagi.

CEO berada di atas. Anda lah CEO tu.

Tetapi CEO tidak tahu setiap e-mel yang dihantar, setiap perbualan pekerja, setiap transaksi dan setiap perkara kecil yang berlaku dalam organisasi itu.

CEO biasanya menerima apa?

Ringkasan. Laporan. Maklumat penting yang perlu diberi perhatian.

Dalam banyak aspek, pengalaman sedar kita terhadap otak mungkin lebih kurang begitu.

Apa yang sampai pada kesedaran kita mungkin hanyalah “executive summary”. Sebahagian besar kerja sebenar otak dah berlaku di belakang tabir.

Otak anda terus bekerja walaupun anda tidak sedar

Pada setiap saat, otak sedang melakukan jumlah kerja yang sangat besar.

Ia memproses bunyi. Membaca ekspresi muka. Mengawal degupan jantung dan pernafasan. Menggabungkan maklumat deria. Mengambil semula memori. Menganggarkan risiko. Membuat prediction tentang apa yang mungkin berlaku seterusnya. Menyediakan pergerakan tubuh.

Memberikan nilai kepada sesuatu perkara yang penting, bahaya, sedap, menarik atau patut dielakkan.

Kebanyakan proses ini tidak masuk pun ke dalam kesedaran anda.

Anda tidak duduk pagi-pagi dan berkata,

“Baik, sekarang aku nak regulate tekanan darah.”

“Sekarang aku nak gabungkan input visual daripada kedua-dua mata.”

“Sekarang aku nak aktifkan memori berkaitan wajah orang ini.”

Otak buat semua itu secara automatik.

Apa yang kita alami sebagai conscious experience hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan aktiviti sistem saraf.

Otak membina satu model tentang diri kita dan dunia di sekeliling kita tapi kita tidak melihat proses pembinaan model itu.

Kita hanya mengalami hasil akhirnya. Macam anda tengok sebuah aplikasi telefon. Anda nampak interface. Anda tekan butang. Tetapi anda tidak nampak ribuan baris coding yang berjalan di belakangnya.

Begitulah juga otak.

Anda menggunakan otak setiap hari, tapi anda tak dapat tengok “coding” yang sedang berjalan di belakang fikiran anda.

Sebab itu analogi CEO tu menarik.

CEO yang bagus tidak cuba tahu setiap perkara kecil dalam organisasi. Dia menentukan arah. Memberikan keutamaan. Memutuskan apa yang patut mendapat sumber dan perhatian.

Dalam kehidupan, salah satu sumber paling penting yang kita boleh arahkan ialah attention, perhatian anda.

Apa yang anda berikan perhatian berulang kali boleh mempengaruhi apa yang dipelajari oleh otak, apa yang menjadi kebiasaan dan perkara apa yang semakin mudah muncul dalam pemikiran.

Kenapa dalam diri kita selalu ada konflik?

Masalahnya, otak bukanlah satu sistem yang mempunyai satu agenda sahaja.

Ada banyak sistem yang beroperasi pada masa yang sama.

Ada bahagian mahu keselamatan. Sebahagian mengejar ganjaran. Ada mempertahankan tabiat. Tak kurang yang memikirkan penerimaan sosial. Sebahagian pula cuba merancang masa depan.

Sebab itu keputusan yang kelihatan sangat mudah pun boleh menghasilkan konflik dalaman.

Contohnya waktu makan tengah hari. Ada burger dan salad.

Satu bahagian dalam diri anda berkata,

“Burger sedap.”

Satu lagi berkata,

“Aku tengah diet.”

Satu lagi mungkin berkata,

“Aku stres hari ni. Makanlah.”

Dan satu lagi berkata,

“Makin tinggi kolestrol aku lepas ni.”

Semua suara itu datang daripada satu organisme yang sama iaitu anda.

Kita kadang-kadang menganggap kontradiksi ini sebagai kelemahan.

“Aku ni tak konsisten.”

“Aku sendiri tak faham diri aku.”

