Persahabatan tak semestinya kekal. Ada hadir hanya untuk satu bab kehidupan

Psikologi menunjukkan ada hubungan yang hadir hanya untuk satu fasa kehidupan, namun tetap memberi kesan besar terhadap perkembangan diri dan memori kita.

Pukul 3 pagi saya update ni (bukan tak tidur lagi, tapi dah terjaga dari tidur awal sangat). Waktu yang sepi dan hening sebegini mudah untuk kita terkenang semula perjalanan kehidupan.

Pernah tak anda teringat seseorang yang suatu ketika dahulu sangat rapat dengan anda? Setiap hari berjumpa, bergelak ketawa, berkongsi masalah, makan bersama. Tetapi hari ini, anda hampir tidak lagi berhubung.

Yang peliknya, anda tidak marah kepada mereka. Bukannya ada konflik pergaduhan ke apa. Malah bila terdengar nama mereka, anda masih tersenyum.

Ramai menganggap persahabatan yang semakin renggang bermaksud hubungan itu gagal. Hakikatnya, psikologi menunjukkan tidak semua persahabatan memang dicipta untuk bertahan seumur hidup.

Ada yang hadir hanya untuk satu fasa kehidupan, namun tetap meninggalkan kesan yang besar kepada siapa diri kita hari ini.

“Tidak semua persahabatan perlu kekal selamanya. Ada yang tugasnya hanya menemani satu bab dalam kehidupan anda.”

Kenapa kita boleh jadi sangat rapat?

Otak manusia sangat dipengaruhi oleh pendedahan berulang (repeated exposure). Semakin kerap kita berjumpa seseorang, semakin mudah otak membina rasa selesa dan percaya. Fenomena ini dikenali sebagai mere exposure effect, yang diterangkan oleh ahli psikologi Robert Zajonc.

Sebab itu rakan sekelas, rakan sekerja atau ahli pasukan yang melalui cabaran bersama sering menjadi sangat rapat.

Itu yang waktu zaman sekolah kita ada kawan rapat, zaman universiti pun ada kawan rapat, tempat kerja lagilah selalunya mudah jadi kawan rapat.

Bayangkan anda bekerja syif malam bersama seseorang selama bertahun-tahun. Anda sama-sama menghadapi tekanan, menyelesaikan masalah dan berkongsi pengalaman yang orang lain tidak faham. Otak mengaitkan individu itu dengan keselamatan, sokongan dan rutin harian.

Hubungan yang terbina terasa sangat bermakna kerana memang secara biologi dan psikologi, pengalaman yang dikongsi bersama menguatkan ikatan sosial.

Bila kehidupan berubah, persahabatan turut berubah

Perubahan mula timbul apabila konteks kebersamaan itu hilang.

Sekolah telah tamat. Zaman universiti juga telah berlalu. Seorang rakan berpindah kerja. Anak-anak pula semakin membesar. Ada yang berpindah negeri atau negara.

Persahabatan banyak bergantung kepada “social foci”, iaitu tempat, aktiviti dan persekitaran yang mempertemukan manusia secara konsisten.

Apabila faktor itu hilang, hubungan memerlukan usaha yang lebih besar untuk diteruskan.

Ada persahabatan yang berjaya menyesuaikan diri. Ada juga yang perlahan-lahan menjadi sekadar kenangan. Ia mungkin sudah menyempurnakan peranannya dalam satu fasa kehidupan anda.

Kajian juga menunjukkan bahawa sepanjang usia dewasa, personaliti, keutamaan hidup dan keperluan sosial seseorang terus berubah. Maka tidak hairanlah hubungan sosial juga akan berubah mengikut perjalanan hidup.

“Hubungan yang semakin jauh secara tak langsung menandakan hidup sedang membuka bab yang baharu.”

Nilai persahabatan bukan diukur pada tempohnya

Hakikatnya, sepanjang sejarah manusia, ramai individu hadir hanya untuk satu musim kehidupan. Ada yang menemani ketika zaman belajar. Ada yang bersama ketika membina kerjaya. Ada yang muncul ketika kita melalui saat paling sukar.

Walaupun hari ini kita tidak lagi berhubung, memori itu masih memberi makna.

Kajian mengenai nostalgia mendapati bahawa mengingati pengalaman indah mampu memberikan rasa tenang dan makna, walaupun kita tidak mempunyai keinginan (atau tak ada kesempatan pun) untuk menghidupkan semula hubungan tersebut.

Jadi mungkin sudah tiba masanya kita berhenti bertanya, “Kenapa persahabatan ini tidak kekal?”

Sebaliknya tanyalah, “Apakah nilai persahabatan ini telah berikan pada kehidupan aku?”

Jika hubungan itu pernah membuatkan anda lebih kuat, lebih matang, lebih gembira atau membantu anda bangkit ketika sukar, maka persahabatan itu sudah pun berjaya.

Tidak semua insan hadir untuk menemani keseluruhan perjalanan hidup. Ada yang hadir hanya untuk beberapa halaman helaian episod kehidupan anda. Namun halaman itulah yang mengubah jalan cerita kehidupan kita.

Kepada sahabat saya diluar sana, anda tahu anda siapa, ada rezeki kita jumpa lagi dan berkongsi cerita tentang kehidupan yang masing-masing lalui!

Similar Posts