Satu kemahiran orang bijak buat hampir setiap hari tapi tanpa sedar

Jawapan kepada masalah mudah muncul bila kita berhenti memaksa otak mencari jawapan

Ada satu kemahiran yang saya rasa kita tak pernah diajar di sekolah. Kalau dekat sekolah dulu kita ni diajar untuk fokus.

Duduk diam. Tengok buku. Jangan termenung. Jangan hilang fokus.

Kalau ada masalah, fikir sampai dapat jawapan.

Tetapi semakin saya membaca tentang bagaimana ramai pemikir, saintis dan individu kreatif bekerja, semakin jelas satu perkara

Boleh jadi perkara paling bijak yang anda boleh buat bila ada masalah ialah berhenti berfikir terlalu kuat pasal sesuatu itu.

Sebab kadang-kadang otak perlukan ruang, bukan lebih banyak tekanan.

Nampak macam malas dan cuba lari daripada masalah.

Tetapi memahami bahawa otak kita mempunyai lebih daripada satu cara untuk menyelesaikan sesuatu perkara adalah sangat membantu.

Bila terlalu fokus, kita boleh terperangkap dalam jalan yang sama

Apabila anda sedang fokus terhadap sesuatu masalah, perhatian menjadi sempit.

Dalam psikologi kognitif, untuk situasi tertentu keadaan ini sangat berguna. Anda boleh fokus membaca. Tekun menganalisis data. Menulis dengan idea mencurah. Mengira dengan tepat.

Menyelesaikan kerja yang memerlukan perhatian mendalam.

Masalahnya, apabila perhatian terlalu sempit, otak juga cenderung menggunakan rangkaian idea yang sedang aktif pada waktu itu.

Kita ulang jalan pemikiran yang sama. Corak idea yang berulang.

Sebab itu kadang-kadang kita duduk depan laptop sejam. Padam. Tulis balik. Padam lagi. Masih tak dapat idea yang kita puas hati.

Atau kita cuba menyelesaikan satu masalah kerja berulang kali menggunakan pendekatan yang hampir sama.

Ikutkan keupayaan berfikir dan menyelesaikan masalah tu kita ada cuma mungkin kerana otak kita sedang terlalu terkunci pada satu laluan, kita jadi buntu.

Fokus bantu kita menggali lebih dalam. Tapi sesetengah jawapan memerlukan kita lihat lebih luas.

Di sinilah keadaan pemikiran yang lebih santai menjadi penting.

Ada yang menyebutnya sebagai diffuse thinking. Keadaan di mana perhatian kita tidak terlalu melekat pada satu perkara.

Anda tidak lagi memaksa jawapan keluar.

Sebaliknya, anda memberi ruang kepada otak menghubungkan maklumat secara lebih luas.

Sebab itu idea selalu muncul dalam tandas waktu mandi

Pernah tak jadi? Sepanjang hari anda cuba fikir sesuatu. Tak jumpa jawapan.

Kemudian anda masuk bilik air. Tengah mandi. Tiba-tiba,

“Ohhh… patutlah.”

Idea muncul pulak.

Ataupun ketika tengah solat. Bukan main banyak lagi idea datang. Waktu memandu pun sama.

Berjalan. Basuh pinggan. Baring sebelum tidur. Rutin yang dah bersifat automatik, di mana fikiran anda boleh menerawang.

Bila tuntutan perhatian berkurang, minda mempunyai peluang untuk bergerak antara memori, idea dan pengalaman yang sebelum ini kelihatan tidak berkaitan.

Satu perkara yang anda baca minggu lepas mungkin tiba-tiba tersambung dengan masalah yang anda sedang fikir hari ini.

Itulah sebabnya ramai individu kreatif mempunyai ritual berjalan kaki.

Otak tidak menghasilkan semua idea terbaiknya ketika kita duduk memaksa diri untuk fokus.

Ingat untuk relaks, bertenang, sedar buah fikiran itu akan muncul, cuma anda perlu memberi otak peluang untuk mencarinya.

Sebab itu kalau anda buntu ketika menulis, jangan semestinya tambah dua jam lagi di depan komputer.

Bangun. Berjalan 15 minit. Pergi buat kopi. Siram pokok ke. Pandang luar tingkap. Buat sesuatu yang tidak memerlukan terlalu banyak kerja concious mind (Executive control network).

Kreativiti menurut kajian muncul sewaktu minda di Default Mode Network (fikiran menerawang).

Ada kemungkinan masalah yang tadi nampak kusut tiba-tiba kelihatan lebih mudah.

Orang bijak bukan fokus sepanjang masa

Ini mungkin kesilapan besar dalam budaya produktiviti sekarang. Kita anggap orang yang sangat produktif sentiasa fokus.

Sebenarnya, prestasi kognitif yang baik lebih banyak berkaitan dengan keupayaan untuk bertukar keadaan mental.

Ada masa untuk fokus. Ada masa untuk melepaskan perhatian. Ada masa untuk menghasilkan sesuatu. Ada masa untuk membiarkan otak menyusun semula apa yang kita sudah belajar.

Kalau anda belajar sesuatu yang sukar, cuba jangan terus masukkan input tanpa henti.

Baca. Belajar. Fikir. Kemudian tinggalkan sekejap. Berjalan ke. Buat kerja ringan. Baca semula. Kemudian tidur.

Keesokan harinya, kembali semula.

Kadang-kadang anda akan faham perkara yang semalam terasa sangat kompleks.

Jadi apabila anda sedang buntu dengan kerja, idea, masalah hidup atau keputusan besar, jangan terus menganggap anda perlu berfikir lebih keras.

Mungkin anda sudah cukup berfikir jadi sekarang otak anda perlukan sedikit ruang.

Fokus untuk mengumpul kepingan puzzle yang sesekali perlu berundur sekejap untuk biarkan otak melihat gambaran yang lebih besar.

Similar Posts