Ini tabiat untuk anda jadi super produktif

Ada tabiat psikologi yang boleh menjadikan produktiviti terasa lebih mudah tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada motivasi atau kekuatan semangat.

Saya pun bukan rajin sangat. Ada masa lagi suka main dengan anak. Sesekali tengok rancangan dokumentari, kalau bosan betul try la tengok satu movie dekat Netflix. Itupun jarang habiskan.

Anda mungkin fikir nak rajin ni kita kena ada disiplin.

Setiap minggu anda target azam yang sama. Bangun awal. Siapkan projek. Kurangkan menangguh kerja. Tetapi selepas beberapa hari, semuanya kembali seperti biasa.

Ahli psikologi mendapati setiap kali anda memaksa diri melakukan sesuatu yang tidak anda mahu buat, sedikit demi sedikit tenaga mental itu berkurang.

Sebab itu ramai orang bersemangat pada waktu pagi tetapi mula hilang fokus apabila hari semakin petang.

Anda yang paling produktif tidak perlu memiliki kekuatan disiplin yang luar biasa. Anda cuma kena bina tabiat yang mengurangkan keperluan untuk bergantung kepada disiplin.

Kalau orang bangun tidur check notification atau media sosial, saya pula suka check artikel terbaru berkait psikologi atau neurosains. Jadi bila dah tengok artikel best, automatik terasa nak buat konten tentang itu. Jadi saya mungkin tak perlukan disiplin pun.

“Produktiviti yang mampan bukan datang daripada memaksa diri. Ia datang daripada anda yang membentuk kehidupan yang memerlukan kurang paksaan.”

Berikut dua tabiat mempunyai kesan yang besar untuk meningkatkan produktiviti anda.

Anggap diri masa depan sebagai individu yang benar-benar wujud

    Satu perkara menarik tentang otak manusia ialah apabila anda membayangkan diri anda pada masa hadapan, otak tidak semestinya melihat individu itu sebagai “diri anda”.

    Dalam banyak keadaan, otak memproses diri masa depan hampir seperti seorang individu asing.

    Itulah sebabnya sangat mudah untuk kita berkata:

    “Nantilah aku buat.”

    “Nanti saya mula simpan duit.”

    “Nanti aku ubah gaya hidup.”

    Kita sebenarnya sedang menyerahkan masalah kepada seseorang yang belum wujud sepenuhnya dalam fikiran kita.

    Semakin jauh hubungan antara diri sekarang dan diri masa depan, semakin mudah kita menangguhkan perkara penting.

    Kalau ada pernah dengar anime tajuk One Punch Man, dia ada keluarkan satu dialog, “Aku tinggalkan masalah ni, untuk diri aku yang esok”

    Kajian-kajian terkini menunjukkan bahawa anda yang mempunyai hubungan psikologi yang kuat dengan diri masa depan cenderung:

    Kurang menangguh kerja.
    Membuat keputusan kewangan yang lebih baik.
    Lebih konsisten dalam pelajaran.
    Lebih menjaga kesihatan.

    Caranya sangat mudah.

    Seminggu sekali, cuba tulis sepucuk surat daripada perspektif diri anda lima tahun akan datang.

    Apakah perkara yang dia (diri masa depan anda) bersyukur anda (diri anda sekarang) lakukan hari ini?

    Apakah masalah yang berjaya anda selesaikan untuknya?

    Apakah kesilapan yang anda berjaya elakkan?

    Latihan kecil ini membantu menjadikan masa depan terasa lebih nyata.

    Apabila masa depan terasa nyata, usaha yang dilakukan hari ini tidak lagi terasa seperti pengorbanan.

    Ia terasa seperti satu bentuk penjagaan terhadap diri sendiri.

    “Anda lebih mudah bekerja keras untuk seseorang yang anda sayang. Jadi belajarlah untuk menyayangi diri anda pada masa hadapan.”

    Berhenti menganggap rasa berat itu sebagai tanda untuk berhenti

      Sebelum melakukan tugasan yang sukar, selalunya anda akan merasai sesuatu.

      Jantung berdegup sedikit laju. Badan terasa tegang. Muncul rasa tidak selesa.

      Ramai mentafsirkan perasaan ini sebagai tanda bahawa mereka belum bersedia.

      Lalu anda menunggu. Menunggu motivasi, mood, inspirasi. Masalahnya, motivasi ni tidak selalu datang.

      Kajian psikologi mendapati bahawa apa yang anda panggil “gemuruh” atau “cemas” sering kali hanyalah tubuh yang sedang bersedia untuk bertindak.

      Tubuh sebenarnya sedang mengaktifkan sistem saraf supaya anda lebih fokus dan lebih peka.

      Tetapi kerana anda menafsirkan sensasi itu sebagai sesuatu yang negatif, anda mula mengelakkannya.

      Sebelum melakukan tugas yang anda asyik tangguhkan, cuba berhenti selama 10 saat.

      Kemudian ubah dialog dalaman anda.

      Daripada berkata:

      “Aku rasa cemas.”

      Tukar kepada:

      “Aku tengah bersedia untuk buat kerja ini.”

      “Aku sedang fokus.”

      “Badan aku sedang mengumpul tenaga.”

      Jadi hubungan anda dengan perasaan (rasa berat, rasa tak best nak buat) tersebut berubah. Daripada melihatnya sebagai ancaman, anda mula melihatnya sebagai persediaan. Macam game tengah loading.

      Kedua-dua tabiat ini mempunyai tema yang sama. Iaitu hendak jadi produktif, anda tidak perlu pun jadi lebih kuat memaksa diri.

      Anda cuma perlu ubah cara anda melihat masa depan dan cara anda melihat ketidakselesaan.

      Bila masa depan anda cukup nyata untuk diperjuangkan dan isyarat badan yang diberikan oleh tubuh sendiri anda tafsir positif, banyak tugas yang sebelum ini terasa berat akan mula terasa lebih mudah.

      Similar Posts