Kenapa berbual dengan orang boleh buat anda penat emosi?

Kita sering penat kerana tanpa sedar kita memasukkan diri sendiri ke dalam cerita orang lain.

Anda seorang yang sporting tempat semua orang meluahkan masalah? Mungkin sebab anda seorang yang peramah, mesra dan pandai ambil hati.

Kadang kala mungking ada rasa penat kan. Ramai orang ingat penat emosi berlaku sebab terlalu ramai orang meluahkan masalah kepada kita.

Hakikatnya, boleh jadi anda bukan penat sebab mendengar. Anda penat sebab tanpa sedar, anda masuk sekali dalam cerita hidup mereka.

Setiap kali seseorang berkongsi masalah, otak kita terus bekerja.

“Eh, aku pun pernah lalui benda ni.”

“Kalau aku, aku buat macam ni.”

“Aku tahu apa yang dia patut buat.”

Semua ini berlaku secara automatik. Otak anda simulasikan respon yang terbaik untuk diberikan. Begitulah cara otak manusia berfungsi.

Otak sentiasa mencari kaitan antara maklumat baru dengan pengalaman lama. Dalam neurosains, proses ini dikenali sebagai associative memory. Memori kita bukan disimpan secara berasingan, tetapi saling bersambung seperti rangkaian.

“Otak memang dicipta untuk mencari kaitan. Tapi dengar masalah orang anda tak mencari kaitan dengan diri sendiri pun. Ia tentang memberi ruang kepada mereka.”

Belum sempat orang tu habis bercerita, anda sudah mula memberi nasihat, berkongsi pengalaman sendiri atau cuba menyelesaikan masalah mereka.

Tanpa sedar, fokus perbualan berubah. Daripada memahami mereka…

…kita mula bercakap tentang diri kita. Apa yang telah berlaku kepada kita, apa yang patut kita buat dulu kalau boleh.

Mendengar tidak sama dengan berkongsi pengalaman

Ramai orang menyangka empati bermaksud mengatakan,

“Saya faham. Saya pun pernah melalui perkara yang sama.”

Kadang-kadang ia sesuai.

Tetapi kalau terlalu awal, ia boleh membuatkan orang yang sedang bercerita rasa kisah mereka dipotong sebelum sempat diluahkan sepenuhnya.

Sokongan sebenar anda hanyalah perlu memberi ruang.

Bertanya,

“Lepas tu apa yang berlaku?”

“Macam mana perasaan kau waktu itu?”

lebih membantu daripada terus menawarkan penyelesaian dan khidmat nasihat berdasarkan pengalaman sendiri. Boleh jadi mereka tak perlukan pun nasihat kita.

Psikologi menunjukkan bahawa manusia lebih mudah memproses emosi apabila mereka merasakan pengalaman mereka benar-benar didengari dan divalidasi.

“Ramai orang tak perlukan jawapan. Mereka cuma perlukan seseorang yang sanggup bersama dengan emosi mereka seketika.”

Ironinya, diam itu memang lebih sukar daripada bercakap. Kita rasa kita kena cakap sesuatu untuk menenangkan mereka.

Sebab apabila melihat orang lain menderita, kita sendiri pun mula rasa tidak selesa.

Jadi kadang-kadang nasihat yang kita beri sebenarnya bukan untuk menenangkan mereka tapi untuk menenangkan diri kita sendiri yang turut merasa emosi itu.

Penat emosi berlaku bila anda memikul cerita yang bukan milik kita

Selepas berbual, kita mula berfikir.

“Betul ke nasihat aku tadi?”

“Patut ke aku cakap macam tu?”

“Harap-harap dia okay.”

anda ulang semula keseluruhan perbualan dalam kepala. Default Mode Network mula diaktifkan. Anda pula turut tenggelam dalam masalah mereka.

Sedangkan masalah itu bukan milik anda sejak awal. Anda telah mengambil tanggungjawab emosi yang sebenarnya berada di bahu orang lain.

Sebab itu ramai ibu bapa, pasangan, kaunselor, ketua dan kawan rapat cepat mengalami keletihan emosi.

Mereka individul yang terlalu mengambil berat sehingga mereka memikul beban yang tidak perlu dipikul.

Active listening bukan bermaksud otak kita kosong. Otak tetap akan menghasilkan pendapat, mengingati memori berkaitan dan idea.

Bezanya, kita memilih untuk tidak mengikut semuanya. Kita sedar emosi itu mula hadir tetapi kita kembali memberi perhatian kepada orang di hadapan kita.

Untuk tenangkan diri, anggap sahaja emotional contagion sedang berlaku

“Anda boleh mengambil berat tanpa perlu memikul beban hidup orang lain.”

Lain kali apabila seseorang mula berkongsi sesuatu yang sukar, perhatikan apa yang berlaku dalam fikiran anda.

Pasti akan muncul kenangan lalu, pendapat yang perlu diberikan atau penyelesaian yang anda simpulkan.

Biarkan semuanya bermain di fikiran. Tetapi jangan tergesa-gesa mengeluarkannya.

Sebab besar kemungkinan apa yang mereka perlukan adalah hanya kehadiran anda sepenuhnya.

Similar Posts