Tetapi ada kontradiksi tidak bermaksud anda tidak mengenali diri sendiri.

Kontradiksi mungkin sebahagian daripada pengalaman menjadi satu sistem biologi yang sangat kompleks.

Dalam sebuah organisasi pun perkara sama berlaku.

Bahagian kewangan mahu kurangkan perbelanjaan. Bahagian R&D mahu tambah bajet untuk projek lima tahun. Marketing mahu belanja lebih banyak sekarang untuk dapat pelanggan. Ketiga-tiganya mungkin mempunyai alasan yang munasabah.

Tugas kepimpinan tidak menghapuskan semua perbezaan tapi menentukan keutamaan.

Begitu juga dengan diri kita.

Matlamatnya kita menentukan suara mana yang patut diberikan lebih banyak perhatian.

Anda bukan pengawal mutlak otak tetapi anda masih boleh menentukan arah

Di sinilah analogi CEO tadi mempunyai had.

Sebenarnya tidak ada seorang “CEO kecil” yang duduk dalam kepala kita dan mengarahkan neuron-neuron lain.

Dalam neuroscience moden, pemikiran sedar, perhatian, matlamat dan nilai itu sendiri muncul daripada aktiviti rangkaian otak yang tersebar.

Tidak ada satu neuron khas yang menjadi “anda”.

Tetapi sistem yang kompleks ini boleh memerhatikan dirinya sendiri.

Ia boleh bertanya:

“Apa yang aku sedang buat?”

“Kenapa aku marah?”

“Adakah ini keputusan terbaik?”

“Apa yang aku mahu jadi lima tahun lagi?”

Keupayaan refleksi inilah yang memberikan kita ruang untuk mengubah arah. Kita mungkin tidak boleh memilih setiap fikiran yang muncul.

Anda tidak boleh jamin esok pagi hanya fikiran positif akan masuk dalam kepala. Anda juga tidak boleh memilih setiap emosi.

Kadang-kadang takut datang. Marah datang. Cemburu datang. Keinginan datang. Impuls datang.

Tetapi selepas sesuatu itu muncul, masih ada persoalan lain.

Apa yang anda mahu lakukan dengannya?

Di situlah perhatian, nilai, persekitaran dan tabiat menjadi sangat penting.

Anda boleh memilih apa yang mahu diberikan perhatian lebih lama, pilih siapa yang anda banyak bergaul, persekitaran yang menjadikan tabiat tertentu lebih mudah atau lebih sukar, boleh membina rutin, boleh kembali kepada prinsip yang anda percaya apabila emosi dan impuls menarik anda ke arah berbeza.

Jadi tugas kita tak perlu menjadi pengawal mutlak kepada otak.

Tugas kita lebih kepada seorang kapten kapal.

Kita tidak mengawal angin, ombak, setiap perubahan cuaca.

Namun kita masih boleh memegang stereng dan itulah definisi self-control yang lebih realistik.

Jadi tidak perlu tertekan untuk memastikan tiada fikiran negatif, tiada emosi buruk atau tidak pernah mempunyai impuls yang salah.

Sebaliknya perlu mempunyai kemampuan untuk berkata

“Aku tahu benda ini sedang berlaku dalam diri aku. Tetapi aku masih boleh menentukan apa yang aku mahu lakukan seterusnya.”

Kita mungkin tidak boleh micromanage otak.

Tetapi kita boleh steer the ship.

Dan mungkin itulah pekerjaan hakiki yang setiap seorang daripada kita sudah pun pegang sejak lahir.

Menjadi “CEO” kepada sebuah organisasi biologi yang sangat kompleks, sedangkan kita hanya dapat melihat sebahagian kecil daripada apa yang sedang berlaku di dalamnya.

Rujukan

Metzinger, T. (2008). Empirical perspectives from the self-model theory of subjectivity: A brief summary with examples. Progress in Brain Research, 168, 215–245. https://doi.org/10.1016/S0079-6123(07)68018-2

Similar Posts