Kenapa masa kadang terasa cepat, kadang terlalu lambat? Ini penjelasan sains

Kajian terbaru mencadangkan bahawa persepsi masa bukan sahaja melibatkan otak, tetapi turut berkait dengan metabolisme badan, norepinephrine dan working memory.

Perasan tak anda rasa masa berlalu terlalu cepat bila sedang seronok? Scroll phone, gelak-gelak, rasa macam baru tengok telefon sekejap, sedar-sedar dah sejam.

Tapi bila menunggu giliran di klinik, lima minit pun rasa macam setengah jam.

Pelik kan? Jam yang kita gunakan tetap bergerak pada kelajuan sama. Tetapi otak kita seolah-olah mempunyai jamnya sendiri.

satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Psychophysiology mendapati bahawa persepsi kita terhadap masa mungkin berkait dengan metabolisme badan, hormon dan keupayaan memori.

Maknanya cara kita merasakan masa bukan sekadar melibatkan otak. Keadaan badan juga mungkin memainkan peranan.

Otak kita ada jam dalaman sendiri

Dalam psikologi, fenomena ini dikenali sebagai time perception, iaitu bagaimana kita menganggarkan tempoh sesuatu masa berlalu.

Saintis membezakan dua perkara penting.

Pertama, clock speed, iaitu kelajuan jam dalaman kita. Apabila jam dalaman bergerak lebih cepat, sesuatu tempoh boleh terasa lebih panjang daripada masa sebenar.

Kedua, timing variation, iaitu sejauh mana anggaran masa kita berubah-ubah.

Contohnya, anda diminta meneka bila 30 saat sudah berlalu tanpa melihat jam.

Kadang-kadang tepat. Kadang-kadang baru 20 saat, anda dah rasa 30 saat berlalu.

Dulu saintis banyak memberikan perhatian kepada mekanisme pemasaan dalam otak. Tetapi penyelidikan sekarang semakin menunjukkan bahawa persepsi masa turut berkait dengan isyarat daripada seluruh badan.

“Jam di dinding mungkin bergerak sama untuk semua orang, tetapi jam dalam otak kita belum tentu bergerak pada kelajuan yang sama.”

Metabolisme badan mungkin mempengaruhi persepsi masa

Sekumpulan penyelidik dari Columbia University mengkaji 95 orang dewasa berusia antara 18 hingga 60 tahun.

Daripada jumlah tersebut, 59 orang merupakan individu sihat dan 36 lagi mempunyai penyakit genetik yang menjejaskan fungsi mitokondria.

Mitokondria ialah struktur kecil dalam sel yang membantu menghasilkan tenaga.

Peserta diminta menganggarkan tempoh masa tertentu tanpa menggunakan jam. Penyelidik turut mengukur penggunaan tenaga ketika berehat, hormon norepinephrine dan keupayaan working memory.

Apa yang mereka temui?

Dalam kumpulan individu sihat, mereka yang menggunakan lebih banyak tenaga ketika berehat, selepas mengambil kira jisim badan tanpa lemak, cenderung memberikan anggaran masa yang lebih konsisten.

Paras norepinephrine dalam air kencing yang lebih tinggi pula dikaitkan dengan anggaran masa yang lebih berubah-ubah.

Norepinephrine ialah bahan kimia yang terlibat dalam kewaspadaan dan respons badan terhadap tekanan.

Memori juga ada hubungan dengan jam dalaman

Satu lagi dapatan menarik melibatkan working memory.

Working memory ialah keupayaan otak menyimpan dan memproses maklumat untuk sementara waktu.

Contohnya, apabila seseorang menyebut nombor telefon dan anda cuba mengingatinya sebelum simpan dalam phone.

Dalam kumpulan individu sihat, prestasi working memory yang lebih baik dikaitkan dengan jam dalaman yang lebih cepat.

Tetapi dalam kumpulan penyakit mitokondria, arah hubungan itu berbeza.

Penyelidik mencadangkan bahawa otak mungkin mempunyai beberapa cara untuk mengekalkan persepsi masa yang stabil, bergantung pada keadaan biologi seseorang.

Jadi, apakah yang kita boleh pelajari?

Apabila masa terasa terlalu perlahan atau terlalu cepat, jangan terus menganggap ia sekadar masalah fokus.

Persepsi masa merupakan pengalaman kompleks yang mungkin melibatkan perhatian, memori, bahan kimia badan dan penggunaan tenaga.

“Kita terlalu sibuk mengurus masa, sampai terlupa bahawa cara kita mengalami masa juga berkait dengan keadaan semasa otak dan badan.”

Mungkin selepas ini, apabila anda rasa lima minit begitu panjang, anda akan terfikir satu perkara.

Adakah masa yang terasa lambat, atau kondisi badan mempengaruhi, atau cara otak aku memproses masa yang sedang berubah?

Sumber rujukan:

Kapri, D., et al. (2026). Psychobiological and Metabolic Correlates of Time Perception in Humans: An Exploratory Study. Psychophysiology.

Similar Posts