Suka bantu orang lain mungkin buat otak kita lebih muda

Individu yang banyak meluangkan masa membantu orang lain cenderung mempunyai usia biologi otak yang lebih muda

Kita selalu dengar nasihat supaya banyakkan membantu orang lain. Kalau ada kawan sedang susah, kita cuba ringankan beban dia. Kalau ada ahli keluarga perlukan pertolongan, kita luangkan masa. Kalau seseorang sedang berdepan tekanan emosi, sekurang-kurangnya kita boleh jadi pendengar.

Selama ini kita melihat perbuatan membantu sebagai sesuatu yang memberi manfaat kepada orang yang menerima bantuan.

Tapi bagaimana kalau orang yang memberi bantuan sebenarnya turut mendapat manfaat, khususnya pada kesihatan otak mereka sendiri?

Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Translational Psychiatry pada tahun 2026 menemukan hubungan menarik antara tingkah laku membantu orang lain dengan usia biologi otak.

Individu yang lebih banyak meluangkan masa memberi sokongan sosial didapati cenderung mempunyai otak yang kelihatan lebih muda berdasarkan analisis pengimejan otak.

Memberi sokongan sosial mungkin berkait dengan otak yang lebih muda

Apabila kita bercakap tentang usia, kebiasaannya kita merujuk kepada usia kronologi. Kalau seseorang berumur 45 tahun, itulah usia yang dikira berdasarkan tarikh kelahirannya.

Tetapi dalam neurosains, ada satu lagi konsep yang dipanggil brain age, atau usia otak.

Usia otak merupakan anggaran yang dibuat berdasarkan ciri-ciri struktur otak yang dapat diperhatikan melalui pengimejan MRI.

Sebagai contoh, dua individu mungkin sama-sama berusia 50 tahun, tetapi struktur otak mereka boleh menunjukkan corak penuaan yang berbeza.

Dalam kajian ini, penyelidik menggunakan pendekatan yang dikenali sebagai BrainAGE untuk membandingkan anggaran usia otak dengan usia sebenar peserta.

Apa yang menarik, individu yang lebih banyak meluangkan masa membantu orang lain menunjukkan kecenderungan mempunyai usia otak yang lebih muda.

Hubungan ini masih dapat diperhatikan selepas penyelidik mengambil kira beberapa faktor lain, termasuk aspek kesihatan, gaya hidup dan keadaan sosial.

“Mungkin selama ini kita fikir membantu orang lain hanya meringankan beban mereka. Rupanya, perbuatan memberi sokongan juga mempunyai hubungan dengan kesihatan otak kita sendiri.”

Mengapa membantu orang lain boleh berkait dengan kesihatan otak?

Otak manusia merupakan organ sosial. Kita berkembang, belajar dan menjalani kehidupan melalui interaksi dengan orang lain.

Apabila seseorang membantu individu lain, banyak proses mental boleh terlibat.

Kita perlu memahami keadaan orang tersebut, memberikan perhatian, mengawal emosi sendiri, membuat pertimbangan dan menentukan bentuk bantuan yang sesuai.

Sebahagian daripada proses ini melibatkan fungsi kognitif seperti empati, pengambilan perspektif, kawalan diri dan penyelesaian masalah.

Contohnya, apabila seorang rakan datang menceritakan masalah rumah tangganya, kita mungkin perlu menahan diri daripada terus menghukum, memahami perspektifnya dan memilih perkataan yang sesuai.

Ini semua memerlukan penglibatan proses kognitif dan emosi.

Dalam masa yang sama, hubungan sosial yang positif juga boleh membantu seseorang mengurus tekanan psikologi dan membina rasa bermakna dalam kehidupan.

Satu perkara yang menarik ialah penyelidik turut mengambil kira sokongan sosial yang diterima oleh peserta.

Ini menunjukkan bahawa memberi sokongan kepada orang lain mungkin mempunyai hubungan tersendiri dengan kesihatan otak, selain manfaat yang diperoleh apabila kita menerima bantuan.

“Hubungan sosial yang sihat juga tentang bagaimana kehadiran kita memberi makna kepada kehidupan orang lain.”

Membina kehidupan yang saling menyokong

Dalam kehidupan moden, ramai orang terlalu sibuk dengan urusan masing-masing.

Kita bekerja, mengejar sasaran, menyelesaikan komitmen dan mengurus pelbagai tanggungjawab. Ada masanya hubungan dengan orang lain hanya berlaku apabila kita memerlukan sesuatu.

Sedangkan hubungan sosial merupakan salah satu komponen penting dalam kesejahteraan psikologi.

Kita boleh bermula dengan perkara yang kecil.

Meluangkan masa mendengar masalah pasangan, membantu rakan sekerja yang sedang menghadapi kesukaran, menemani ibu bapa atau memberikan sokongan kepada seseorang yang sedang berusaha memperbaiki kehidupannya.

Perbuatan seperti ini mungkin kelihatan biasa, tetapi ia boleh membantu membina hubungan sosial yang lebih bermakna.

Namun, membantu orang lain juga memerlukan keseimbangan.

Memberi sokongan sehingga mengabaikan kesihatan sendiri, mengalami keletihan emosi atau memikul tanggungjawab yang berlebihan bukanlah sesuatu yang patut digalakkan.

Kita perlu mempunyai sempadan yang sihat supaya perbuatan membantu tidak bertukar menjadi sumber tekanan berpanjangan.

Apa pun, apa yang kita sumbangkan kepada kehidupan orang lain juga mungkin mempunyai kaitan dengan kesihatan kita apabila semakin berusia.

“Dalam usaha membina kehidupan yang lebih baik, jangan hanya fikir apa yang kita boleh dapat daripada orang lain. Fikir juga apa yang kita boleh berikan, kerana mungkin di situlah sebahagian daripada kekuatan diri kita terbina.”

Mungkin kita tidak perlu menunggu sehingga mempunyai banyak masa atau wang untuk mula memberi manfaat kepada orang lain.

Ada masanya, cukup dengan menjadi seseorang yang hadir, mendengar dan membantu mengikut kemampuan.

Rujukan Kajian

Lee, M., Rilling, J. K., et al. (2026). Providing social support to others is associated with younger brain age in mid-to-late adulthood. Translational Psychiatry.

Similar Posts