
Baru-baru ini saya membuat tinjauan mudah berkait dengan keupayaan memori dan teknologi. Kira-kira 76% daripada lebih 1000 responden mengakui mereka tidak mengingati nombor telefon semua ahli keluarga rapat mereka sendiri.
Ini cerminan bagaimana otak manusia secara strukturnya sedang berubah dalam era digital hari ini.
Cognitive Offloading
Dalam neurosains, fenomena ini dikenali sebagai cognitive offloading apabila otak menyerahkan tugas mengingat kepada peranti luar.
Telefon simpan nombor. Waze tunjuk jalan. AI jawab soalan. Zaman sekarang calculator sendiri dah boleh masuk dewan peperiksaan.
Teknologi sudah menjadi sebahagian daripada sistem berfikir manusia.
“Teknologi bukan lagi sekadar alat bantuan. Ia sudah menjadi sebahagian daripada sistem kognitif manusia.”
Dari sudut memori khususnya, otak kita pun mula berhenti berusaha untuk mengingat sebab dah ada jalan mudah.
Hipokampus dan Memori Ruang
Hipokampus ialah bahagian otak yang penting untuk pembentukan memori dan navigasi ruang.
Kajian dari McGill University pada tahun 2020 mendapati individu yang terlalu bergantung kepada GPS menunjukkan penurunan keupayaan memori spatial (ruang dan lokasi) berbanding mereka yang jarang menggunakannya.
Satu lagi kajian terkenal mendapati pemandu teksi di bandar sibuk mempunyai hipokampus yang lebih besar dan lebih aktif berbanding orang biasa.
Kerana mereka perlu menghafal ribuan jalan, lokasi dan jalan pintas setiap hari.
Ini menunjukkan bahagian otak yang kerap digunakan akan menjadi lebih kuat. Bahagian yang jarang digunakan akan mula melemah.
Kehilangan “Memory Anchor”
Antara kesan lain yang jarang dibincangkan ialah apabila bahagian memori otak semakin kurang aktif digunakan, kita mungkin tidak lagi merekod episod kehidupan secara mendalam.
Kita tidak lagi benar-benar memerhati, mengingat dan hadir sepenuhnya dalam sesuatu pengalaman.
Akibatnya, otak gagal membina cukup “memory anchor” atau penanda memori untuk hari-hari tersebut supaya ia kekal jelas dalam ingatan.
Akibatnya, seminggu terasa seperti sekejap. Sebulan terasa kabur. Setahun berlalu terlalu pantas.
Kita mula rasa hidup bergerak terlalu laju.
“Kadang-kadang hidup terasa terlalu cepat bukan sebab masa berubah, tetapi kerana otak semakin kurang membina memori yang mendalam.”
Memori Episodik dan Kehidupan Harian
Ini berkait rapat dengan memori episodik (episodic memory), iaitu sistem memori yang menyimpan pengalaman hidup harian kita.
Apabila terlalu banyak fungsi mengingat diserahkan kepada teknologi, gambar dalam phone, video TikTok, nota apps, otak sendiri kurang bekerja keras untuk menyimpan pengalaman tersebut secara mendalam.
Namun kita perlu faham satu perkara penting.
Teknologi bukan musuh.
Malah individu yang tahu menggunakan teknologi dengan baik akan menjadi lebih produktif, kompetitif dan relevan dalam dunia moden.
Masalah hanya berlaku apabila teknologi mula menggantikan fungsi otak sepenuhnya, tanpa sebarang usaha untuk terus melatih kekuatan kognitif kita.
Seperti badan perlukan senaman, otak juga perlukan latihan berkala.
Cara Mudah Melatih Semula Otak
Antara amalan mudah yang boleh dipraktikkan:
- Hafal sekurang-kurangnya beberapa nombor telefon penting. Latih semula otak menyimpan maklumat tanpa bantuan peranti.
- Cuba navigasi tanpa GPS sekali-sekala. Biarkan otak melatih sistem navigasi dan arah secara semulajadi. Ini dapat melambatkan proses kemerosotan fungsi otak.
- Selalu lakukan aktiviti mengingat semula hafalan sama ada fakta, cerita atau pengalaman hidup tanpa terus menyerahkan kepada alat teknologi.
Teknologi sepatutnya memperluaskan kemampuan otak manusia, bukan menggantikannya sepenuhnya.


