Kenapa orang pandai pun boleh buat benda bodoh

Anda yang bijak dan berpendidikan tinggi tetap membuat keputusan yang merugikan diri sendiri kerana anda berhenti berfikir secara bebas.

Kita selalu menganggap kebodohan berpunca daripada kurang ilmu. Kalau individu yang berlakuan kurang pandai biasanya kita anggap pendidikan kurang tinggi.

Sebab itu apabila seseorang membuat keputusan yang jelas merugikan dirinya sendiri, kita terus berfikir, “Mungkin dia tidak tahu.” atau “Dia ni tak pandai lah”

Tetapi realitinya tidak semudah itu.

Ramai orang yang berpendidikan tinggi, banyak membaca dan mempunyai pengalaman luas tetap membuat keputusan yang pelik.

Kadang-kadang mereka mempertahankan sesuatu yang jelas salah. Sampai tahap menolak bukti yang berada betul-betul di hadapan mata. Anda lihat pun pelik!

Bukannya mereka tidak mempunyai maklumat dan kebolehan untuk faham konteks sebenar

masalah timbul apabila mereka sudah berhenti berfikir secara bebas.

“Tak semua kesilapan berpunca daripada kurang pengetahuan. Ada yang berpunca sebab menyerahkan tugasan berfikir pada orang lain.”

Apabila rasa kebersamaan mengatasi kebenaran

Manusia ialah makhluk sosial.

Kita mahu diterima. Kita mahu menjadi sebahagian daripada sesuatu kumpulan. Kita mahu rasa kita berada di tempat yang betul bersama orang yang betul.

Teringat saya beberapa bulan lepas ada kes 4 orang remaja serang pemandu grab sebab mereka tiada duit untuk bayar tambah. Serang bersama-sama pula tu.

Masalah muncul apabila keinginan untuk diterima menjadi lebih penting daripada keinginan untuk menegakkan kebenaran.

Pada ketika itu, seseorang tidak lagi bertanya, “Adakah ini betul?”

Sebaliknya dia mula bertanya, “Adakah semua orang buat perkara yang sama?”

Apabila identiti mula bercampur dengan kepercayaan, pendirian sosial, fakta mula menjadi kurang penting.

Sebab itu kadang-kadang anda boleh menunjukkan data, bukti dan hujah yang kukuh, tetapi orang lain tetap tidak berubah fikiran.

Mereka merasakan menerima fakta tersebut bermaksud mengkhianati kumpulan yang mereka sayangi.

Dalam keadaan itu, perdebatan jarang sekali berjaya sebab anda sedang mencabar identiti mereka.

Kenapa fakta selalu gagal mengubah fikiran

Pernahkah anda melihat seseorang yang begitu yakin walaupun jelas tersilap?

Semakin banyak bukti diberikan, semakin kuat dia mempertahankan pendiriannya.

Perkara ini berlaku kerana otak manusia tidak sentiasa mencari kebenaran. Kadang-kadang otak lebih sibuk melindungi rasa selamat.

Jika sesuatu kepercayaan memberi kita rasa diterima, rasa penting atau rasa memiliki, otak akan berusaha mempertahankannya.

Walaupun kepercayaan itu salah. Ramai orang sebenarnya tidak membuat penilaian sendiri terhadap sesuatu isu.

Mereka meminjam penilaian orang lain.

Jika seorang pemimpin berkata sesuatu, mereka percaya.

Kalau majoriti kumpulan percaya sesuatu, mereka ikut percaya.

Bila semua orang di sekeliling mengulang perkara yang sama, mereka menganggap ia pasti benar.

Lama-kelamaan, kemampuan untuk berfikir secara bebas menjadi semakin lemah.

“Berfikir sendiri memerlukan usaha dan kadang kala melawan arus. Mengikut orang ramai memberi kelegaan dan rasa selamat.”

Sebab itu ramai orang lebih suka jawapan yang mudah daripada soalan yang sukar.

Cara melindungi diri daripada perangkap ini

Salah satu kemahiran paling penting dalam kehidupan bukanlah kepintaran.

Ia adalah keberanian anda untuk berfikir sendiri.

Keberanian untuk bertanya:

“Mungkin aku silap?” atau “Mungkin mereka semua silap?”

Keberanian untuk menilai sesuatu berdasarkan bukti, walaupun bukti itu membuatkan anda tidak selesa.

Keberanian untuk berubah pendapat apabila maklumat baru muncul.

Orang yang benar-benar bijak tidak semestinya orang yang sentiasa betul. Mereka ialah orang yang sanggup mengakui apabila dirinya salah. (Bunyi macam cringe sikit kan)

Kerana saat seseorang berhenti mempersoalkan kepercayaannya sendiri, saat itulah dia mula menjadi tawanan kepada pemikiran orang lain.

Similar Posts