IQ tinggi belum tentu lebih berjaya pendapatan lebih tinggi

Kemahiran kognitif yang spesifik seperti matematik, bahasa atau kemahiran teknikal turut memainkan peranan penting dalam menentukan pendidikan, pendapatan dan kerjaya.

Ramai orang sangka kalau pandai, exam straight A, IQ tinggi, automatik masa depan akan cerah. Mudah dapat kerja, gaji tinggi, dan kerjaya lebih berjaya.

Hakikatnya, otak manusia jauh lebih kompleks daripada sekadar cemerlang dalam peperiksaan, kreatif, level kepandaian yang above average.

Kajian terbaru yang diterbitkan dalam Intelligence & Cognitive Abilities mendapati kejayaan seseorang bukan hanya dipengaruhi oleh tahap kecerdasan umum (general intelligence), tetapi juga oleh kemahiran kognitif yang lebih spesifik. Malah, kemahiran spesifik ini menyumbang sekitar 30 hingga 57 peratus daripada kekuatan IQ dalam meramal tahap pendidikan, pendapatan dan tahap kerjaya.

“IQ penting, tetapi kekuatan unik otak anda juga memainkan peranan besar dalam menentukan masa depan.“

Setiap otak ada corak kekuatan yang berbeza

Dalam psikologi, penyelidik membezakan antara general intelligence dan specific abilities.

General intelligence ialah keupayaan keseluruhan otak untuk belajar, menyelesaikan masalah dan berfikir secara logik. Inilah yang biasanya dianggarkan melalui skor IQ.

Tetapi selain itu, setiap individu juga mempunyai profil kekuatan yang berbeza.

Ada orang sangat pantas memproses maklumat. Ada pula orang mempunyai kemahiran bahasa yang luar biasa. Ada juga yang cepat memahami sistem mekanikal, elektronik atau teknikal walaupun prestasi akademiknya biasa sahaja.

Waktu saya praktikal pun nampak bila ada kawan yang akademiknya sederhana tapi kerja tangan dia lancar, pemikiran penyelesaian masalah di laju.

Cuba bayangkan pula dua pelajar mendapat keputusan peperiksaan yang hampir sama.

Seorang mudah memahami matematik dan fizik. Seorang lagi sangat mahir menulis, berkomunikasi dan berhujah.

Walaupun tahap IQ mereka hampir sama, laluan kerjaya mereka mungkin berbeza sepenuhnya kerana otak masing-masing mempunyai kekuatan yang berbeza.

Kajian ini menunjukkan kekuatan spesifik seperti inilah yang membantu menentukan bidang pekerjaan yang akhirnya dipilih oleh anda.

“Jangan hanya tanya, sejauh mana bijaknya aku? Lebih penting, aku bijak dalam bidang apa?”


Kajian lebih 19,000 individu membuktikannya

Penyelidik menganalisis data lebih 19,000 peserta yang diikuti selama bertahun-tahun.

Mereka menilai pelbagai kemahiran kognitif seperti:

  • kebolehan matematik dan bahasa,
  • kelajuan memproses maklumat,
  • serta pengetahuan teknikal seperti elektronik, automotif dan mekanikal.

Kemudian mereka membandingkan keputusan tersebut dengan pencapaian sebenar peserta apabila dewasa, termasuk tahap pendidikan, pendapatan dan tahap pekerjaan.

Pekerjaan tertentu benar-benar dipenuhi oleh individu yang mempunyai corak kekuatan otak yang hampir sama.

Sebagai contoh, jurutera, doktor dan bidang komputer lebih banyak diisi oleh individu yang mempunyai kekuatan matematik dan analitikal. Logik lah kan.

Manakala pekerjaan teknikal seperti mekanik atau pembinaan lebih banyak dipenuhi oleh mereka yang mempunyai kebolehan teknikal yang tinggi.

Ini menunjukkan manusia bukan sekadar memilih pekerjaan secara rawak.

Sebahagian besarnya, otak kita secara semula jadi cenderung memilih bidang yang selari dengan kekuatan kognitif sendiri.

Kalau saya sendiri selepas tamat universiti bekerja sebagai guru di sekolah swasta dalam 3 tahun. Tapi akhirnya saya resign kerana itu bukanlah bidang yang “kena” dengan saya. (Saya percaya guru kena fokus kepada mendidik berbanding menyampaikan maklumat saja)

Selepas itu saya kerja sebagai visual editior untuk syarikat media. Menariknya saya adalah pekerja yang paling mahir untuk video editing, motion graphic, walaupun ijazah saya bukan dalam bidang itu. (Saya degree engineering, sekarang master psikologi, phd nanti psikologi juga insyaAllah)

Jadi bidang yang saya cuba agak meluas, penyampaian (guru), kemudian video production (teknikal + kreativiti). Masuk usia 40an ini saya mula lebih kepada Program Latihan (Komunikasi korporat, Latihan & Pembangunan)


Berhenti paksa semua orang jadi hebat dalam semua perkara

Inilah kesilapan yang sering berlaku dalam sistem pendidikan dan juga dalam kehidupan. Kita terlalu sibuk membandingkan semua orang menggunakan ukuran yang sama.

Kalau lemah matematik, dianggap kurang pandai. Kalau tidak petah bercakap, dianggap kurang berbakat. Sedangkan otak manusia memang dibina dengan profil kekuatan yang berbeza.

Kajian ini memberi satu mesej yang sangat penting.

Daripada memaksa diri menjadi hebat dalam semua perkara, mungkin lebih bijak mengenal pasti kekuatan semula jadi otak sendiri dan membinanya sehingga menjadi kelebihan.

Sudah tentu IQ masih penting. Tetapi kejayaan bukan hanya bergantung kepada IQ.

Minat, latihan, pengalaman, personaliti dan peluang hidup juga memainkan peranan besar.

Semakin anda memahami bagaimana otak anda berfungsi, semakin mudah anda memilih laluan pendidikan, kerjaya dan pembangunan diri yang benar-benar sesuai dengan potensi sendiri.

“Matlamatnya kita tak jadi hebat dalam semua benda. Matlamatnya ialah cari di mana otak anda mampu memberi kepuasan paling besar pada potensi diri.”

Rujukan kajian:
Edwards, T. & DeYoung, C. G. (2026). More Than General Intelligence: Cognitive Abilities and Class Structure. Intelligence & Cognitive Abilities.

Similar Posts